Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan tiga pekerja kontraktornya terkorban dalam kejadian yang berlaku ketika kerja penyelenggaraan bot penyelamat di platform Sepat di perairan Terengganu - Kelantan, pada 24 Mei.

Menurut Petronas dalam kenyataan pada 25 Mei, kejadian berlaku kira-kira 12.50 tengah hari di platform Sepat yang terletak di luar pantai Terengganu, di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Petronas berkata siasatan mengenai punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

Kata Petronas, seramai empat kakitangan kontraktor terbabit dalam kejadian tersebut.

“Dukacita dimaklumkan tiga mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kira-kira 5.57 petang 24 Mei.

“Seorang lagi mangsa yang cedera telah dipindahkan bagi mendapatkan rawatan perubatan dan kini masih dalam pemerhatian,” menurut kenyataan itu.

Petronas turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja mangsa yang terkorban.

“Keutamaan segera syarikat ketika ini adalah memastikan kebajikan semua pihak yang terkesan terus diberi perhatian dan sokongan,” kata Petronas.

Pada 24 Mei, media Malaysia melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata ketika kejadian, semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform itu.

Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan semua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.

Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Encik Ahmad Fiqri Zakaria, 38 tahun, dari Batu Berendam, Melaka; Encik Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28 tahun, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38 tahun, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Seorang lagi mangsa, Encik Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37 tahun, dari Banting, Selangor, dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di HSNZ.

Encik Azli berkata pasukan penyelamat turun ke tempat kejadian sebelum berjaya menyelamatkan mangsa dan membawa mereka naik semula ke platform.

Menurut beliau, semua mangsa kemudian diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, Terengganu, kira-kira 4 petang sebelum dihantar ke Unit Kecemasan HSNZ untuk rawatan lanjut.

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja yang maut dalam kejadian itu telah dimulakan pada 8.30 pagi, 25 Mei.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan, Cik Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil, 28 tahun, tidak dapat menahan sebak selepas suaminya disahkan antara mangsa maut dalam tragedi latihan pemindahan kecemasan menggunakan bot di pelantar minyak itu.

Cik Nurkhaeryna Dhania yang sarat mengandung hampir lapan bulan itu berkata kali terakhir beliau berhubung dengan suaminya, Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim, adalah pada pagi 24 Mei, menerusi aplikasi WhatsApp.

“Malam 24 Mei pula kami sempat membuat panggilan video sebelum tidur. Suami janji mahu ambil cuti panjang dan temankan saya bersalin nanti, tetapi kini suami telah tiada,” katanya sayu.