Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dakwaan RRG ditubuh dua asatizah atas 'arahan dan galakan' ISD tidak tepat

Cemar nama baik beberapa ulama setempat yang sangat dihormati di Singapura; ia khusus memberi kaunseling agama kepada individu radikal berserta keluarga
Mar 09, 2022 | 05:30 AM



DAKWAAN tidak berasas oleh akaun Facebook 'Fikrah Siyasah' telah memberi gambaran yang amat tidak tepat tentang Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selain mencemarkan nama baik beberapa ulama setempat yang sangat dihormati di Singapura.



Naib Pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, tampil membuat kenyataan itu dalam satu catatan Facebook RRG malam kelmarin sebagai respons tegas membidas tiga catatan yang telah dimuat naik ke akaun Fikrah Siyasah minggu lalu.



Catatan tersebut antara lain mendakwa bahawa RRG telah ditubuhkan oleh dua asatizah atas "arahan dan galakan" dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).



Ia turut mendakwa RRG ditubuhkan untuk bersekongkol dan "berkhidmat" kepada ISD dan bukan untuk individu yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selain "membenarkan penahanan tanpa pembicaraan".



Memberikan responsnya terhadap catatan-catatan tersebut, Dr Mohamed berkata ia menjadi tanggungjawab beliau untuk memperjelaskan dakwaan-dakwaan tidak benar tersebut, yang diharap dapat membantu mereka yang membuat salah tanggapan itu.



Beliau menambah, seperti yang diketahui ramai, keputusan untuk menubuhkan RRG adalah agar dapat memberi kaunseling kepada individu-individu radikal dan ia merupakan keputusan yang diusahakan bersama dan dipertimbangkan dengan teliti oleh sebilangan ulama dan asatizah mapan setempat.



Mereka merupakan Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hashim, Allahyarham Ustaz Syed Ahmad Muhammad Semait, Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, Allahyarham Ustaz Ibrahim Md Kassim, Allahyarham Ustaz Hassan Mustakim, Allahyarhamha Ustazah Sharifah Badriyah, Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohd Hasbi Hassan.



Justeru, ini sama sekali bercanggah dengan dakwaan yang dibuat individu di sebalik akaun FB Fikrah Siyasah itu yang menuduh pengerusi bersama RRG, Ustaz Ali sendiri yang ingin menubuhkan kumpulan tersebut.



Difahamkan individu di sebalik akaun tersebut ialah Zulfikar Mohamad Shariff, yang sebelum ini pernah ditahan di bawah ISA dan dibimbing serta diberikan khidmat kaunseling semasa ditahan oleh ISD.



Memberitahu Berita Harian (BH), Dr Mohamed berkata anggota RRG tidak akan mendedahkan identiti individu yang menjalani kaunseling bersama mereka sebagai menghormati privasi mereka.



Namun, daripada perkongsian yang agak terperinci dalam catatan-catatan Fikrah Siyasah, ia jelas bahawa individu tersebut adalah Zulfikar.



Memperjelaskan bagaimana RRG mula ditubuhkan, Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, yang juga Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) berkata kumpulan tersebut mula terbentuk setelah pengarah ISD pada ketika itu, Encik Benny Lim, bertemu dengan para masyaikh (penasihat mapan) Pergas untuk menanyakan jika Pergas boleh membantu dalam menangani masalah Jemaah Islamiyah (JI).



"Para masyaikh Pergas pada ketika itu sebulat suara menyatakan persetujuan membantu menangani masalah JI. Seterusnya Ustaz Ali diberi peranan merealisasikan persetujuan dan usaha ini.



"Maka terbentuklah RRG dengan Ustaz Ali mewakili masyaikh dan saya sendiri pada ketika itu sebagai Naib Presiden Pergas mewakili Pergas," jelas Ustaz Hasbi.



Beliau menambah usaha pembentukannya bermula dengan penyusunan rangka RRG yang terdiri daripada pengerusi bersama, sekretariat dan anggota-anggotanya yang lain serta "rangka kerja yang perlu diikuti agar RRG terpandu dalam pergerakannya".



Dr Mohamed berkata: "Usaha mereka dalam memikul tanggungjawab bagi menangani masalah ini, merangka program kaunseling agama untuk individu radikal melalui RRG, dan untuk mewujudkan benteng bagi melindungi masyarakat terhadap ideologi ekstremis.



Menurut beliau lagi, catatan FB itu bukan sahaja jelas menunjukkan rasa tidak hormat kepada semua ulama mapan tersebut, namun ia turut melontarkan serangan yang berunsur fitnah terhadap komitmen dan niat mulia Ustaz Ali untuk berkhidmat kepada masyarakat Muslim di sini.



Ustaz Ali sudah melalui banyak cabaran dan menyediakan panduan menerusi pengalamannya kepada para asatizah dan masyarakat Muslim selain pernah menyandang beberapa jawatan, termasuk Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan Jawatankuasa Fatwa, tambah Dr Mohamed.



Dr Mohamed turut menolak dakwaan palsu yang dibuat Fikrah Siyasah yang menyatakan beliau menganggap pengganasan khususnya dicetuskan oleh Muslim.



"Ramai yang menyokong sebaliknya; bahawa saya dan anggota RRG yang lain memandang pengganasan sebagai kegiatan politik yang tidak eksklusif kepada mana-mana kaum atau agama.



"Islam adalah agama keamanan dan RRG sentiasa mendukung idea rahmah bagi semua rakyat Singapura. Sesiapa yang menggalak keharmonian dan keamanan adalah duta Islam," jelas beliau.



RRG rasmi ditubuhkan pada 2003 dan kumpulan yang dianggotai asatizah surelawan itu tampil menawarkan bimbingan dan kaunseling agama kepada anggota kumpulan pengganas JI agar tidak terus terpesong daripada ajaran agama yang sebenar.



Sejak itu, RRG giat menawarkan khidmat kaunseling agama kepada keluarga anggota JI serta individu yang menjadi radikal sendiri.



Bermula dengan 11 anggota, RRG kini mempunyai 46 anggota.



Menyentuh tentang usaha yang telah dilakukan setiap anggotanya, yang merupakan sukarelawan, Dr Mohamed berkata para sukarelawan RRG yang tidak dibayar gaji, sudah berkorban masa peribadi dan juga bersama keluarga untuk menyediakan khidmat kaunseling kepada individu-individu yang mudah terpengaruh ini.



Perkara ini turut diakui beberapa anggota RRG yang dihubungi Berita Harian termasuk Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar dan Ustaz Mustazah Bahari. .



Ustazah Kalthom yang merupakan kaunselor RRG sejak 2005 pula berkata beliau telah menyaksikan sendiri jiwa dan niat para masyaikh RRG, betapa mereka prihatin keadaan para tahanan dan keluarga mereka, sehinggakan dalam usia lanjut, mereka terus mengusahakan untuk membantu.



"Akan tetap ada minoriti yang salah faham dengan kami dan usaha kami. Tangan kami terbuka luas untuk mengadakan perbincangan dengan mereka yang tidak faham tentang usaha ini... RRG akan terus bertahan dan berkhidmat," ujarnya, yang juga naib presiden Pergas.



Dr Leyaket menegaskan bahawa "RRG dan, ulama setempat, tidak bersama, tidak bekerja untuk, mahupun digajikan pemerintah Singapura".



"Kredibiliti RRG adalah berdasarkan kepakaran pemimpin agama dan ahlinya dalam menegakkan Islam dalam bentuk terbaiknya dan memahami dari sudut konteks masa dan tempat kita.



"Dan atas sebab ini: ISD tidak mempunyai pengetahuan tentang Islam, bahawa mereka menghampiri dan berunding dengan pemimpin Islam kita, untuk membantu mereka dengan isu yang berlaku ketika itu," kata Dr Leyaket yang juga merupakan pengarah urusan Attawasol Insaniy.



Sementara itu, Ustaz Mustazah berkata beliau bimbang akan khabar yang bersifat berat sebelah itu mudah dipercayai dalam kalangan masyarakat sambil menambah kecaman yang ditujukan kepada RRG adalah bersifat sinis dan tidak adil.



Dr Leyaket turut menyeru kepada masyarakat yang 'termakan' dengan fitnah yang dibuat Fikrah Siyasah agar mengutamakan adab di dalam pembahasan.



"Pendapat saya ia adalah sesuatu yang tidak wajar bagi seorang yang berada di luar Singapura yang tidak mendapatkan maklumat yang sebenarnya mengutarakan pendapat dan menghasut masyarakat kita di Singapura untuk membenci ulama' setempat yang telah banyak berjasa," ujarnya.




"Para masyaikh (penasihat mapan) Pergas pada ketika itu sebulat suara menyatakan persetujuan membantu menangani masalah JI. Seterusnya Ustaz Ali diberi peranan merealisasikan persetujuan dan usaha ini.

Maka terbentuklah RRG dengan Ustaz Ali mewakili masyaikh dan saya sendiri pada ketika itu sebagai Naib Presiden Pergas mewakili Pergas."

- Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, yang juga Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



"Usaha mereka (ulama dan asatizah mapan setempat) dalam memikul tanggungjawab bagi menangani masalah ini, merangka program kaunseling agama untuk individu radikal melalui RRG, dan untuk mewujudkan benteng bagi melindungi masyarakat terhadap ideologi ekstremis.

Usaha perintis ini telah diiktiraf oleh ramai orang di seluruh dunia dan dicontohi. Ini merupakan sesuatu yang menjadi kebanggaan RRG dan masyarakat Singapura."

- Naib Pengerusi RRG, Dr Mohamed Ali.




ZULFIKAR MOHAMAD SHARIFF: INDIVIDU DI SEBALIK AKAUN FB FIKRAH SIYASAH



  • Pernah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2016 atas kegiatan berkaitan pengganasan dan juga kerana menjadikan radikal sekurang-kurangnya dua warga Singapura.

  • Sejak sekitar 2013, Zulfikar menubuhkan kumpulan dalam talian yang bernama Al-Makhazin dan menggunakan Facebook untuk mewujudkan pelbagai wadah Al-Makhazin dengan tujuan mencabar media Barat.

  • Beliau juga telah membuat banyak catatan Facebook yang mempromosi dan mengagung-agungkan kumpulan pengganas ISIS dan tindakan ganasnya.

  • Beliau meninggalkan Singapura dan telah menetap di Australia bersama keluarganya sejak 2002 setelah berlaku persengketaan di sini bersama pemimpin Muslim dan pihak berkuasa. Pada 2011, beliau telah memohon kerakyatan Australia.

 



Laporan lain:



Zulfikar Shariff ditahan di bawah ISA kerana menyokong pengganas



Shanmugam: Zulfikar sudah langgar batas



Iktibar daripada penahanan Zulfikar



Ideologi sebaran Zulfikar cipta keadaan bagi sifat ekstrem untuk mekar



Asatizah setempat anggap ideologi Zulfikar racun, semai permusuhan



Peralihan Zulfikar dari seorang radikal kepada ekstremis



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >