Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Kesal ibu bapa uzur terabai semasa dipenjara dek dadah

Jun 29, 2023 | 05:30 AM



Sempena Hari Raya Haji ini, ikuti kisah bekas penagih dadah yang ingin memulakan kehidupan baru setelah terjerumus dalam fasa gelap mereka. Mereka kini ingin berbakti kepada keluarga dan masyarakat. BERITA HARIAN (BH) memaparkan dua kisah bekas penagih dadah.


Badannya pernah kurus kering dan tidak tidur berhari-hari.

Itulah yang dikongsi Encik Sallehhuddin Samsir Ali, 37 tahun, yang pernah ketagih dan mengedar ‘ice’ selama sembilan tahun.




@beritahariansg

LEBIH sedekad yang lalu, Encik Sallehhuddin Samsir Ali, 37 tahun, mula menjual dadah kerana sangkanya ia satu-satunya jalan untuk mendapatkan wang bagi menampung kos perubatan ibunya yang menghidap barah buah dada. Namun hidupnya berubah dari saat itu dan beliau juga menjadi seorang penagih dadah, sehinggalah beliau ditangkap. #bhnews #bhsg

♬ original sound - Berita Harian - Berita Harian



Beliau mula terjerumus dalam dunia dadah kerana ingin menyara hidup ibu bapa dan dirinya.

Pada 2009, ibunya, kini 75 tahun, disahkan menghidapi barah buah dada tahap tiga. Hanya beberapa minggu selepas pengesahan itu, beliau berpaling kepada penjualan dadah untuk membantu biayai kos perubatan.

“Saya tahu tanggungjawab saya adalah untuk menyara ibu bapa dan menjaga mereka setelah mereka bertungkus lumus membesarkan saya. Saya perlu ingat jasa mereka,” kata Encik Sallehhuddin yang juga anak tunggal keluarga itu.

Meskipun beliau tahu penjualan dadah itu salah, beliau seperti tidak mempunyai cara lain untuk mengumpul wang dengan cepat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kebaikan ibu bapanya seperti mencuba meminjam wang daripada saudara.

“Tanggungjawab saya begitu berat sehingga saya rasa tidak terpikul. Sampai sekarang, saya hanya mampu ‘seret’ tanggungjawab saya tapi saya akan cuba berikan yang terbaik untuk laksanakannya,” jelasnya.

Namun, beliau dipenjarakan pada 2017 atas penggunaan dadah dan hanya dilepaskan enam bulan kemudian.

Semasa di penjara, beliau sedar penjualan dadah bukan pilihan tepat kerana kini ibu bapanya tidak terjaga dan tanggungjawabnya terabai.

“Apabila ibu bapa saya datang menjenguk saya di penjara, hati saya remuk. Saya teringat tentang bagaimana pilihan saya telah menjejas mereka. Mereka kini tidak mempunyai satu-satu anak mereka di sisi untuk menjaga mereka,” jelasnya.

Apabila keluar penjara, beliau akhirnya berpaling arah dan cuba menjaga ibu bapanya dengan cara yang betul. Kini, beliau masih menjaga ibu bapanya seorang diri sambil bekerja untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Ibunya, yang sudah pulih daripada barah pada 2017, kini memerlukan bantuan bergerak dan mengalami komplikasi di tangan kiri selepas pembuangan satu buah dada.

Ibunya tidak boleh menggunakan tangannya yang bengkak untuk melakukan aktiviti seperti memasak dan membersihkan rumah.

Bapa Encik Sallehhuddin yang berusia 76 tahun pula kini menghidap bronkitis dan menggunakan alat penafasan untuk membantunya bernafas.

Doktor dan jururawat HCA Hospice juga akan mengunjungi rumah mereka dua kali sebulan untuk memantau kesihatan bapanya.

Selepas pulang kerja syif malam, Encik Sallehhuddin akan pastikan semua ubat ibu bapanya dan makanan diuruskan.

“Di kerja, saya akan selalu pantau pergerakan ibu bapa saya melalui kamera di rumah. Setiap kali terdapat pergerakan, saya akan menerima notifikasi dan saya akan segera memeriksa rakaman langsung kamera kerana takut apa-apa terjadi,” jelasnya yang bekerja kontrak di cawangan 7-Eleven di kolong bloknya.

Kontrak tersebut akan tamat pada akhir Jun dan beliau telahpun menerima tawaran kerja sebagai pengurus operasi majlis.

Bagi Encik Sallehhuddin, tawaran itu merupakan satu rezeki, dan dengan jadual kerja lebih fleksibel yang akan membolehkannya meluangkan lebih banyak masa di rumah.

PELUANG KEDUA

Mengenang semula tentang penangkapannya oleh pihak polis, beliau berasa amat bersyukur atas kejadian itu. Setelah kian lama ketagih dadah, beliau sedar akan perubahan negatif dari segi tingkah laku dan bentuk fizikalnya.

Malah, semasa ditahan polis, Encik Sallehhuddin mengucapkan terima kasih kerana membantunya berhenti ketagihan.

“Selama itu, saya tidak percaya saya ketagih dan saya akan beritahu diri bahawa ini bukan ketagihan. Saya rasa susah nak henti gunakan dadah dan polis telah membantu saya mengorak langkah ke arah kehidupan yang lebih bersih,” jelasnya yang juga bersujud syukur apabila ditahan.

Semasa dalam penjara, beliau akan menghabiskan masa bersolat, menangis dan merenung tembok. Ruang untuk bermuhasabah itu telah membantunya sedar akan kesilapan itu.

Beliau juga sedar bahawa ramai lagi keluarga yang mungkin hancur akibat penjualan dadahnya dan beliau tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantu kesemua penagih itu.

Lantas, beliau bersyukur dikurniakan peluang kedua untuk memperbetulkan kehidupannya dan orang sekeliling.

BANTU PENAGIH LAIN

Bukan dirinya sahaja yang ingin beliau bantu. Beliau juga berharap dapat membantu penagih lain yang pernah senasib seperti beliau.

“Sebagai seorang penagih, saya sendiri pernah menolak nasihat dan bantuan orang lain kerana saya rasa mereka tidak memahami keadaan saya,” jelasnya.

Namun, beliau berharap pengalamannya dapat dijadikan cara untuk berinteraksi dengan penagih lain.

“Semua orang mempunyai pertarungan dan kisah berlainan. Kisah saya tidak sama dengan penagih lain tetapi saya berharap pengalaman saya boleh membantu orang lain,” tambahnya.

Encik Sallehhuddin kini sedang berbincang dengan Pekerja Sosial Perubatan (MSW) untuk memikirkan cara untuk membimbing dan menasihati banduan lain.

Berdasarkan pengalamannya, satu cara untuk mendekati penagih adalah penggunaan individu terkenal dan berpengaruh seperti Hady Mirza atau Aaron Aziz.

Pada mulanya, beliau tidak mengendahkan kata-kata daripada sesiapa pun. Namun, beliau pernah melihat penyanyi Fuad Rahman membaca surah Al-Insyirah di televisyen. Belia kagum melihat seorang bekas penagih mampu mengubah kehidupannya dan mempelajari agama.

“Saya kesal tidak mempelajari agama dari awal lagi. Takkan saya nak tunggu masuk penjara baru nak belajar agama?” kongsi Encik Sallehhuddin yang berharap dapat meningkatkan ilmu agamanya.

Harapannya adalah untuk berkongsi pengalaman dan kisahnya kepada penagih lain sebagai peringatan bahawa walaupun usaha menghenti penggunaan dadah adalah sukar, ia bukanlah mustahil.

“Sebelum lakukan apa-apa, ingatlah keluarga di rumah atau orang yang dikasihi. Dahulu, saya tidak fikirkan tentang padahnya dan saya kecewakan keluarga tercinta.

“Saya beruntung diberi kesempatan kedua. Tidak semua orang akan mendapat kesempatan ini,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >