Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Perkukuh tonggak bina masyarakat gemilang

Apr 21, 2024 | 05:32 AM



Bulan yang dinanti – Ramadan dengan segala keberkatan dan kelebihannya – sudah dirai dan sudah pun berlalu pergi.

Tarikh 1 Syawal – hari meraikan kemenangan atas perjuangan dalam Ramadan dan hari kembali kepada fitrah atau Aidilfitri – juga sudah hampir dua minggu berlalu.

Namun, apakah Ramadan, dan segala bentuk kebaikan yang membenih dalam bulan suci itu, yang mendidik nilai rahmah dalam kehidupan, masih terpahat dalam diri?

Apakah benih pelbagai kebaikan yang ditanam akan tumbuh segar dalam bulan-bulan berikutnya, lalu menyumbang kepada pembentukan masyarakat Islam gemilang?

Atau benih kebaikan itu tidak dijaga, malah dibiarkan terkulai lalu mati, dan menanti Ramadan bertandang kembali untuk disemai lagi?

Bak kem latihan atau madrasah yang hadir setiap tahun selama sebulan, Ramadan melatih dan mendidik umat menjadi masyarakat berdisiplin – mengawal hawa nafsu dan perilaku, melakukan pelbagai jenis kebaikan, luang masa mencungkil ilmu dan pelbagai pengajaran daripada Al-Quran, menghulur bantuan kepada golongan memerlukan, membayar zakat, menambah amal ibadah dan pelbagai bentuk kebaikan yang menjurus kepada diri menjadi lebih bertakwa dan membantu usaha membina ummah yang lebih baik – masyarakat gemilang.

Memang terdapat kebimbangan bahawa pengajaran dan pelbagai kebaikan yang dilakukan dalam bulan suci itu akan perlahan-lahan hilang dengan perginya Ramadan.

Sebelum ia pudar, khutbah Hari Raya mengingatkan tiga tonggak penting yang perlu terus diamalkan dalam rangka membina masyarakat gemilang lagi berdaya tahan: ilmu dan pemahaman agama yang mendalam; akhlak dan adab yang luhur; dan budaya menyumbang ke arah kebaikan.

Ilmu

Pentingnya ilmu adalah ciri pertama yang ditekankan, terkandung dalam beberapa ayat pertama Al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw ayat di gua Hira.


Gesaan iqra – ‘baca-lah’ – adalah anjuran menuntut ilmu, unsur yang mendasari pemahaman agama dan pelbagai bidang ilmu yang menjadi penyuluh kehidupan. Malah dua kali perkataan Iqra disebut dalam lima ayat pertama yang diturunkan itu (rujuk Surah al-‘Alaq, ayat 1-5).

Semua bermula dengan ilmu.

Sejarah menunjukkan zaman kegemilangan tamadun Islam dibina di atas kekuatan daya fikir dan budaya ilmu.

Pengamalan agama yang benar, pembangunan dan kemajuan pelbagai cabang kehidupan mencakupi politik, ekonomi, sains dan teknologi dan sebagainya adalah berteraskan ilmu.

Ilmu adalah perisai yang menjadi benteng pelbagai kekeliruan. Dalam era media sosial yang menyalur deras pelbagai maklumat, benar tidaknya hanya boleh ditapis dengan ilmu.

Ilmu, merangkumi pengetahuan agama dan pengetahuan dalam pelbagai bidang, serta kemahiran adalah asas yang menjadi tonggak kemakmuran dan kemajuan masyarakat.

Adab/akhlak

Namun ilmu perlu ada gandingannya, iaitu adab dan akhlak.

Dalam istilah agama, adab dan akhlak termasuk di dalam ihsan – berasa sentiasa diperhatikan oleh Yang Maha Kuasa sehingga terdorong melakukan sebanyak mungkin kebaikan, dan meninggalkan semua yang dilarang; menyedari setiap perkara yang dilakukan dan tidak dilakukan akan dipertanggungjawabkan.

Dunia sudah memperlihatkan betapa orang berilmu tanpa gandingan akhlak boleh terseleweng.

Dari masa ke masa kita melihat orang yang ada ilmu dan berkedudukan – pemimpin, peguam, guru, peniaga dan sebagainya, terseleweng kerana ketiadaan akhlak dan adab sehingga sanggup menipu, makan rasuah, mengambil hak orang lain, tidak amanah, pecah amanah, curang, lupa diri dan pelbagai perlakuan yang tidak bertanggungjawab.

Tanpa adab, ilmu yang sepatutnya membawa kemakmuran dan kemajuan disalah guna sehingga menimpakan masalah dan kemusnahan.

Di samping penekanan terhadap pentingnya ilmu, Nabi Muhammad saw diutus untuk menyempurnakan akhlak kerana ilmu tanpa akhlak boleh merosakkan.


Ilmu yang digandingkan dengan adab dan akhlak akan membentuk sikap peduli terhadap manusia di sekeliling, membentuk sifat ihsan dan rahmah.

Budaya menyumbang

Muslim yang baik adalah Muslim yang sentiasa sedia menghulur tangan, membantu dan menyumbang kepada pihak yang memerlukan. Ia adalah antara ciri masyarakat gemilang.

Masyarakat Islam Singapura telah mempamerkan nilai ini semasa Ramadan, dengan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan memerlukan, menyokong dengan menyumbang wang dan tenaga menjayakan pelbagai program dalam Ramadan.

Ciri masyarakat gemilang juga terlihat dengan keramahan menyantuni pekerja hijrahan semasa iftar, di samping kesediaan dan segera menghulurkan bantuan kemanusiaan berhubung krisis di Gaza, Palestin.

Suburkan nilai

Ciri dan nilai masyarakat gemilang menjadi semakin penting dalam dunia yang berubah. Cabaran timbul daripada pelbagai pergolakan yang berlaku di dunia, ekonomi yang tidak menentu, perkembangan teknologi, isu berkaitan iklim, pengaruh media sosial dan masyarakat menua berserta isu-isu yang berkaitan dengannya.

Dengan memelihara dan menyuburkan nilai-nilai yang dipraktikkan dalam Ramadan, masyarakat Islam akan lebih bersedia dan lebih yakin menghadapi dan menangani cabaran.

Nilai-nilai itu bertindak menjadi mangkin kepada usaha berterusan untuk membina masyarakat dan umat yang gemilang, yakin dan berdaya tahan, sekali gus menjadi penyumbang aktif dalam pembangunan negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >