Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tukang awet mayat tenang sedia khidmat walau kerja dipersoal

Ceburi bidang dek mahu pasti mayat Muslim yang perlu diawet diurus ikut tuntutan agama
Jul 11, 2023 | 5:30 AM
LAIN DARIPADA LAIN: Raja Ashraf Raja Khalif salah seorang daripada tiga orang Islam di Singapura yang terdaftar dalam senarai tukang awet mayat yang bekerja di rumah jenazah berlesen di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). 
LAIN DARIPADA LAIN: Raja Ashraf Raja Khalif salah seorang daripada tiga orang Islam di Singapura yang terdaftar dalam senarai tukang awet mayat yang bekerja di rumah jenazah berlesen di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).  - Foto-foto BH oleh SHAFIQ APANDI

“Biar betul? Bukankah ini kerja orang bukan Islam?”

Itulah antara reaksi sesetengah orang tatkala mendapat tahu beliau bekerja sebagai tukang awet mayat.

Bagaimanapun, Raja Ashraf Raja Khalif, 37 tahun, tidak tersinggung kerana beliau mengakui pekerjaannya itu lain daripada yang lain dan jarang diceburi orang Islam.

View post on Instagram
 

Sebaliknya, Raja Ashraf akan menjelaskan niat sebenarnya menjadi tukang awet mayat – mahu mempunyai kemahiran yang dapat membantu keluarga dalam keadaan apabila mayat seorang Muslim perlu diawet.

“Jenazah yang perlu diawet rata-rata adalah atas sebab perlu dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Syarikat urusan jenazah Islam selalunya terpaksa cari syarikat bukan Islam yang mempunyai kemudahan mengawet jenazah atau tukang awet jenazah... tapi kita tak tahu bagaimana mayat itu dikendali. Tahu-tahu mayat sudah siap diawet apabila dipulangkan ke syarikat Islam untuk dimandikan dan dikafankan,” ujarnya.

ANTARA ALAT DIGUNAKAN: Raja Ashraf Raja Khalif memegang trokar, sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan cecair badan.
ANTARA ALAT DIGUNAKAN: Raja Ashraf Raja Khalif memegang trokar, sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan cecair badan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Raja Ashraf berkata sekiranya mayat diurus oleh orang bukan Islam, cara mayat ditangani mungkin tidak mengikut tatatertib agama Islam, contohnya dari segi menjaga aurat.

Tukang awet mayat Muslim seperti beliau harus lebih peka tentang tuntutan agama, malah akan menyarankan cara mengawet yang paling sedikit sekali supaya tidak “menyakiti” mayat.

Antara faktor yang diambil kira apabila mengawet mayat ialah kaedah pengangkutan jenazah, berapa lama jenazah akan disimpan, dan jarak antara tempat pengebumian di Singapura dengan tempat proses mengawet dibuat.

“Orang ingat kita kaypoh, tetapi saya pertimbangkan ini semua supaya dapat membuat penyesuaian. Sekiranya mayat tidak menggunakan penerbangan dan melalui jalan darat, kita awet tetapi melakukan ia dengan cara hipodermik...

“Di mana yang terdedah, kami menyuntik formalin, di mana yang tak perlu trokar, tak payah trokar. Atau kami mengawet pada permukaan, di kulit sahaja.

“Tetapi saya akan beritahu pengurus jenazah bahawa setelah sampai, kasi keluarga ziarah, solatkan dan terus kebumi,” ujarnya, yang masih bujang.

Formalin adalah sejenis bahan kimia bagi tujuan mengawet, dan trokar merupakan alat yang digunakan untuk mengeluarkan cecair badan.

Proses mengawet mayat bagi yang bukan beragama Islam biasanya melibatkan kaedah memotong badan, menggerudi rahang, merodok organ dalam tubuh dan menyedut cecair badan.

Namun, bagi jenazah penganut Islam, Raja Ashraf berkata pihaknya amat prihatin dalam memastikan pendekatannya lebih berhati-hati agar tidak menyiksa mayat.

SELALU KERJA SENDIRIAN: Raja Ashraf Raja Khalif berkata adalah penting untuk menghormati dan melayani mayat dengan penuh adab kerana perlu diingat bahawa mayat tersebut pernah bernyawa.
SELALU KERJA SENDIRIAN: Raja Ashraf Raja Khalif berkata adalah penting untuk menghormati dan melayani mayat dengan penuh adab kerana perlu diingat bahawa mayat tersebut pernah bernyawa. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ketika ditanya apakah kejadian menggerunkan yang pernah beliau alami ketika menjalankan pekerjaannya, yang selalunya dilakukan sendirian, Raja Ashraf, salah seorang daripada tiga orang Islam di Singapura yang terdaftar dalam senarai tukang awet mayat yang bekerja di rumah jenazah berlesen di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), berkata:

“Kita perlu fikir positif dan tenangkan diri. Saya selalu beritahu diri saya yang orang dah mati tak seram, yang hidup lagi seram.”

Beliau berkata adalah penting untuk menghormati dan melayani mayat dengan beradab kerana perlu diingat bahawa mayat tersebut pernah bernyawa.

PERLU KEMAHIRAN: Raja Ashraf Raja Khalif perlu belajar kemahiran ‘menghiasi’ jenazah yang diurus agar penampilannya dapat dipulihara dan ia dapat tiba dalam keadaan baik di pangkuan keluarga.
PERLU KEMAHIRAN: Raja Ashraf Raja Khalif perlu belajar kemahiran ‘menghiasi’ jenazah yang diurus agar penampilannya dapat dipulihara dan ia dapat tiba dalam keadaan baik di pangkuan keluarga. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Raja Ashraf, yang sebelum ini bekerja sebagai penyiasat pembubaran wang haram di sebuah institut kewangan, bertukar kerjaya ke bidang pengurusan jenazah sekitar empat tahun lalu.

Walaupun pekerjaan ini tidak pernah terlintas di fikirannya, Raja Ashraf berkata keputusan tersebut dibuat kerana ketika itu arwah ayahnya sedang mengalami sakit ginjal tahap akhir dan beliau mahu menjaganya.

Beliau mengikuti kursus pengurusan jenazah kerana ingin melengkapi dirinya dengan pengetahuan agar lebih bersedia sekiranya ayahnya meninggal dunia.

Beliau berpeluang belajar secara praktikal, dan selain itu mula menjadi pemandu van jenazah.

“Walaupun gaji tak seberapa, kita rasa tenang kerana kita tahu apa yang kita buat itu telah menyenangkan dan meringankan beban keluarga dalam kesusahan,” ujarnya, menjelaskan mengapa beliau kekal dalam bidang tersebut.

Raja Ashraf berharap lebih ramai orang Islam, khususnya anak muda, akan belajar kemahiran mengawet mayat supaya dapat membantu mayat orang Islam apabila perlu.

“Kita perlukan lebih ramai (tukang awet) Muslimah supaya kalau ada jenazah Muslimah yang perlu dipulangkan ke negara asalnya, kita dapat memastikan kehormatan dan keaibannya dijaga,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg