Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tabung Haji M’sia jamin keselamatan sistem, data jemaah

May 7, 2025 | 11:40 AM
Haji, Malaysia, Tabung Haji, data, sistem, system
Antara jemaah haji yang berangkat ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Mei. - Foto FACEBOOK TABUNG HAJI

MAKKAH: Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh aspek keselamatan data jemaah haji negara itu dengan memastikan semua sistem dan aplikasi digital yang digunakan dalam operasi haji musim 1446H/2025M mematuhi garis panduan keselamatan siber yang ketat.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat TH, Encik Hanizam Hanif, berkata setiap sistem yang dibangunkan dilindungi melalui penggunaan teknologi firewall serta kaedah penyulitan data (data encryption) bagi menjamin kerahsiaan dan keselamatan maklumat peribadi jemaah daripada sebarang bentuk pencerobohan siber.

“Kami berpegang kepada garis panduan Risiko Dalam Teknologi (RMIT) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan sistem kami kekal selamat dan kukuh,” katanya pada sidang media, lapor Harian Metro.

Sehubungan itu, Encik Hanizam berkata jemaah haji Malaysia tidak perlu bimbang berikutan semua maklumat peribadi mereka diklasifikasikan sebagai data sulit dan dilindungi sepenuhnya melalui teknologi keselamatan canggih yang digunakan TH, sekali gus tidak mudah terdedah atau dibocorkan.

Katanya TH juga telah mengintegrasikan (menggabungkan) sistem i-Sihat dengan sistem MyVAS (pemeriksaan kesihatan bakal haji) dan MySejahtera milik Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memudahkan petugas mengakses (mencapai) maklumat jemaah.

“Langkah ini membolehkan petugas perubatan di tanah suci mendapatkan maklumat kesihatan jemaah dengan lebih cepat dan berkesan, mengurangkan keperluan penggunaan buku rekod rawatan fizikal,” katanya.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia dijadualkan melakukan ibadah haji bagi musim 1446H/2025M.

Bagi memastikan kestabilan sambungan Internet, Encik Hanizam berkata TH telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Arab Saudi, iaitu Saudi Telecom Company (STC), bagi meningkatkan infrastruktur talian fiber optik di bangunan penginapan jemaah.

“TH juga melanggan perkhidmatan data mudah alih 5G dari tiga syarikat utama di Arab Saudi, iaitu STC, Mobily dan Zain untuk digunakan semasa operasi di luar bangunan termasuk di kawasan Masyair,” katanya.

Beliau berkata dengan pelbagai penambahbaikan digital dan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh, TH optimis pengalaman ibadah jemaah Malaysia di tanah suci dapat dipertingkatkan, sekali gus memastikan kelancaran keseluruhan operasi haji pada 2025 ini.

Selain itu kata Encik Hanizam jemaah haji boleh menggunakan aplikasi THiJARI, THhujjaj, e-Bimbingan dan e-Taib bagi memudahkan urusan sepanjang di tanah suci.

“Setiap aplikasi yang dibangunkan TH mempunyai ciri mesra pengguna, ringkas dan tidak terlalu rumit untuk pelbagai lapisan generasi termasuk golongan berusia 60-an dan 70-an tahun,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg