Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

6,000 rumah termasuk flat HDB baru akan dibina di Pearl’s Hill

Nov 03, 2023 | 02:51 PM



Buat pertama kali dalam tempoh lebih 40 tahun, flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dibina di Pearl’s Hills di Chinatown sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan pilihan gabungan perumahan di lokasi pusat. 

Sebanyak 6,000 rumah awam dan privet, termasuk flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan flat sewa, akan dibangunkan secara berperingkat di atas bukit itu sepanjang dekad akan datang. 

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata pada Jumaat bahawa rumah tersebut akan menawarkan “kediaman lereng bukit yang unik di bandar”.

Pameran yang memaparkan rancangan untuk kawasan kejiranan baru di Pearl’s Hill dan Marina South telah dilancarkan di Pusat URA di Maxwell Road.

Pameran My City, My Home turut mempamerkan rancangan konseptual bagi Bukit Timah Turf City, Mount Pleasant dan bekas tapak padang golf Keppel, yang akan membentuk sebahagian daripada Greater Southern Waterfront, yang merentangi pantai selatan Singapura dari Pasir Panjang ke Marina East.


Salah satu daripada empat serampang di bawah draf pelan induk bertemakan ‘Shape a Happy, Healthy City’ adalah usaha untuk menawarkan gabungan pilihan perumahan yang lebih baik, bagi menjadikan rumah lebih inklusif, mudah diakses dan mampu milik.

Ini diambil daripada maklum balas yang diterima URA semasa semakan pelan jangka panjangnya, yang telah disiapkan pada 2022 untuk membimbing pembangunan rancangan penggunaan tanah dalam tempoh 50 tahun akan datang dan seterusnya.

Satu daripada baki dua bukit di kawasan bandar (yang satu lagi ialah Fort Canning Hill), Pearl’s Hill akan mempunyai BTO baru dan flat sewa, kondominium dan pangsapuri servis.

Pearl’s Hill menempatkan banglo bekas komander polis dan berek polis, yang dibina pada 1920-an dan 1930-an, dan telah dipelihara kerana kepentingan sejarahnya.

Ia akan menjadi daerah kurang penggunaan kenderaan atau ‘car-lite’ dengan rangkaian laluan berbasikal dan berjalan kaki, kata URA.

Rangkaian sambungan pada aras jalan dan yang bertingkat akan dibina untuk menawarkan akses ke Pearl’s Hill City Park dan nod pengangkutan, serta kawasan sekitar seperti Robertson Quay dan Fort Canning Park.

Taman ini juga akan dinaik taraf dengan kemudahan dan landskap baharu.

Berek boleh digunakan semula menawarkan satu gaya hidup, dan ruang terbukanya boleh dijadikan nod komuniti di Jalan Eu Tong Sen, tambah URA.

Melancarkan pameran pada Jumaat, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata pembangunan kawasan kejiranan baru dan lebih banyak flat HDB di lokasi pusat akan memerlukan perbelanjaan pemerintah yang lebih tinggi. Ini termasuk diskaun dan geran pasaran perumahan awamnya.

“Ini selaras dengan komitmen kami untuk memastikan kawasan di Singapura mempunyai kepelbagaian dan inklusif, serta perumahan awam mampu milik dan mudah diakses,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >