Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dulu berhenti sekolah dek ‘kecewa’ dengan keputusan, kini lulusan terbaik kursus

Institut Pendidikan Teknikal (ITE) baru-baru ini mengadakan majlis untuk mengiktiraf usaha pelajar-pelajar terbaik ITE 2023. Wartawan BERITA HARIAN menemu ramah dua lulusan terbaik yang berkongsi pengalaman pahit dan manis mereka di institusi itu. 
Jul 28, 2023 | 08:56 PM



Menerima keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ yang mengecewakan membuatkan beliau tawar hati untuk sambung belajar.

Justeru sedang rakan-rakan sebayanya melanjutkan pendidikan, Encik Muhammad Haikal Radzuan Ramli sebaliknya melangkah ke alam pekerjaan dan menerokai pelbagai bidang pekerjaan dari sektor makanan ke penganjuran acara, tetapi dari situlah beliau akhirnya menemui minatnya, iaitu dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Lapan tahun setelah meninggalkan alam persekolahan, Encik Haikal, yang pada waktu itu bekerja dalam peranan sokongan teknikal di sebuah studio muzik, kemudian membuat keputusan untuk kembali ke sekolah supaya dapat mempertingkat dirinya.

Beliau mengambil Nitec Lanjutan dalam kursus Rangkaian dan Sistem IT sebelum melanjutkan pengajian ke kursus Penyepaduan Sistem IT bagi Diploma Kerja-Belajar.

Keputusannya itu ternyata berbaloi dan tidak sia-sia kerana kini beliau merupakan lulusan terbaik dalam kursusnya, malah dianugerahkan Pingat Emas Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef) yang diberikan kepada pelajar cemerlang.

Lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat itu ketika ditemui Berita Harian memanjatkan kesyukuran atas pencapaian beliau.


Menceritakan perjalanannya, pemuda berusia 29 tahun itu berkata:

“Apa yang mencetuskan keinginan kembali ke sekolah adalah kerana saya sedar bahawa jika saya minat dalam sesuatu, saya sebenarnya boleh belajar dan meraih banyak ilmu dengan cepat secara sendiri... justeru, saya rasa saya boleh pergi lebih jauh. Saya ingin mempertingkat diri supaya tidak terus berada di tahap yang sama.”

Beliau akur bahawa walaupun pengalaman pekerjaan itu penting dalam bidang IT, kelayakan kertas juga sama penting untuk membantu dirinya mendaki tangga kerjaya dengan lebih cepat.

Namun, perjalanannya kembali ke sekitaran sekolah bukan mudah kerana anak kedua dalam tiga adik-beradik itu terpaksa bekerja sambilan sebagai pemandu Grab setelah waktu sekolah demi membantu menanggung bil rumah keluarganya serta perbelanjaan perubatan arwah ibunya yang ketika itu menghidap barah buah dada.

Ibunya tidak lama kemudian meninggal dunia, dan walaupun dirundung kesedihan pada waktu itu, memori ibunya menjadi pembakar semangat untuk Encik Haikal berjaya dalam pelajaran.

“Ibu yakin bahawa saya mampu berjaya dan itu memberi saya lebih dorongan... jadi apabila saya hilang tumpuan, rasa malas, saya teringat akan ibu saya yang percaya dalam diri saya... itu memberi saya motivasi dan saya sentiasa ingat kata-katanya,” ujar bapa satu anak itu.

Kini, jurutera rangkaian di sebuah firma itu berkata beliau bakal melanjutkan pengajian ijazah sepenuh masa dalam bidang keselamatan siber di Universiti SIM (UniSIM).

Beliau juga telah diberi jaminan oleh majikannya bahawa sekembalinya ke alam pekerjaan nanti, beliau akan ditawarkan peranan yang lebih baik dengan gaji lebih tinggi.

Meninggalkan nasihat, beliau berkata:

“Ia sentiasa penting untuk mempertingkat diri... jadi jangan takut sekiranya anda ingin kembali ke sekolah tidak kira usia anda, tidak kira jika anda mempunyai keluarga atau sedang menanggung orang lain, sekolah mempunyai kurikulum yang dirancang dengan sempurna untuk anda... tentunya akan terdapat kesukaran, tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >