Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivy, suami dapat pasport sementara untuk tunai umrah

Dec 31, 2024 | 2:30 PM
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, untuk mendapatkan pasport buat sementara bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, untuk mendapatkan pasport buat sementara bagi membolehkan mereka menunaikan umrah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang FashionValet kontroversi, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, berjaya mendapat pelepasan sementara pasport untuk ke Makkah bagi menunaikan umrah.

Ia selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Disember membenarkan permohonan pasangan usahawan fesyen itu yang sedang berdepan dakwaan pecah amanah dana pelaburan awam RM8 juta ($2.42 juta).

Hakim Rosli Ahmad membenarkan pasport diserahkan kepada Datin Vivy, atau nama sebenarnya Vivy Sofinas, 37 tahun, dan Datuk Fadzaruddin, 36 tahun, menerusi peguamnya, selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan itu.

“Permohonan pasport dibenarkan bermula pada 31 Disember dan dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, peguam mewakili pasangan itu, Encik Ashok Athimulan, memohon pasport diserahkan sementara kepada anak guamnya yang akan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari untuk menunaikan umrah.

Katanya kededua anak guamnya akan kembali ke Malaysia pada 14 Januari dan pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 15 Januari.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan itu, namun bertanya sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dilakukan sebelum atau selepas tuduhan dibuat.

Datuk Fadzaruddin bangun dan menjawab secara ringkas, perancangan ke tanah suci dilakukan selepas berdepan tuduhan di mahkamah.

Pada 5 Disember lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, yang dilakukan pada 21 Ogos 2018.

Mengikut tuduhan, mereka dengan niat bersama sebagai pengarah Fashion Valet Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana pelaburan itu, dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik FashionValet kepada syarikat, 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat itu.

Syarikat 30 Maple adalah milik pasangan berkenaan yang mengeluarkan tudung mewah jenama Duck.

Siasatan terhadap Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin dimulakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Kementerian Kewangan memaklumkan mengenai kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Selepas menerima kecaman berikutan didakwa menyalahgunakan dana pelaburan awam, Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin mengakui kesilapan dan mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan sebagai pengasas FashionValet.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg