Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivy, suami, mengaku tidak bersalah tuduhan salah guna dana pelaburan RM8j

Jan 22, 2025 | 4:48 PM
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes tuduhan pecah amanah Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes tuduhan pecah amanah Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, pada 21 Januari didakwa atas tuduhan alternatif (pilihan) menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta ($2.43 juta).

Bagaimanapun Datin Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37 tahun, dan Datuk Fadzarudin, 36 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” kata Datin Vivy yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama Datuk Fadzarudin, lapor Berita Harian Malaysia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank cawangan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pada 21 Ogos 2018.

Dalam prosiding mahkamah, tuduhan alternatif boleh ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, namun jika tertuduh mengaku tidak bersalah, maka tuduhan alternatif itu terbatal dengan sendirinya dan kembali kepada tuduhan asal.

Dengan pengakuan tidak bersalah dibuat pasangan usahawan dan pempengaruh itu, kededua tertuduh akan kembali berdepan tuduhan asal iaitu pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB bernilai RM8 juta yang dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 5 Disember lalu.

Pada 5 Disember lalu, Datin Vivy dan Datuk Fadzarudin mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pecah amanah dana RM8 juta terbabit di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut tuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah.

Pasangan itu didakwa membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka itu kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd milik mereka, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan kededua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang, berserta syarat tambahan bagi setiap tertuduh dan menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula kes.

Datin Vivy dan Datuk Fadzarudin yang juga pemilik perniagaan jenama tudung mewah Duck, terpalit kontroversi salah guna wang dana awam pada Oktober 2024 lalu.

Pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Khazanah dan PNB sekadar memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023, berbanding pelaburan RM47 juta oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta.

Menyusuli itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan FashionValet dan menemui beberapa transaksi mencurigakan dikesan sejak 2018 hingga 2024, berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg