Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Visa haji haram: M’sia sokong langkah tegas, hukuman berat Saudi

Aug 28, 2024 | 1:22 PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Mohd Na’im Mokhtar (kanan), bersalaman dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Mohd Na’im Mokhtar (kanan), bersalaman dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia. - Foto FACEBOOK MOHD NAI’IM MOKHTAR

KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong langkah tegas serta hukuman berat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi ke atas mereka yang melanggar peraturan dan arahan berkaitan isu visa haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata langkah itu bertujuan memastikan keselamatan jemaah menunaikan haji dalam persekitaran yang selamat dan aman.

“Saya sekali lagi menekankan komitmen kami dalam mendidik bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi dan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Saudi,” katanya pada sidang media bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, lapor Astro Awani.

Sidang media itu diadakan sempena lawatan rasmi Dr Tawfiq ke Malaysia bermula 26 hingga 28 Ogos, yang bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Saudi dengan Malaysia.

Menyusuli itu, Datuk Mohd Na’im menzahirkan harapan untuk meneruskan kerjasama saling menguntungkan dengan kerajaan Arab Saudi, khususnya dalam bidang berkaitan meningkatkan pengalaman haji dan umrah.

“Perbincangan berjalan dengan baik mengenai kerjasama pada masa depan antara kededua negara dan saya harap akan memberikan lebih banyak kemudahan dan keselesaan bagi jemaah kita dalam perjalanan menunaikan haji dan umrah mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Tawfiq berkata kerajaan Saudi sedang giat memerangi skim promosi haji haram dengan kerjasama kerajaan Malaysia.

Beliau menekankan kepentingan jemaah menggunakan wadah rasmi Malaysia dan Arab Saudi sahaja untuk perancangan haji dan umrah bagi memastikan pengalaman haji yang selamat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas pengendalian rapi urusan jemaah haji dan skim latihan yang baik untuk jemaah haji.

“Komitmen anda untuk memastikan ziarah yang lancar dan bermakna untuk warga anda sejajar dengan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pengunjung ke tanah suci,” katanya.

Selain itu, Dr Tawfiq berkata kededua negara telah menubuhkan pasukan petugas bersama dua matlamat utama iaitu untuk melihat kemungkinan meluaskan Inisiatif Jalan Makkah kepada jemaah umrah Malaysia dan untuk mengkaji potensi mengaplikasikan model perniagaan Tabung Haji bagi pengurusan haji di negara lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg