Ibu hamil 33 minggu kekal cergas, angkat berat sambil berpuasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu hamil 33 minggu kekal cergas, angkat berat sambil berpuasa

Mar 18, 2026 | 12:59 PM

Ibu hamil 33 minggu kekal cergas, angkat berat sambil berpuasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Meskipun kandungannya kini 33 minggu, Cik Sorfina Fadzlon tetap menjalani rutinnya di gim dengan mengangkat berat dan senaman kardio.
Meskipun kandungannya kini 33 minggu, Cik Sorfina Fadzlon tetap menjalani rutinnya di gim dengan mengangkat berat dan senaman kardio. - Foto ihsan SORFINA FADZLON

Selepas melalui fasa kehamilan pertama dengan gaya hidup lebih sedentari (banyak duduk) semasa pandemik Covid-19, Cik Sorfina Fadzlon berjanji kepada dirinya untuk kembali aktif.

“Ketika itu kami melalui fasa perintah berkurung dan peluang untuk ke gim sangat terhad.

“Pada waktu itulah berat badan saya mula naik – saya kurang menjaga pemakanan dan bekerja dari rumah tanpa senaman yang mencukupi. Saya sendiri tak kenal diri saya lagi,” katanya yang sebelum ini memang aktif dan mengutamakan kecergasan sejak di bangku sekolah.

Kini, pada usia kandungan 33 minggu bagi anak keduanya, wanita berusia 32 tahun itu masih konsisten ke gim dan melakukan senaman di luar, termasuk sepanjang bulan Ramadan.

Melalui perkongsian di media sosial, beliau turut menggalakkan lebih ramai wanita, khususnya ibu hamil, untuk kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat serta memberi mereka tip.

View post on Instagram
 

“Namun berpuasa semasa Ramadan sambil kekal aktif bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika hamil,” ujarnya.

Bagi mengatasi cabaran itu, Cik Sorfina memilih untuk melakukan kardio ringan sebelum berbuka puasa, manakala latihan kekuatan dijalankan pada waktu yang lebih fleksibel.

Hari senaman juga diselang-seli dengan rehat, dan beliau tidak teragak-agak untuk berhenti sekiranya berasa pening, terlalu letih atau alami dehidrasi.

Dari segi keselamatan pula, beliau yang bertugas di industri pematuhan perdagangan itu sentiasa mendapatkan nasihat doktor sebelum mencuba aktiviti baru.

Setiap kali berjumpa pakar sakit puan, beliau akan pastikan kesihatannya dan keadaan bayi dipantau.

“Antara panduan yang diberikan termasuk menggalakkan senaman sepanjang kehamilan, meneruskan aktiviti yang dilakukan sebelum hamil sewaktu peringkat awal kandungan, serta mengurangkan intensiti pada trimester ketiga,” tambah beliau yang juga diingatkan untuk berhenti sekiranya mengalami kesakitan, sesak nafas atau ketidakselesaan.

Menurut beliau, gaya hidup aktif memberi perbezaan ketara berbanding kehamilan pertama.

Kali ini, beliau tidak mengalami sakit saraf seperti sciatica, kurang kekejangan serta tidak berdepan masalah pedih ulu hati yang teruk.

“Saya rasa kehamilan kedua ini lebih lancar dan sihat. Dulu berat badan saya naik 20 kilogram (kg) ketika hamil anak pertama, kini berat badan saya hanya naik sekitar 10kg,” tambahnya.

Selepas bersalin anak pertama, Cik Sorfina mula menyertai program kecergasan berkumpulan di gim F45 dan secara tetap melakukan senaman sebanyak empat hingga lima kali seminggu.

Usaha itu bukan sahaja mengembalikan tahap kecergasannya, malah mendorong beliau menyertai acara sukan kompetitif seperti Hyrox yang bermula secara relay sebelum beralih ke kategori beregu.

Kini hamil anak kedua, rutin senamannya diteruskan tetapi dengan penyesuaian dengan senaman sekitar tiga hingga empat kali seminggu dengan intensiti yang dikurangkan.

Fokusnya ketika ini bukan lagi kepada prestasi, sebaliknya kepada konsistensi serta mengekalkan kekuatan dan mobiliti badan.

Selain kelas gim, beliau juga melakukan senaman di rumah menggunakan sawat injak (treadmill), basikal statik dan pemberat ringan dan kadangkala bersenam di luar bersama suami beliau, Encik Hilmi Harris.

“Saya tidak terkejut apabila beliau terus ke gim walaupun hamil kerana Sorfi memang sangat meminati sukan dan seorang yang aktif. Saya cuba menyokongnya dengan memastikan beliau mendapat pemakanan yang betul,” kata Encik Hilmi, 40 tahun.

Sepanjang kehamilan, beliau menekankan kepentingan mendengar isyarat tubuh dan jurulatihnya turut dimaklumkan lebih awal bagi memastikan setiap senaman diubah suai mengikut keadaan kehamilan.

Bagi ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun ini, kehamilan bukan alasan untuk berhenti bersenam, sebaliknya peluang untuk menyesuaikan rutin secara lebih bijak.

Beliau menasihatkan wanita yang sudah aktif agar meneruskan senaman secara selamat, manakala mereka yang baru ingin bermula digalakkan untuk melakukannya secara perlahan tetapi konsisten, tanpa melampaui batas.

“Motivasi utama saya ialah untuk kekal aktif bersama anak sulung, selain menjadi contoh kepada keluarga dan masyarakat. Bagi saya, kecergasan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi juga ruang melepaskan tekanan, masa untuk diri sendiri dan pelaburan untuk kesihatan jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan keluarga, khususnya suami yang membantu menjaga anak, memainkan peranan penting dalam memastikan rutin tersebut dapat diteruskan walaupun pada awalnya terdapat kebimbangan daripada ahli keluarga mengenai risiko bersenam ketika hamil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg