Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Usaha sungguh-sungguh basmi rasuah dalam kalangan penjawat awam M’sia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Usaha sungguh-sungguh basmi rasuah dalam kalangan penjawat awam M’sia

Apr 07, 2024 | 05:32 AM



Gejala dan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam Malaysia dilihat memang tidak asing lagi di negara ini. Saban hari ada sahaja sajian berita memaparkan salah laku rasuah membabitkan penjawat awam.

Segelintir penjawat awam dilaporkan menjadikan jawatan dan pangkat disandang sebagai lubuk mencari ‘duit tepi’ dan tanpa malu hidup dengan rasuah, selain terbabit salah guna kuasa.

Terbaru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, mencecah RM2 bilion ($570,000) bagi tempoh tiga tahun lalu.

Pendedahan itu membuka 1,001 persoalan orang awam berkaitan punca berlakunya jenayah rasuah walaupun kerajaan Malaysia mewujudkan pelbagai inisiatif bagi mengekang budaya negatif ini daripada terus berleluasa.

Pada 2023, seramai 437 penjawat awam ditangkap SPRM daripada 1,137 jumlah keseluruhan tangkapan dibuat. Pada 2022 pula, 323 jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam daripada 909 jumlah keseluruhan tangkapan dilakukan.

Walaupun statistik tangkapan itu kelihatan tinggi, ia membabitkan hanya segelintir penjawat awam sahaja yang membawa kepada peratusan kecil berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam.

Namun, perlakuan tidak berintegriti segelintir penjawat awam ini mencemarkan nama perkhidmatan awam, sekali gus merosakkan imej Malaysia.

Malaysia baru sahaja memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 seperti diumumkan Transparency International Malaysia (TI- Malaysia), iaitu kenaikan sebanyak empat tangga, 61 ke 57 daripada 180 negara.

Trend peningkatan jenayah rasuah membabitkan penjawat awam Malaysia kini bukan disebabkan masalah kurang pendapatan, namun sebaliknya kerana wujud ruang dan peluang untuk mendapatkan ganjaran lebih tinggi.

Jenayah rasuah yang berlaku kini kebanyakannya dirancang, ada pakatan dan perbincangan untuk kepentingan bagi mengaut keuntungan. Justeru tidak hairanlah kegiatan rasuah tidak dapat dikesan bertahun-tahun lamanya.

Selain itu, peluang melakukan rasuah ini berlaku disebabkan kelemahan aspek kawalan dalaman organisasi itu sendiri termasuk sistem dan prosedur kerja serta kurangnya pemantauan pegawai atasan sehingga membolehkan anak buah mengambil kesempatan melakukan rasuah.

Perkukuh usaha pemantapan tatakelola

Atas faktor inilah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 2023, bertujuan memperkemas dan memperkukuh usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan pentadbiran kerajaan.

Jawatankuasa ini diwujudkan bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil dalam menangani isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Penggiliran tugas

Di samping itu, sistem penggiliran tugas penjawat awam, khususnya agensi penguat kuasa, boleh mengurangkan isu berkaitan rasuah. Penggiliran tugas dalam kalangan penjawat awam, terutama jawatan sensitif di tempat menjadi ‘lubuk rasuah’, akan mengurangkan penerimaan dan tawaran rasuah.

Kaedah penggiliran tugas ini juga perlu bersekali dengan penguatkuasaan tindakan punitif lebih tegas terhadap salah laku penjawat awam. Jika aspek mekanisme kawalan dalaman diperkukuh, langkah seterusnya adalah mendidik individu dalam negara ini untuk memandang jijik dan menanam sifat benci kepada perbuatan rasuah.

Dalam hal ini, SPRM secara aktif mewujudkan pelbagai inisiatif bagi memberi kesedaran secara berterusan di setiap peringkat masyarakat bermula dari peringkat sekolah sehingga ke universiti.

Antaranya Program Wira Anti Rasuah (WAR) disasarkan, khusus bagi pelajar sekolah rendah dan menengah, manakala Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (Amar) pula khusus untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Bukan itu sahaja, Kursus Integriti dan Antirasuah (Kiar) juga dilaksanakan sebagai kursus wajib dalam mata pelajaran umum bermula pada 2023 di semua IPT. Boleh dikatakan usaha mendidik dan memberi pendedahan awal berkaitan dengan jenayah rasuah ini dilaksanakan di semua peringkat pendidikan.

Ternyata, cabaran terhebat dalam menangani pencegahan rasuah ini adaah mendapatkan sokongan dan dukungan berterusan masyarakat terutama penjawat awam dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan membanteras jenayah berkenaan.

Walaupun pelbagai inisiatif, pelan dan kempen digerakkan, gejala rasuah tetap berlegar di sekeliling kita.

Sifat tamak, kekurangan integriti dan kurangnya iman akan mendorong seseorang terjebak jenayah rasuah. Justeru, apakah kesudahan jenayah rasuah di Malaysia ini?

Adakah agenda nasional untuk meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 CPI dalam tempoh 10 tahun akan datang akan tercapai?

Hasrat ini hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama baik antara SPRM dengan agensi awam serta swasta bagi memartabatkan agenda negara membasmi jenayah rasuah di Malaysia.

Sedutan artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >