KUALA LUMPUR: Kira-kira 39.5 peratus daripada 223,773 responden saringan kesihatan mental MyMinda di Malaysia dikesan berisiko mengalami kemurungan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata 223,773 responden telah menjalani penilaian kendiri melalui platform MyMinda sejak pelancarannya pada 10 Oktober 2023 hingga 23 Januari 2025.
Beliau menjelaskan terdapat peningkatan dalam jumlah pemanggil yang ingin mendapatkan sokongan emosi dan psikopendidikan melalui Talian Heal 15555.
Talian Heal 15555 ialah perkhidmatan khas yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia memberi maklum balas terhadap panggilan dan aduan krisis berkaitan kesihatan mental, tingkah laku bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain serta panggilan tindakan susulan (post-vention) dalam masyarakat.
“Ini juga menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mendapatkan sokongan kesihatan mental,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, pada 26 Februari, lapor The Star.
Talian Heal 15555 dikendalikan pegawai kaunseling KKM setiap hari dari 8 pagi hingga tengah malam, termasuk cuti umum.
Dr Dzulkefly menambah, platform MyMinda dalam aplikasi MySejahtera menawarkan pemeriksaan kesihatan mental digital dan perkhidmatan pencegahan awal dalam membendung masalah mental yang lebih serius.
“Modul itu juga menyediakan akses awam kepada perkhidmatan kesihatan mental digital yang meliputi psikopendidikan dan penjagaan diri,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Bentong (Pahang), Cik Young Syefura Othman, mengenai keberkesanan MyMinda dalam mengenal pasti dan membantu mereka yang mengalami masalah kemurungan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata sejumlah 12,148 individu (atau 63.6 peratus) daripada 19,092 peserta Program Intervensi Pengurusan Berat Badan (IFitEr) yang dijalankan KKM berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh empat tahun sejak 2020.
“Inisiatif IFitEr dilancarkan KKM untuk membantu komuniti yang menghadapi isu berkaitan berat badan berlebihan dan obesiti.
“Selain menyokong pengurusan berat badan dan meningkatkan tahap kecergasan, program itu juga memperkasakan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, lapor New Straits Times.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan AP Kluang (Johor) Cik Wong Shu Qi, yang bertanyakan jumlah individu yang berdaftar di setiap hab kesihatan di seluruh negara dan sejauh mana keberkesanan program IFitEr telah dinilai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg