Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tragedi kepala air di Perak: Ibu, tiga anak lemas ketika berkelah

Feb 8, 2024 | 2:18 PM
Allahyarham Aszura Bani, 37 tahun (kiri sekali) bersama tiga anaknya, Hafif Muhayat Azam, 4 tahun; Hanna Mikayla Azam dan Hanum Marissa Azam, ditemui lemas dalam tragedi kepala air pada 7 Disember di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh di Bidor, Tapah, Perak. 
Allahyarham Aszura Bani, 37 tahun (kiri sekali) bersama tiga anaknya, Hafif Muhayat Azam, 4 tahun; Hanna Mikayla Azam dan Hanum Marissa Azam, ditemui lemas dalam tragedi kepala air pada 7 Disember di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh di Bidor, Tapah, Perak.  - Foto FACEBOOK ASZURA BANI

TAPAH: Seorang suami pengsan beberapa kali meratapi kehilangan empat ahli keluarga dalam sekelip mata, termasuk isteri dan tiga anaknya, yang lemas dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh di Bidor, Tapah, Perak.

Mayat si ibu, Cik Asniza Bani, 37 tahun, ditemui kira-kira 600 meter dari tempat kejadian kira-kira 6 petang 7 Februari, manakala anak lelakinya berusia empat tahun, Hafif Muhayat Azam, ditemui kira-kira 9.50 malam pada hari sama.

Dua lagi mangsa terakhir iaitu, Hanna Mikayla Azam dan Hanum Marissa Azam masing-masing berusia tujuh dan dua tahun ditemui pasukan penyelamat kira-kira 9 pagi, 8 Februari.

Dalam tragedi pada 7 Februari petang itu, mangsa sekeluarga berkelah di situ bersama kakak Allahyarham Asniza, Cik Aslinda, 38 tahun, serta anak saudara berusia 11 tahun dan pembantu rumah warga Indonesia berusia 30-an tahun.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, berkata pihaknya menerima maklumat awal berkaitan kejadian itu pada 4.30 petang 7 Februari.

Beliau berkata empat beranak dari Kampung Cegar, Bidor, itu dihanyutkan kepala air ketika mereka berkelah bersama tiga individu lain yang ditemukan selamat.

“Mayat Hafif Muhayat ditemukan dalam sungai dengan keadaan mengiring dan tersangkut di bawah akar pokok pada jarak kira-kira 600 meter dari kawasan keluarganya berkelah.

“Mayat Hanna Mikayla dan Hanum Marissa pula ditemui pasukan penyelamat selang 10 minit, dengan mayat pertama dijumpai pada 9 pagi tadi (8 Februari).

“Pembantu rumah Aszura ditemukan selamat kerana sempat berpaut pada batu berjarak 100 meter dari kawasan mereka berkelah, manakala kakak dan anak saudara selamat kerana tidak hanyut,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Mohd Naim berkata aliran air sungai didapati deras ketika kejadian dan paras air menurun selepas sejam, namun berdasarkan maklumat, insiden kepala air di kawasan sungai itu sudah lama tidak berlaku.

Tinjauan di Unit Forensik Hospital Tapah mendapati lebih 40 ahli keluarga terdekat berkumpul bagi membantu proses pengurusan jenazah.

Suami kepada Aszura, Encik Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46 tahun, dilihat sugul dan kelihatan beberapa kali pengsan sebaik jenazah dua anak perempuannya tiba di Unit Forensik hospital berkenaan, pada pagi 8 Februari.

Selepas urusan mandi dan mengkafankan di hospital berkenaan selesai, jenazah empat beranak itu akan dibawa ke Masjid Al-Muhtadin untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg