Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bapa, anak kongsi perjuangan sama dalam pancaragam polis

Jun 03, 2023 | 08:00 PM



HADIR untuk menyaksikan dan menyokong persembahan bapanya membuat persembahan muzik bersama pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) sudah menjadi kelaziman bagi Staf Sarjan (SSGT) Natassha Lydia Julaimi sejak beliau kecil lagi. Bapanya, Inspektor Balai (SI)  Julaimi Jamali, telah menyertai pasukan itu sejak 1995.

SSGT Natassha Lydia, lulusan Maktab Seni LASALLE dari jurusan Penerbitan Audio, tidak menyangka akan mengikuti jejak langkah bapanya dengan menyertai pasukan itu.

“Natassha sering dibawa oleh isteri saya untuk menyaksikan semua persembahan di mana orang awam serta keluarga dijemput.

“Selepas tamat pengajian, beliau berkongsi dengan saya minatnya untuk meluaskan pengetahuannya dalam muzik dan saya menyokongnya untuk menyertai pasukan pada 2017,” tambah sang bapa yang sebelum ini rajin mendaftarkan anak perempuannya untuk menghadiri kelas dan kursus berkaitan muzik.

Pada tahun-tahun awal, SI Julaimi bermain alat muzik trombon dan telah membuat persembahan dalam pelbagai acara penting seperti Perbarisan Hari Polis dan Perbarisan Hari Kebangsaan

“Pada masa ini saya seorang Ketua Pemuzik, dan saya juga berperanan sebagai pemain perkusi dalam kumpulan muzik di mana saya juga seorang pemain gitar bes,” kata beliau, 56 tahun, dan bapa kepada tiga anak.

Beliau akui penglibatannya dalam bidang muzik sedikit sebanyak telah mempengaruhi anak-anaknya.

Kedua-dua anak lelakinya, yang sebelum ini juga berada dalam pasukan itu, gemar bermain alat muzik seperti gitar dan dram.

Namun, di sebalik sokongan yang diberikan kepada anak perempuannya yang berusia 29 tahun itu untuk menyertai pasukan tersebut, SI Julaimi akui bahawa beliau kadang kala dilanda bimbang berada dalam persekitaran kerja yang sama dengan anaknya.

“Perlahan-lahan saya belajar untuk menyokong dan menggalakkan SSGT Natassha menjadi pemuzik yang lebih baik dalam kumpulan itu.

“Walaupun kami ada hubungan keluarga, akhirnya kami akan sentiasa mempunyai hubungan profesional di tempat kerja,” ujar beliau.

Perbarisan Hari Polis yang diadakan pada Sabtu dihadiri tetamu kehormat, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini merupakan kali pertama pasangan bapa dan anak itu menyertai acara tahunan Hari Polis .

Bagi SSGT Natassha, yang bermain klarinet, mempunyai bapa yang bekerja di tempat yang sama dan bidang serupa juga bermakna mereka banyak menghabiskan masa bersama.

“Kami berlatih muzik bersama-sama dan saling memberi idea, beri maklum balas untuk meningkatkan prestasi kami,” kata si anak.

Sebagai salah seorang jurutera bunyi dalam SPF Band, SSGT Natassha membantu menguatkan muzik latar dan merakam bahagian berlainan pancaragam bagi acara perbarisan.

Beliau juga telah diketengahkan dalam banyak video muzik SPF Band seperti semasa Hari Kanak-kanak, Perbarisan Hari Kebangsaan dan video perayaan akhir Tahun.

Berdasarkan kepakarannya, SSGT Natassha telah menghasilkan beberapa lagu seperti untuk Konsert Pancaragam Polis Dunia pada tahun 2021.

“Berada dalam kumpulan itu bersama ayah saya telah membantu saya belajar banyak daripadanya. Selain itu, saya juga banyak belajar daripada rakan-rakan kumpulan saya yang juga sangat berbakat,” tambah SSGT Natassha.

SSGT Natassha juga akui menghargai setiap detik bersama bapapanya, lebih-lebih lagi untuk baki bulan-bulan mendatang sebelum bapanya bersara daripada pasukan itu pada akhir tahun ini.

“Saya akan rindu melihat bapa saya di tempat kerja, di mana kami boleh belajar dalam persekitaran yang sama.

“Saya tidak lagi boleh pulang bersama-sama dengannya tetapi ini akan membuatkan saya tidak sabar untuk pulang ke rumah dan berkongsi tentang hari saya di tempat kerja bersamanya,” luah SSGT Natassha.

SI Julaimi yang akui tidak sabar untuk menikmati hari persaraannya, berharap anak perempuannya itu akan terus meluaskan pengetahuan sebagaimana beliau telah mencurahkan khidmat dan komitmennya sepanjang bersama pasukan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >