JOHOR BAHRU: Tiga wanita termasuk seorang warga Singapura mengalami sesak nafas dalam kejadian 10 kenderaan terbakar di tempat letak kenderaan di lantai bawah tanah pusat beli-belah Johor Bahru City Square di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, pada petang 6 Oktober.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 Suffian Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.40 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

“Tiga mangsa wanita terbabit masing-masing berusia 48 dan 35 tahun serta seorang warga Singapura berusia 57 tahun.

“Mereka diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum seorang wanita berusia 48 tahun dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Larkin,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Menurut Encik Suffian, kebakaran itu membabitkan kenderaan di lantai dua bawah tanah pusat beli-belah berkenaan.

“Lapan kenderaan didapati terbakar antara 80 dengan 90 peratus, manakala dua lagi terbakar kira-kira 20 hingga 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata operasi turut membabitkan anggota dan jentera dari BBP Tebrau, BBP Kempas serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin dengan keseluruhan 40 anggota.

Pemeriksaan mendapati sistem pencegah kebakaran dan kipas ekzos di lokasi kejadian tidak berfungsi, ujar beliau.

Sementara itu Astro Awani pada 7 Oktober, melaporkan Ketua BBP Larkin, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) I Mohd Suhaimi Abdul Jamal, berkata kebakaran itu dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4).

Ia sekali gus menepis spekulasi tular di media sosial yang mengaitkan kejadian itu dengan kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata sistem penyedut asap dan sistem keselamatan kebakaran bangunan itu turut membantu operasi anggota bomba, khususnya dalam usaha mengesan punca kebakaran ketika berdepan keadaan yang dipenuhi asap tebal.

Menurutnya, pusat beli-belah berkenaan kembali beroperasi seperti biasa kira-kira 7 malam 6 Oktober, selepas ditutup buat sementara berikutan kebakaran itu.

Bagaimanapun, kawasan tempat letak kereta bawah tanah yang terjejas masih ditutup bagi membolehkan Unit Forensik menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta menganggarkan nilai kerugian.