KUALA LUMPUR: Menuntut ilmu tiada had usia dan tidak mengira kedudukan.
Perkara itu dibuktikan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang kembali bergelar mahasiswi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada usia 64 tahun.
Berita gembira tersebut dikongsi Tunku Azizah di aplikasi TikTok @cmspahang dengan hantaran tertulis, ‘back to school (kembali belajar), doakan saya’, lapor Kosmo!.
Dalam perkongsian itu juga, Tunku Azizah turut memuat naik beberapa gambar termasuk yang memaparkan kad pintar UIAM yang tertera, International Institute of Islamic Thought and Civilization atau Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.
Perkongsiannya itu mendapat perhatian warga maya yang memberikan sokongan kepada Tunku Azizah dan berharap sesi pembelajaran akan dipermudahkan.
Rata-rata warga maya turut memuji Tunku Azizah yang patut dijadikan contoh terutama bagi golongan muda untuk terus kekal bersemangat menuntut ilmu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai komen sambil mengucapkan tahniah kepada Tunku Azizah.
“Untung siapa jadi group assignments (kumpulan tugasan). Boleh cerita pada cucu dulu nenek ada buat assignment dengan Sultanah Pahang,” tulis Asma Fras.
“Tuanku, selamat menjadi mahasiswa UIAM. Semoga kita dapat bersua muka di mana-mana kuliah nanti. Amin,” kata @Dilla J.
Turut meninggalkan komen adalah seorang pengguna dikenali sebagai @Hana.
“Sedikit nasihat, jangan buat assignment last minute (saat akhir). Tapi biasa last minute paling perform (terbaik), Semoga berjaya Tuanku,” selorohnya.
“Pembelajaran sepanjang hayat, Good Luck (Moga selamat) Tuanku yang disayangi ramai, tulis @Loveshoper.
UIAM turut berkongsi hantaran Tunku Azizah mengenai berita berkenaan di laman Facebook mereka.
Tunku Azizah sebelum ini dilapor dilantik semula sebagai Ketua Perlembagaan UIAM bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Pelantikan semula Tunku Azizah, ibu kepada empat putera dan lima puteri itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah.
Sultan Abdullah adalah suami kepada Tunku Azizah, yang juga adik kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 sekarang, Sultan Ibrahim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg