Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Blog Umrah DIY: Terima kasih kerana ikuti perjalanan Iz & Min

Blog ini ditulis untuk merakam pengalaman dua wartawan Berita Harian, Encik Muhaimin Suzaini dan Encik Izwandi Azman, semasa mereka melaksanakan umrah di Arab Saudi pada Ogos 2023. Ikuti juga pengalaman mereka menerusi video di TikTok dan wadah pelbagai media Berita Harian.
Aug 16, 2023 | 03:04 PM



HARI KETUJUH 23 OGOS

[SINGAPURA: 4 petang] Kami telah selamat pulang ke Singapura. Terima kasih kepada semua kerana sudi mengikuti perjalanan kami. Terima kasih juga kerana telah mengirimkan doa dan menyokong kami selama perjalanan yang penuh bermakna ini.


Namun, ini bukanlah selamat tinggal. Kami akan berkongsi lebih banyak lagi mengenai pengalaman kami dan merumuskan butiran pengembaraan kami tidak lama lagi. Terus ikut kami di www.beritaharian.sg dan di vlog kami. - IZ & MZ


HARI KEENAM 22 OGOS

[JEDDAH: 7.39 malam] Sedang saya menulis blog ini, saya berasa lega dan bersyukur.


Apa tidak, Min dan saya bertolak dari stesen kereta api HSR Makkah pada 6.35 petang tetapi perjalanan kami ke Lapangan Terbang King Abdulaziz International di Jeddah terganggu.

Selepas lima minit perjalanan, kereta api kami terpaksa berhenti buat seketika akibat hujan lebat dan ribut petir.

Lampu dan hawa dingin di dalam kereta api juga dimatikan. Teringat pula peristiwa malam pertama di Arab Saudi apabila terjadi ‘blackout’ di hotel Jeddah. Macam sama sahaja!

Walaupun masih ada lima jam hingga penerbangan kami ke Singapura, saya sudah bersedia untuk senario terburuk - iaitu terlepas penerbangan kami.

Alhamdulillah, selepas kira-kira satu jam menunggu, keretapi api kami akhirnya bergerak. 

Kami kini sudah pun sampai di lapangan terbang Jeddah dan akan berangkat pulang ke Singapura pada 12.55 pagi.

Kepada anda yang sedang membaca blog ini, terima kasih kerana mengikuti perjalanan kami sejak minggu lalu. Ia satu penghormatan berkongsi pengalaman kami dengan anda. Sehingga berjumpa lagi! - IZ

[MAKKAH, 8 pagi]

Pejam celik, perjalanan kami sudah pun sampai ke penghujungnya. Hari ini merupakan hari terakhir kami berada di Makkah.

Rancangan kami adalah untuk berangkat ke Jeddah selepas sarapan pagi, untuk jalan-jalan sedikit sebelum berangkat pulang ke Singapura.







Tetapi sebelum itu, kami akan cari skuter yang boleh disewa di Masjidil Haram bagi kegunaan tawaf dan sai. Bukan apa, sekadar hendak cuba tunggang e-skuter. Ada pelbagai jenis, termasuk bagi seorang penunggng, penunggang dengan pembonceng atau untuk beberapa orang!

Saya pasti mereka yang mempunyai beberapa cabaran untuk berjalan jauh atau keluarga yang mempunyai anak kecil boleh menggunakan kemudahan e-skuter ini untuk permudah pergerakan di sini. Tapi, saya hanya akan tahu sepenuhnya selepas saya mencuba dan teroka lagi khidmat yang disediakan; dan akan saya kongsi di sini.

Tak silap saya, ada juga khidmat penjagaan kanak-kanak agar jemaah dapat lakukan ibadah dengan tenang. (Kami belum temui, tetapi sedang mencari).

Difahami, khidmat itu boleh menampung 80 kanak-kanak pada satu-satu masa dan disediakan bagi 24 jam. Kami akan cuba dapatkan butiran dan kongsi dengan anda di sini.

Apakah pilihan pengangkutan kami untuk ke Jeddah? Memandangkan penerbangan kami ke Singapura dari Jeddah adalah sekitar tengah hari esok, kami merancang untuk menaiki bas untuk membandingkan khidmat ini dengan khidmat keretapi. - MZ

HARI KELIMA 21 OGOS

[MAKKAH, 11.30 malam] Selepas ‘terkurung’ dalam hotel sepanjang Ahad kerana rasa tidak sedap badan, saya tidak sabar untuk akhirnya mengembara sekali lagi!


Saya dan Min sudah pun merancang untuk melawat dua gunung bersejarah dalam Islam, iaitu Jabal Thawr dan Jabal al-Nour.

Tetapi nampaknya kembara kita terbantut kerana sebaik sahaja kita tiba di lokasi pertama, Jabal Thawr, kita disuruh keluar dari pintu masuk.

Rupa-rupanya, lokasi Jabal Thawr sedang dinaik taraf. Menurut laporan daripada akhbar Arab News, kerja naik taraf itu melibatkan penggunaan teknologi untuk mendokumentasikan perhijraan Rasullulah saw.


Kerja naik taraf itu, yang bertujuan untuk memperkaya dan meluaskan pengalaman pelancong, bermula pada 20 Disember 2021.

Hampa dan kecewa, kita membuat perjalanan ke Jabal al-Nour pula.

Hah tetapi sebelum itu, makan dulu supaya ada tenaga untuk mendaki gunung bertinggian 642 meter itu! Kita kemudian tiba di kaki gunung pada kira-kira 7.30 malam.

Lengkap dengan kamera GoPro yang dilekatkan kepada dadanya, Min bermula mendaki dan saya mengikutinya dari belakang. Tak sampai lima minit, kita dah pancit. Apa dah. Itulah, IPPT asyik fail saja.

Ramai juga orang yang melawat Jabal al-Nour, ada yang dari Pakistan, Malaysia, Indonesia dan juga Turki.

Walaupun gelap gelita, suasana mendaki Jabal al-Nour agak meriah kerana pelawat lain sering memberi kata-kata semangat antara satu sama lain.

“Rest first then go (rehat dahulu baru pergi!” kata satu pelawat apabila beliau perasan Min dan saya tercungap-cungap.

Yang memenatkan adalah kecuraman gunung yang memerlukan kita menggunakan lebih banyak tenaga.

Akhirnya selepas kira-kira 45 minit, kita tiba di puncak, tepat pada masanya untuk mendengar azan merdu Isyak berkumandang.

Cuaca pada masa itu agak berangin, dengan suhu berlegar sekitar 30 darjah Celsius.

Kita tidak dapat memasuki Gua Hira, lokasi dimana Rasullulah saw menerima wahyu pertama daripada Allah swt melalui Malaikat Jibril, kerana pintu masuk gua penuh dengan pelawat lain.

Penat tak? Sungguh penat. Tetapi pemandangan malam indah dan kesunyiaan yang didapati di puncak adalah berbaloi.

Selepas berehat selama kira-kira 30 minit, Min dan saya turun Jabal al-Nour untuk balik ke hotel. Kaki pun dah cramp jadi sampai di sini sahaja ya. Selamat malam! - IZ

[MAKKAH, 2 petang] Nampaknya cabaran melakukan ziarah menggunakan pengangkutan awam separa berjaya. Walaupun ada tempat yang dapat dituju melalui bas awam seperti Masjid Ju’ranah, tidak kurang juga tempat-tempat yang sukar diakses dan hanya dapat dituju melalui kenderaan peribadi.


Malah, di beberapa tempat juga, sukar dapatkan khidmat e-hailing seperti Uber kerana kenderaan jarang melalui kawasan itu. Jadi kalau nak DIY ziarah, mungkin ada baiknya hal-hal ini diberi pertimbangan.

Alhamdulillah Iz sudah rasa lebih sihat hari ini dan akan menyertai cabaran seterusnya - kembara berjalan kaki. Kami akan lakukan aktiviti ini lewat sedikit agar cuaca tidaklah begitu terik.

Lokasi pertama adalah Jabal Thawr, di mana kami akan cuba daki hingga ke puncak. Menurut sejarah, ada sebuah gua di gunung ini di mana Rasulullah saw dan sahabat Abu Bakar bersembunyi selama tiga hari daripada kaum Quraish.


Lokasi kedua adalah Jabal al-Nour, di mana terletaknya gua Hira. Di sinilah tempatnya Rasulullah saw menerima wahyu yang pertama daripada Allah swt melalui Malaikat Jibril.


Lepas itu, kami akan mencari makanan di sekitar perkarangan Masjidil Haram. Dengar-dengar di Saudi ada satu restoran yang ‘wajib’ dikunjungi, Al-Baik. Baik macam mana? Nanti kami cuba.  - MZ

HARI KEEMPAT 20 OGOS

[MAKKAH, 9.25 malam] Saya mencabar diri saya untuk ke tempat-tempat ziarah menggunakan pengangkutan awam pada hari ini.


Tempat pertama yang saya ziarahi adalah Masjid Ju’ranah, yang juga merupakan salah satu tempat Miqat. 

Saya mengikuti Google Maps untuk ke Stesen Bas Makkah. Perlu jalan sedikit dari Masjidil Haram selama lebih kurang 15 minit. Ada 3 bas yang berlepas dari stesen itu - 10, 8 dan 4. Saya naik bas 10 yang tamat di Ju’ranah. Ada beberapa jemaah berihram juga menaiki bas itu.







Bas selesa dan mempunyai hawa dingin kuat. Paling istimewa, tiada tambang dikenakan. Percuma. Alhamdulillah. Tapi perjalanan makan masa sekitar 1 jam, bergantung pada trafik. Jadi kalau ulang-alik, dah 2 jam habis di jalan raya.

Ada juga bas nombor12 yang pergi ke Tanaeem, satu lagi tempat jatuhkan niat. Tapi ia tidak berhenti atau melalui Stesen Bas Makkah. Boleh semak laman makkahtransit untuk maklumat lanjut.


Saya kemudian bercadang untuk lihat kawasan-kawasan manasik haji, tapi sayangnya pengangkutan awam yang pergi ke tempat-tempat itu - khususnya Mina, Muzdalifah dan Arafah - hanya beroperasi semasa tempoh haji. Jadi nak tak nak, saya kenalah naik uber dari Stesen Bas Makkah sekembali dari Ju’ranah. Ia mengambil masa 20 minit untuk ke Masjid Namirah, terletak di Arafah. Semasa saya sampai pada 5 petang, ia tidak dibuka.







Esok saya dan Izwandi rancang untuk kembara berjalan kaki dan mendaki Gua Hira. Itu pun kalau keadaan dan cuaca mengizinkan. Okay kami rehat. - MZ

[MAKKAH, 11.45 pagi] Nampaknya saya sekali lagi keseorangan. Iz kurang sihat jadi dia sedang rehat di hotel. Secara jujur ibadah umrah semalam memerlukan individu untuk gunakan banyak tenaga dan boleh memakan masa antara 2 hingga 3 jam. Ini belum termasuk tenaga menempuh lautan manusia sekiranya ia musim sibuk. Namun Alhamdulillah, kami sudah menyempurnakan ibadah itu.


Bagi saya, antara cabaran utama manasik umrah adalah asakan manusia, tidak kira semasa tawaf atau sai. Kenalah banyak bersabar.







Saya akan pergi berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sini. Cabaran pada hari ini adalah seberapa mungkin, saya akan cuba naik pengangkutan awam saja. Saya akan ke salah satu tempat Miqat (tempat khas jatuhkan niat haji/umrah) iaitu Masjid Ji’ranah, kemudian ke Masjid Namirah di Arafah. 

Saya akan cuba melewati Mina dan Muzdalifah sebelum kembali ke Masjidil Haram untuk makan malam. Jadual nampak padat... jadi jom! - MZ

HARI KETIGA 19 OGOS

[MADINAH, 11.55 pagi] Saya dan Iz sudah berada di Stesen Kereta api Berkelajuan Tinggi (HSR) Madinah untuk berangkat ke Makkah dan memulakan ibadah Umrah. HSR yang kami akan naiki dijangka berlepas pada 12.30 tengah hari. Jadi kami ada masa sedikit untuk mengopi dan alas perut.


Berbanding perjalanan melalui bas dari Madinah ke Makkah yang memakan masa lebih kurang 5 jam, perjalanan kami melalui HSR akan mengambil sekitar 2 jam. Inshaallah kami akan bersiaran LIVE di instagram BH pada jam 11 malam (waktu sg) bagi merakamkan suasana dalam Masjidil Haram dan membawa anda menjalani ‘umrah’ bersama kami. Kalau anda nak komen, silakan saja! - MZ







[MADINAH, 7 malam] Kami telah mengerjakan umrah dan kami berdoa supaya ibadah kami diterima Yang Maha Esa – IZ & MZ


[MADINAH, 9 pagi] Saya dan Iz akan berangkat dari Madinah menggunakan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Makkah pada tengah hari dan sampai sekitar 2.30 petang. Kami akan menunaikan ibadah umrah sekitar 6 petang bagi mengelakkan cuaca terik. – MZ


[MADINAH, 8.50 pagi] Sekadar hendak berkongsi rancangan kami untuk ke Makkah. Kami bercadang memakai ihram di hotel, sebelum menempah kenderaan menggunakan Uber untuk ke stesen kereta api di Madinah. Setibanya di Makkah, kami bercadang menggunakan Uber lagi untuk mendapatkan kenderaan ke hotel. Jika berpeluang, kami ingin berehat di hotel sebelum memulakan umrah pertama. Doakan kami. – IZ


[MADINAH, 4.57 pagi] Selepas lebih 10 tahun, dengan Izin-Nya, saya akan sekali lagi menjejakkan kaki di Tanah Haram Makkah. Seingat saya, usia saya pada waktu itu ialah 11 tahun.


Diberi kesempatan ini adalah nikmat yang tidak terhingga. Saya tidak sabar sebenarnya. Saya telah ikuti perkembangan bahawa banyak perubahan yang telah berlaku sejak saya mengunjungi Makkah jadi saya nak juga alami dan lihat secara sendiri.







Masa di Madinah pula pantas berlalu. Laungan azan yang sering didengar di corong radio bertambah syahdu apabila mendengarnya secara langsung. – MZ

[MADINAH, 4.50 pagi] Ini kali pertama saya berusaha mengerjakan umrah. Tentunya saya berasa gembira, tetapi saya juga sedikit gementar. Saya gementar kerana risau tidak melakukan umrah sebaik-baik yang termampu. Selepas terbang beberapa jam ke sini, menempuh beberapa cabaran, mungkin ada yang faham. Tapi pada masa sama saya gembira kerana saya akhirnya berpeluang mengerjakan umrah. Sebelum ini, saya hanya dengar cerita daripada arwah nenek saya dan membaca kisah orang mengerjakan umrah atau menonton orang mengerjakan umrah di televisyen sahaja. – IZ







[MADINAH, 4 pagi] Kami bercadang melakukan umrah hari ini. Rancangan kami ialah mengerjakan ibadah ini sebelah petang, mungkin sekitar 6 petang, apabila cuaca tidak begitu terik dan supaya kami dapat rehat yang mencukupi. – IZ & MZ


[MADINAH, 3.30 pagi] Jam menunjukkan 3 pagi. Saya menukar pakaian untuk ke Masjid Nabawi bagi cuba memasuki perkarangan Taman Raudah.


Saya sudahpun menempah slot melalui applikasi rasmi Nusuk, yang perlu dimuat turun. Tetap ia untuk slot antara 1.30-2 pagi. Tawakkal dan cuba saja lah.

Apabila saya menjejakkan kaki keluar dari hotel, sudah ada jemaah yang berjalan ke masjid. Saya lalu menuju ke kawasan makam Rasulullah dahulu, yang mana ada lorong khas bagi jemaah tanpa perlu membuat tempahan.

Oleh kerana is masih lewat pagi sekitar 3.30 pagi, tak lah begitu ramai orang. Laluan untuk melawat makam tersebut adalah sehala dan dijaga pegawai.

Tapi memandangkan tidak ramai orang, saya sempat memanjatkan salam ke atas Baginda dan berdoa sebelum keluar.

Untuk masuk ke Taman Raudah pula, ada laluan khas, di mana pegawai akan semak status tempahan slot. Tak ada slot atau jika slot masa tidak ditepati, anda akan ditolak dari memasuki ruang itu.

Hal itu terjadi pada diri saya kerana sudah melewati masa yang ditetapkan. Saya anggapnya sebagai satu iktibar dan mungkin bukan rezeki saya. 

Sementara itu, tunggu lah waktu Subuh sambil ulang kaji sedikit manasik umrah yang akan dilakukan nanti. Ok nak sambung ulang kaji. - MZ







HARI KEDUA 18 OGOS

[MADINAH,11.45 pagi] Saya dan Iz sedang menantikan azan Zohor di Masjid Quba. Hasrat kami untuk mendirikan solat Jumaat di sini.


Masjid ini dipercayai masjid pertama dibina di dunia semasa zaman Rasulullah. Berbeza dengan Masjid Nabawi yang sibuk dan dikunjungi ramai, keadaan agak berbeza di sini.

Kami menaiki bas Hop-on, Hop-off (HOHO) untuk ke masjid ini. Tak sangka pula perhentian bas HOHO di depan hotel saja. 







Khidmat HOHO di Madinah ini mempunyai 2 laluan iaitu hijau dan merah. Kami ikut laluan merah, yang berhenti di 10 kawasan ziarah seperti tempat peperangan Uhud, Masjid Al-Qiblatain dan Masjid Quba, antara lain.

Tiket boleh dibeli melalui laman ‘city sightseeing‘ dengan harga AS$21 $30 dan boleh ddigunakan selama 24 jam. Penumpang bebas naik atau turun di mana-mana perhentian bas rasmi HOHO (berwarna merah).


Kalau terlepas bas, tak perlu risau. Kekerapan bas adalah setiap 30 minit. Yang penting, jangan hilangkan e-tiket atau tiket cetak, sekiranya anda mencetaknya.

Sementara itu, pembaca mungkin tahu, Masjid Al-Qiblatain di kenali sebagai masjid di mana Nabi Muhammad saw menerima wahyu untuk mengubah arah kiblat daripada Baitulmakdis kepada Makkah.







Masjid ini dibina oleh Sawad ibn Ghanam ibn Ka’ab pada tahun 623 dan antara segelintir masjid di dunia yang mempunyai dua mihrab.

Ok azan hampir berkumandang. Nanti saya sambung lagi. - MZ

[MADINAH,7.35 pagi] Salam Jumaat semua! Saya akhirnya tiba di Madinah petang semalam dan berjaya bertemu dengan Muhaimin di Hotel Elaf Al Taqwa, tempat penginapan kami selama dua malam.







Awal pagi ini, kami berdua menunaikan solat Fajr di Masjid Nabawi yang berhampiran dengan hotel kami. Tak jauh pun, jalan kaki lebih kurang lima minit sudah sampai.

Apabila saya menjejak masuk masjid, tubuh saya diselubungi pelbagai emosi - gembira ada, sedih ada, teruja pun ada.

Suasana di masjid ikonik itu sungguh meriah dengan kehadiran para jemaah yang kelihatan tersenyum lebar dan tidak sabar melakukan solat.

Saya kagum bagaimana jemaah berbilang kaum dan bangsa bersatu untuk beribadah. Inilah detik yang saya sedar bahawa warna kulit dan bahasa pertuturan tidak penting. MasyaAllah, saya amat bersyukur untuk berada di sini.

Kami bercadang untuk melakukan ziarah selepas solat di Masjid Nabawi. - IZ

[MADINAH,7:30 pagi] Sungguhpun subuh, Masjid Nabawi tetap padat dengan jemaah yang ingin menunaikan solat bersama. Suasana begitu syahdu. Tapi pada masa yang sama, ia membakar tekad untuk melakukan ibadah sebaik yang termampu.


Sesudah subuh, saya dan Iz menjamu sarapan ala bufet yang disediakan di hotel. Nak hidangan Arab, Melayu, Barat, semua ada. 







Saya cuba sedikit sebanyak apa yang disajikan, termasuklah indung madu. Bagi saya ini hidangan belum pernah saya cuba. Kemanisannya memang tidak dapat diterangkan.

Dalam pada itu kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengeluarkan panduan untuk memakai pelitup muka bagi jemaah di Makkah dan Madinah, di tengah-tengah penularan varian terbaru Covid-19 yang dikenali sebagai Eris.

Sungguhpun risiko rendah, kerajaan Arab Saudi melalui satu catatan rasmi media sosial memberi nasihat agar jemaah memakai pelitup “bagi melindungi anda dan orang lain daripada jangkitan penyakit”. - MZ

[MADINAH,5:20 pagi] Salam Subuh dari Masjid Nabawi, di Madinah. Kami berdua sudah bersua kembali selepas terpisah dua jam dalam perjalanan dari Jeddah ke sini.


Muhaimin tiba dahulu ke Madina dan sementara menunggu saya dan berpeluang mengalas perut dan menunaikan solat di Masjid Nabawi. Tapi tidak mengapa, saya menyusul dan setelah bersua, kami sempat duduk semeja dan berkongsi kunafa yang dijual di gerai-gerai di sepanjang jalan antara Hotel Intercontinental Dar Al Hijra dan Hotel Maden.







Sedap juga, tidak terlalu manis bagi saya. Dapat juga kami berehat dan berbincang untuk memperhalusi rancangan sebelum memulakan kegiatan ziarah di Madinah.

Mungkin inilah satu kelebihan laksana umrah DIY - kami lebih bebas mengatur jadual dan tidak terikat dengan jadual rombongan. Kami juga boleh mengubah rancangan pada saat terakhir jika ada peluang lain yang muncul

Satu pengajaran awal bagi saya di sini ialah kita perlu tenang dan menghadapi setiap cabaran yang ada dengan perasaan amat. Dan perlu banyak bersabar.

Mujurlah, saya telah berjaya membeli kad SIM dan data tempatan setibanya di Madinah. Anda boleh membeli kad SIM dengan 1 GB data pada harga AS$5. Tapi jika anda perlukan lebih banyak data, ada pilihan untuk membeli kad sim dengan data 20GB pada harga $23. - IZ

HARI PERTAMA 17 OGOS

[MADINAH,12:40 tengah hari] Bersabar… banyak bersabar… Itulah peringatan saya kepada diri sendiri.


Malam semalam, terpaksa tidur lewat kerana ‘black-out’ di hotel. Hari ini pula, saya tidak dapat menaiki kereta api bersama Muhaimin untuk pergi ke Madinah.

Sebab apa? Sebab saya beli tiket bagi perjalanan untuk 16 Ogos dan bukan 17 Ogos… Oops saya mengaku, silap saya! Tapi saya harap Editor orang yang amat memahami.

Hah itulah, tak check sebelum membeli tiket kan sekarang dah susah! Jadi saya terpaksa membeli tiket baru. Alhamdulillah, masih ada baki tiket untuk hari ini, tapi dalam kelas bisnes.


Data roaming untuk telefon bimbit saya pula buat hal hari ini. Sekejap ada, sekejap tidak ada - nak berkomunikasi dengan Muhaimin pun susah…

Sebaik sahaja saya tiba di Madinah nanti, saya akan membeli SIM card tempatan! - IZ

[MADINAH, 10.55 pagi] Nasib badan. Nampaknya saya keseorangan bagi perjalanan dari Jeddah ke Madinah. Rancangannya adalah kami pergi bersama tetapi Izwandi terbeli tiket yang salah. Apa dah. Beliau terbeli tiket bagi perjalanan 16 Ogos... wang tidak boleh dikembalikan.


Ada dua jenis tiket yang dijual. Tiket kelas ekonomi dan tiket kelas bisnes.

Harga tiket kelas ekonomi ialah 145 riyal ($52). Harga tiket kelas bisnes 333.50 riyal. Tidak silap, Izwandi terpaksa beli tiket kelas bisnes kerana itu sahaja yang ada pada hari ini. Kami harap Editor yang menghantar kami bagi tugasan, yang memang baik hati dan agak kacak, juga bersifat murah hati dan dapat menaja tiket ini.







Sementara itu, saya seorang diri dalam kereta api pada masa in, mungkin saya boleh kongsi lebih lanjut mengapa kami pilih untuk bermalam di Jeddah dan pilihan hotel untuk berbuat demikian.

Sebenarnya, kami bermalam beberapa jam di Jeddah kerana hendak merehatkan badan sebelum menunaikan umrah dan kami memilih Hotel Warwick kerana lokasinya yang berhampiran dengan stesen kereta api.

Sebenarnya, ia hanya 5 minit perjalanan dengan kenderaan dan kami boleh berjalan kaki dari hotel ke stesen.

Namun, cuaca begitu panas sehingga kami tidak sanggup untuk berjalan kaki. Saya juga simpati terhadap Izwandi, yang tidurnya terganggu kerana ‘black-out’ di hotel.

Bahang di sini boleh dirasai. Suhu sudah mencecah 35 darjah Celsius sekitar 9.30 pagi. Saya rasa kalau boleh masak telur di jalan raya! - MZ

[MADINAH,1.30 pagi] Sebenarnya saya tertidur. Ingatkan hendak baring sahaja di katil, tetapi mata terlelap. Tidak sangka black-out pula. Harap Izwandi berani seperti saya. - MZ


[MADINAH, 12.50 tengah malam] Alamak! Ada ‘black-out’ pula. Baru hendak mandi! Nasib saya belum sempat tanggalkan pakaian dan ada lampu dari telefon bimbit. Menyesal juga saya tidak hiraukan nasihat rakan kerja saya untuk membawa lampu suluh! Mujurlah saya berani orangnya. Tak tahu Muhaimin macam mana pula. - IZ




@beritahariansg

'Black-out' di hotel pada hari pertama beliau tiba di Jeddah, Izwandi beri 'room tour'... dalam kegelapan. Kongsi tip anda dan kirimkan soalan buat Izwandi dan Muhaimin yang akan menunaikan umrah secara DIY. Terus ikuti juga perjalanan mereka di TikTok dan Instagram Berita Harian. #umrahDIY #DIYumrah #sgnews #beritasingapura #umrah23 #umrah2023 🕋 #fyp #fypnews

♬ original sound - Berita Harian - Berita Harian



[MADINAH, 12:30 tengah malam]


Wah, tidak sabar saya hendak ‘stretch’ dan liutkan badan selepas penerbangan lapan jam. Muhaimin dan saya tiba di Jeddah 9.30 malam dan kini akan bermalam di Hotel Warwick Hotel sebelum berangkat ke Madinah dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Haramain pada 10.30 pagi.

Muka saya sudah berminyak, mata pun sudah berat, jadi sampai di sini sahaja, selamat malam! - IZ




@beritahariansg

Baru Muhaimin dan Izwandi nak rehat di hotel selepas penerbangan selama sekitar 8 jam dari Singapura ke Jeddah, tapi 'black-out' di seluruh hotel pula. Alamak!! Kongsi tip anda dan kirimkan soalan buat mereka. Terus ikuti juga perjalanan mereka di TikTok dan Instagram Berita Harian. Link di bio. #DIYumrah #sgnews #beritasingapura #umrah23 #umrah2023 🕋 #fyp #fypnews

♬ original sound - Berita Harian - Berita Harian



[MADINAH, 12:20 tengah malam]


Salam semua.

Saya dan Izwandi sudah tiba di Jeddah selepas penerbangan lapan jam. Agak penat juga, kerana sudah lama tidak menaiki penerbangan ke tempat sejauh ini.

Selepas pesawat mendarat, kami berjalan ke kawasan pemeriksaan kastam dan Alhamdulillah, dapat melepasi pemeriksaan kastam dan mengambil beg tanpa banyak masalah. Semuanya lancar!

Menyusuli itu, kami menaiki kereta sewa privet ke Hotel Warwick. Kami memilih hotel ini kerana ia berhampiran stesen kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Haramain. Kami cadang untuk menaiki kereta api HSR dari Jeddah ke Madinah selepas sarapan pagi nanti.

Buat masa ini, kami terlalu mengantuk. Rancangan saya setibanya di hotel adalah untuk mandi dan tidur. Selamat malam! - MZ




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >