Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Campur tangan asing ancaman serius dihadapi SG: Shanmugam

Rang dilulus bagi tindakan ke atas pelaku asing, platform dalam talian sejagat yang jadi wadah bagi kempen maklumat berniat jahat
Oct 05, 2021 | 05:30 AM



USULAN undang-undang untuk menangani percubaan pihak asing yang mahu mempengaruhi politik domestik dan mengapi-apikan ketegangan sosial telah diluluskan Parlimen semalam, dengan pemerintah menyifatkan campur tangan asing sebagai salah satu ancaman serius dihadapi Singapura hari ini.



Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam, dalam bacaan kedua Rang Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas), atau Fica, di Parlimen semalam, telah menggariskan bagaimana Singapura mudah terdedah kepada ancaman campur tangan asing, dengan negara ini telah mengalami kedua-dua serangan dan manipulasi sedemikian.



Lebih 15 Anggota Parlimen (AP) terlibat dalam bahas rang itu semalam yang berlanjutan selepas 10 malam.



Di akhir pembahasan yang hangat itu, AP pembangkang mengundi untuk menolak rang undang-undang tersebut. Dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pula mengecualikan diri. Namun, rang itu diluluskan setelah meraih sokongan majoriti AP.



Dalam bacaan kedua rang itu di Parlimen semalam, Encik Shanmugam berkata pemerintah akan diberi kuasa undang-undang luar wilayah untuk mengambil tindakan terhadap pelaku asing dan platform dalam talian sejagat yang sering menjadi wadah bagi kempen maklumat berniat jahat (HIC) dijalankan.



HIC merujuk kepada penggunaan alat dalam talian dan taktik dalam cara berselaras untuk memperdaya atau menghasut pengguna dan memajukan kepentingan sebuah negara asing.



"Kepelbagaian kaum dan agama kami dengan mudah dieksploitasi oleh negara berlainan, dan kami melihat peningkatan dalam naratif berlainan, yang secara bijak dilakukan.



"Ia bukan propaganda yang jelas tetapi ia menentukan orang untuk berfikir dalam cara tertentu, terutamanya mengenai isu dasar asing, yang sering kali menggunakan daya tarikan identiti kaum lebih besar di luar identiti rakyat Singapura," kata Encik Shanmugam.



Beliau berkata demikian berhubung satu laporan oleh kumpulan pemikir Perancis yang dikeluarkan lewat bulan lalu, yang memerhatikan bahawa Singapura mempunyai beberapa sifat yang menjadikan negara ini kedua-dua mudah terdedah kepada bahaya dan berdaya tahan terhadap operasi pengaruh China.



Encik Shanmugam menukil laporan itu sedang beliau menjelaskan sebab-sebab bagi rang itu, yang bertujuan menangani campur tangan asing dalam politik domestik yang dilakukan menerusi HIC dan proksi tempatan.



Beliau berkata operasi mengintip dan subversi tradisional telah meningkat dalam skop dan kehebatan dengan adanya kemudahan komunikasi moden, interaksi yang semakin meningkat, pelancongan, teknologi yang berubah dan Internet sebagai wadah baru yang berkuasa.



Beliau memberi contoh beberapa kejadian campur tangan asing di Singapura, seperti pada 2017 apabila ahli akademik kelahiran China, Huang Jing, cuba mempengaruhi pembuat keputusan kanan dalam pemerintah, dan pada 2018 apabila terdapat kenaikan dalam komen dalam talian yang kritikal terhadap Singapura semasa ketegangan dengan Malaysia.



Menyentuh tentang keprihatinan rang itu dibahaskan hanya tiga minggu selepas ia kali pertama dibentangkan pada 13 September lalu, Encik Shanmugam berkata isu campur tangan asing di Singapura telah dibincangkan secara meluas sejak 2018, dan kebanyakan keterangan didengar jawatankuasa pilihan mengenai berita palsu.



Semalam, Parti Pekerja (WP) menyarankan langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah di bawah undang-undang itu, manakala Parti Kemajuan Singapura (PSP) meminta agar kelulusan undang-undang itu ditangguhkan untuk mengadakan perundingan awam.



Ketua Pembangkang dari WP, Encik Pritam Singh, semasa bahas rang itu juga telah mengingatkan tentang doktrin pengasingan kuasa dan bahawa kedaulatan undang-undang memerlukan sistem sekatan dan imbangan ke atas pelaksanaan kuasa eksekutif.



Membalas, Encik Shanmugam berkata: "Jika pemerintah ini tidak mengikuti prinsip tersebut secara asas dan tidak mengiktiraf bahawa ia asas kewujudan kita - kedaulatan undang-undang, pengasingan kuasa, melakukan perkara mengikut undang-undang - kita tidak akan berada di sini."



DARI PARLIMEN






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >