KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian dan pemohon suaka di Malaysia berkuat kuasa 18 November.

Menurut kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang rasmi agensi itu, langkah berkenaan dibuat selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia untuk mengambil alih urusan pendaftaran komuniti berkenaan.

Katanya UNHCR kini meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia berhubung pelan hala tuju peralihan yang dicadangkan bagi memastikan kesinambungan perlindungan kepada golongan pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

“UNHCR akan terus memberikan nasihat teknikal, perkongsian kapasiti dan kerjasama kepada kerajaan sepanjang proses peralihan itu.

“Walaupun aktiviti pendaftaran dan dokumentasi dihentikan, operasi UNHCR di Malaysia tidak ditutup.

“Kami bersama rakan kerjasama akan terus menjalankan aktiviti lain termasuk penempatan semula dan memberikan sokongan kepada pelarian serta pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pengumuman itu menyusul dua hari selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan di Dewan Rakyat, bahawa kerajaan menerusi Jabatan Imigresen mengambil alih peranan pendaftaran dan pengurusan data komuniti pelarian secara berperingkat.

Pada 16 November lalu, Datuk Saifuddin menjelaskan pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan mempunyai rekod data yang sahih dan menyeluruh tanpa bergantung kepada entiti luar.

Dalam pada itu, perkembangan berkenaan turut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, khususnya di platform Threads, apabila orang ramai serta pemimpin politik tampil menyuarakan pandangan mereka.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, menerusi hantaran di Threads menyifatkan pengumuman rasmi UNHCR itu sebagai sesuatu yang sudah sekian lama didesak oleh rakyat Malaysia.

“Akhirnya, selepas sekian lama rakyat Malaysia mendesak UNHCR menghentikan pendaftaran baharu pelarian.

“Namun, usaha kita tidak boleh terhenti di sini. Saya akan memberikan respons lanjut berhubung perkara ini. Bersama-sama kita terus mempertahankan pertiwi yang berdaulat ini,” katanya.

Pengguna lain Threads @malayapulse menulis: “Saya tertanya-tanya, adakah sistem pendaftaran baharu ini akan lebih cekap (pantas, manusiawi dan tiada rasuah)? Bagaimana pula dengan dana? Adakah kerajaan Malaysia akan menanggung kos atau UNHCR masih menyumbang?.

Pengguna Threads @wansuri83 pula berkata: “Kerajaan kena paksa UNHCR tutup terus pejabat di Malaysia sebab menyusahkan banyak pihak. UNHCR ada di Malaysia tak ada fungsi langsung”.

Isu lambakan ratusan ribu pelarian Rohingya di Malaysia telah mencetuskan polemik mutakhir ini berikutan kebimbangan masyarakat mengenai sebahagian kawasan yang dimonopoli kelompok itu, termasuk dalam sektor perniagaan dan keselamatan awam.