Topik diikuti
Pergi ke BHkuWakil rakyat Skudai daripada DAP nafi dakwaan lompat parti
Wakil rakyat Skudai daripada DAP nafi dakwaan lompat parti
Wakil rakyat Skudai daripada DAP nafi dakwaan lompat parti
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Cik Marina Ibrahim, menafikan dakwaan kononnya keputusan beliau untuk tidak lagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang dibuat kerana menerima tawaran politik lain.
“Ada yang bertanya, ‘lompat parti ke?... kena beli ke?’, jawapannya tidak,” katanya menafikan dakwaan terbabit dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada 1 Jun.
Cik Marina berkata sebagaimana penjelasannya sebelum ini, keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya dan mengundurkan diri daripada arena politik dibuat hasil perbincangan dengan mereka yang menjadi tulang belakang perjuangannya dalam politik selama ini.
Jelasnya, pelbagai naratif yang timbul menyusuli keputusannya itu mungkin berikutan beliau dilihat tidak lantang mengkritik kerajaan.
“Cuma mungkin bila saya tidak terlalu vokal mengkritik, timbul pelbagai persepsi dan tanggapan. Dari situ orang mula bina naratif sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Cik Marina berkata beliau memilih pendekatan yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat di kawasannya berbanding konfrontasi politik berterusan.
Menurutnya, pendekatan tersebut turut mengambil kira keperluan untuk membina hubungan kerja yang baik antara semua pihak termasuk kerajaan negeri walau berbeza fahaman politik, bagi memudahkan urusan rakyat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan sokongan kepada mana-mana dasar kerajaan hanya diberikan sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat, namun, tetap akan menegur sekiranya terdapat kelemahan.
“Di Johor, saya bukan sebahagian daripada kerajaan negeri. Tapi itu tidak bermaksud semua perlu diselesaikan dengan konfrontasi.
“Banyak isu rakyat boleh diselesaikan melalui hubungan kerja yang baik, rundingan matang dan jambatan antara pihak-pihak berkepentingan.
“Sebab itu kadang-kadang saya nampak ‘tak terlalu berpolitik’ sebelum tiba musimnya. Keutamaan saya tetap rakyat. Politik ada musimnya, tapi membantu rakyat tidak boleh tunggu musim.
“Bagi saya, kekuatan seorang ahli politik bukan diukur pada berapa banyak pertelingkahan, tetapi berapa banyak masalah rakyat yang selesai,” jelasnya.
Pada 31 Mei, Cik Marina, 38 tahun yang dipilih sebagai Adun Skudai pada PRN 2022 dalam satu kenyataan di Facebook mengumumkan telah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN dan berundur daripada arena politik.
Dalam kenyataan itu, Cik Marina berkata beliau memilih untuk kembali kepada sesuatu yang amat dekat di hati sejak dulu iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja kebajikan.
Pengumuman beliau itu menarik perhatian selepas tular surat bertarikh 30 Mei iaitu sehari sebelum Cik Marina mengumumkan berundur daripada politik, yang antara lain menyatakan Cik Marina telah menolak tawaran DAP Johor untuk beliau bertanding di kerusi DUN Tiram.
Surat itu turut memaklumkan Cik Marina menolak tawaran Pengerusi DAP Johor, Cik Teo Nie Ching, untuk Adun Skudai itu ditawarkan memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekiranya gagal memenangi kerusi pada PRN.
Ia dikaitkan sebagai punca Cik Marina membuat keputusan drastik itu.
Cik Teo dalam satu kenyataan kemudian mengakui rancangan DAP untuk memindahkan Cik Marina ke kerusi Tiram dengan jawatan pengerusi badan berkanun disediakan sebagai pelan sandaran.
Cik Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi menyatakan kekesalan terhadap keputusan Cik Marina untuk bersara daripada politik.
