KUALA KRAI (Kelantan): Seekor ular sawa batik dianggarkan sepanjang tujuh meter dan seberat 240 kilogram (kg) berjaya ditangkap selepas membaham seekor ibu dan dua anak kambing milik penduduk di Kampung Ngangah, Kuala Krai, Kelantan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Encik Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada seorang penternak pada 7.15 pagi, 27 Oktober.
Beliau berkata penternak itu memaklumkan ular berkenaan berada dalam kandang kambing di tepi rumah miliknya dan telah menelan ibu serta dua anak kambing.
“Sebaik menerima laporan itu, tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela Guchil dan tujuh anggota BBP Kuala Krai dikerah ke lokasi untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
“Pasukan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular itu yang kekenyangan setelah menelan ibu serta dua anak kambing,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata ular itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Krai untuk tindakan lanjut.
Pada 19 Oktober lalu di Sik, Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik pula menangkap harimau dahan selepas menerima aduan penduduk Kampung Gulau, mengenai kehadiran haiwan buas itu yang dipercayai menyerang ayam peliharaan penduduk.
Harimau dahan itu yang mengancam keselamatan penduduk diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg