Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Kesihatan mental belia M’sia dalam skor sederhana, perlu kenal pasti punca

Nov 6, 2024 | 10:56 AM
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (enam dari kiri), bersama ahli Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) selepas Pelancaran Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia di Parlimen.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (enam dari kiri), bersama ahli Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) selepas Pelancaran Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia di Parlimen. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Skor Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) direkodkan pada tahap sederhana iaitu 71.91.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keadaan itu sekali gus mempamerkan terdapat tekanan yang mendorong masalah kesihatan membabitkan golongan berkenaan.

Justeru, beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB), berkata skor itu wajar digunakan sebagai petunjuk awal bagi mengenal pasti masalah terbabit dalam kalangan belia di Malaysia.

Katanya, keadaan terbabit boleh mendorong kepada masalah kesihatan mental lebih serius, jika tidak ditangani segera selain menyifatkan indeks itu sangat signifikan, terutama mengenai cabaran sosial dan ekonomi dihadapi generasi muda.

MyMHI’23 dibangunkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), selain akan menjadi alat pengukur utama untuk menilai tahap kesihatan mental belia berumur antara 15 hingga 30 tahun di Malaysia.

“Merujuk kepada pencapaian domain (dalam MyMHI’23), domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi iaitu 88.51 dan berada pada tahap memuaskan.

“Bagaimanapun, domain persekitaran merangkumi gaya hidup, keperibadian individu, sokongan sosial, pengendalian tekanan dan minda sihat merekodkan skor terendah iaitu 65.45.

“Secara keseluruhan, majoriti belia tidak terdedah dengan pengalaman negatif seperti penderaan dan buli sepanjang kehidupan mereka, selain skor ini wajar dijadikan petunjuk prestasi utama nasional,” katanya, selepas Pelancaran Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia di Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Ahmad Zahid turut mendedahkan bahawa buli siber, teknologi dan gaya hidup adalah antara tujuh faktor dikenal pasti sebagai punca bunuh diri dalam kalangan belia di negara ini.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata JKPB memainkan peranan penting bagi menyelaraskan isu pembangunan belia, membabitkan keputusan dasar seluruh kementerian dan agensi bagi mencapai kesepakatan menyeluruh.

“Kita amat prihatin mengenai aspek kesejahteraan mental dalam kalangan belia yang menjadi asas keseimbangan diri dan sosial kerana tekanan dan anxiety (kebimbangan melampau) mengakibatkan berlakunya kejadian bunuh diri.

“Justeru, antara syor dipersetujui dalam mesyuarat termasuk pembabitan menyeluruh kementerian dan agensi dalam melaksanakan campur tangan kesihatan mental yang lebih berkesan khususnya bagi golongan belia.

“Selain itu, garis panduan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga atau rakan terdekat yang terkesan akibat kes cubaan atau kejadian bunuh diri turut dibincangkan secara serius.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani cabaran kesihatan mental belia sebagai isu penting yang memerlukan tindakan segera dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg