SEREMBAN (Negeri Sembilan): Percutian sebuah keluarga ke Seremban, Negeri Sembilan, bertukar tragedi apabila sebahagian telinga anak mereka yang berusia enam tahun putus digigit seekor uda di sebuah ladang agro di Seremban.
Kejadian berlaku kira-kira 6 petang pada 19 Januari lalu, namun video kejadian berkenaan mulai tular pada 26 Januari selepas bapa kepada kanak-kanak berkenaan memuat turun di media sosial.
Encik Suhaimi Mohd Rafi, 31 tahun, berkata beliau bersama isteri dan anaknya, Muhammad Aniq Farhan, enam tahun, singgah ke ladang agro itu di Seremban, selepas selesai urusan di Kuala Lumpur, pada 19 Januari lalu.
“Kami tiba di ladang agro sekitar 5.30 petang, selepas membeli tiket masuk dan melihat beberapa haiwan di situ, ketika mahu beredar anak mahu melihat dan bergambar dengan kuda di situ.
“Anak saya dibenarkan menunggang kuda itu dengan bayaran tiket dan dikawal penjaga kuda, selesai menunggang kami diajak bergambar di dalam kawasan berpagar, ketika itulah kejadian berlaku,” katanya, lapor Harian Metro.
Encik Suhaimi berkata anaknya yang teruja meminta beliau mengambil gambar dan video, namun secara tiba-tiba seekor kuda yang berada berhampiran menggigit telinga anaknya.
“Kuda itu turut menghantuk kepala anak dan terkena pada besi menyebabkan kepalanya turut cedera, manakala cuping telinga kiri koyak dan terputus,” katanya.
Encik Suhaimi turut mendakwa beliau ada menghubungi pemilik ladang agro itu ketika anaknya dirawat di hospital swasta di Seremban, namun lelaki berkenaan bercakap secara kasar.
“Nasib baik wakilnya, seorang wanita datang ke hospital dan menenangkan kami, malah berjanji akan membayar pampasan. Anak saya terpaksa menjalani pembedahan pada malam itu yang selesai kira-kira 1 pagi,” katanya.
Katanya kos rawatan sebanyak RM10,400 ditanggung insurans, begitupun peguam menyarankan keluarganya supaya mendapatkan pampasan RM5,000.
“Bagaimanapun, pihak ladang agro itu memaklumkan hanya mampu membayar RM500 saja, sehingga kini mereka belum bayar satu sen pun.
“Anak saya yang mempunyai masalah austisme kini stabil dan telinganya selamat disambung, namun masih trauma.
“Ada yang menyalahkan saya membenarkan anak mendekati kuda, sebaliknya pekerja di situ memang benarkan kami untuk masuk dan anggap ia selamat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg