Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Silap langkah: AP yang turut letak jawatan dek hubungan sulit

Jul 18, 2023 | 07:36 PM



Kehidupan peribadi Anggota Parlimen (AP) menarik perhatian ramai selepas Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, dan AP Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Cheng Li Hui, meletak jawatan apabila hubungan sulit mereka menjadi sorotan.

Encik Tan dan Cik Cheng meletak jawatan daripada PAP pada Isnin selepas Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mendapat tahu pada Julai bahawa kedua-dua mereka tetap meneruskan hubungan meskipun setelah dinasihati.

Pada Isnin juga, tular di dalam talian sebuah video yang menunjukkan AP Parti Pekerja (WP), Encik Leon Perera, dan anggota kanan WP, Cik Nicole Seah, berkongsi detik yang intim.

WP berkata mereka sedang menyiasat video itu.

Berikut antara skandal melibatkan hubungan sulit yang telah mencemari nama AP setempat serta bagaimana parti mereka menanganinya.

1. Yaw Shin Leong

Apa yang berlaku?


Khabar angin mula tersebar pada Januari 2012 bahawa Encik Yaw, yang ketika itu berkhidmat sebagai AP WP bagi Hougang, mempunyai hubungan sulit dengan seorang anggota WP yang sudah berkahwin.

Beliau didakwa menjalin hubungan dengan seorang warga China yang sudah berkahwin, yang membantunya menterjemah ucapan Parlimen beliau.

Pada 7 Februari 2012, Encik Yaw, yang ketika itu berusia 35 tahun, meletak jawatan sebagai bendahari WP namun terus berkhidmat sebagai anggota WP dan AP.

Encik Yaw dan WP tidak memberi penjelasan bagi peletakan jawatannya.

Bagaimana parti tanganinya?


WP memecat Encik Yaw pada 15 Februari, dengan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP – Encik Low Thia Kiang, Cik Sylvia Lim, Encik Pritam Singh dan Encik Gerald Giam – mempengerusikan bersama satu sidang media hari itu di ibu pejabat di Syed Alwi Road.

Semasa sidang media itu, CEC WP berkata mereka telah menjadualkan mesyuarat malam sebelumnya dan memberi Encik Yaw peluang menjelaskan keadaan namun beliau tidak hadir.

Dengan mengambil kira perbuatannya yang berulang kali enggan menerangkan dakwaan itu, CEC WP mengundi dan majoriti bersetuju agar beliau dipecat daripada parti itu.

2. Michael Palmer

Apa yang berlaku?


Sebagai orang Serani pertama yang berkhidmat sebagai Speaker Parlimen sejak Singapura mencapai kemerdekaan, serta individu kedua termuda memegang jawatan itu, kerjaya politik Encik Palmer tampak cerah.

Namun, Encik Palmer, 44 tahun, meletak jawatan daripada semua jawatan, termasuk sebagai AP Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol East, disebabkan hubungan sulit yang dijalinnya dengan seorang pengarah kawasan undi Persatuan Rakyat (PA) pada lewat 2012.

Encik Palmer, bapa seorang anak, merupakan AP PAP pertama yang diketahui meletak jawatan disebabkan hubungan sulit.

Selama lebih setahun, beliau menjalin hubungan dengan Cik Laura Ong, yang berkhidmat di GRC Pasir Ris-Punggol. Cik Ong 11 tahun lebih muda daripadanya.

Cik Ong telah berkahwin pada Mac 2006 namun berpisah dengan suaminya dua tahun kemudian.

Bagaimana parti tanganinya?


Encik Palmer memaklumkan kepada PAP tentang hubungan sulit beliau pada 8 Disember 2012 dan menawarkan untuk meletak jawatan.

Peletakan jawatannya diterima oleh Encik Lee, yang bertemu dengannya keesokan hari.

Pada 12 Disember 2012, Encik Palmer meletak jawatan, dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Teo Chee Hean, mempengerusikan bersama satu sidang media di ibu pejabat PAP di New Upper Changi Road.

3. David Ong

Apa yang berlaku?


Bapa tiga anak ini menyertai politik pada 2011 sebagai calon paling matang PAP pada usia 49 tahun semasa pilihan raya umum tahun itu.

Beliau bertanding di GRC Jurong dan kemudian menang.

Pada 2016, usahawan yang berkhidmat sebagai AP SMC Bukit Batok ketika itu, meletak jawatan sebagai AP dan daripada partinya atas sebab peribadi.

Beliau dipercayai menjalin hubungan sulit dengan aktivis akar umbi di kawasan undinya.

Hubungan itu difahamkan telah terjalin selama sekurang-kurangnya enam bulan. Wanita itu 13 tahun lebih muda daripadanya. Jalinan kasih itu terbongkar selepas suaminya mengadu mengenainya.

Encik Ong meletak jawatan pada 12 Mac, menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Namun, tiada butiran diberi tentang hubungan sulit itu, melainkan maklumat tambahan yang diterbitkan oleh akhbar bahasa Cina, Lianhe Zaobao, malam itu.


Bagaimana parti tanganinya?


Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Tharman Shanmugaratnam, mengadakan sidang media kurang sejam selepas Encik Ong meletak jawatan.

Berita itu disifatkan sebagai tidak dijangkakan langsung, dengan Encik Tharman berkata tiada khabar angin yang timbul sebelum Pilihan Raya Umum 2015.

4. Tan Chuan-Jin

Apa yang berlaku?


Kira-kira seminggu selepas video yang menunjukkan Speaker Parlimen itu menuturkan kata-kata kurang wajar, “****ing populist” menyusuli ucapan AP WP, Dr Jamus Lim, di Parlimen, Encik Tan, 54 tahun, dikaitkan pula dengan satu lagi skandal.


Encik Lee mendedahkan bahawa mantan AP GRC Marine Parade itu menjalin hubungan dengan AP GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui, 47 tahun.

Hubungan itu dikatakan terjalin selama beberapa tahun dan pasangan itu tetap meneruskan hubungan itu walaupun telah dinasihati oleh Encik Lee pada Februari 2023.

Tidak jelas bila hubungan antara Encik Tan, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata, dengan Cik Cheng, yang masih bujang, bermula. Namun, Encik Lee mendapat tahu tentangnya selepas Pilihan Raya Umum 2020.

Bagaimana parti tanganinya?


Encik Lee telah menasihati Encik Tan dan Cik Cheng apabila hubungan mereka diketahui pada 2020, namun mereka tetap meneruskan hubungan itu.

Encik Lee bercakap dengan mereka lagi pada Februari apabila Encik Tan mengakui kesilapannya dan menawarkan untuk meletak jawatan, yang kemudian diterima Encik Lee.

Sementara itu, Encik Lee turut mengarahkan Encik Tan untuk memastikan keperluan penduduknya di kawasan undi Kembangan-Chai Chee dan GRC Marine Parade dijaga, selain meminta Encik Tan memutuskan hubungannya dengan Cik Cheng.

Meskipun diberi amaran berulang kali, hubungan mereka berterusan, dengan Encik Lee juga mendapat maklumat yang menyarankan mereka masih menjalin hubungan.

Encik Lee kemudian memutuskan agar Encik Tan perlu mengundur diri. Pasangan itu meletak jawatan pada Isnin.

5. Leon Perera

Apa yang berlaku?


Parti Pekerja (WP) mengumumkan mereka sedang menyiasat satu klip video yang tular di dalam talian yang menunjukkan detik intim antara dua anggota kanan parti itu pada Isnin.

Video 15 saat itu menunjukkan Encik Perera, yang juga AP GRC Aljunied, mengusap tangan seorang anggota CEC WP dan presiden Sayap Belia WP, Cik Nicole Seah, di sebuah restoran.

Kedua-dua Encik Perera dan Cik Seah sudah berkahwin dan masing-masing mempunyai anak.

Dalam satu sidang media pada Rabu, ketua WP, Encik Pritam Singh, berkata mereka menerima surat peletakan jawatan Cik Seah pada Selasa manakala Encik Perera pula meletak jawatan pada Rabu.

Bagaimana parti tanganinya?


Encik Singh memberitahu media pada Rabu bahawa sekitar lewat 2020 dan awal 2021, beliau diberitahu oleh pemandu Encik Perera menerusi WhatsApp bahawa Encik Perera dan Cik Seah kerap bertemu di restoran dan hotel serta dilihat berpelukan dan berpegang tangan.

Kedua-dua Encik Perera dan Cik Seah pada awalnya menafikan dakwaan itu.

Pemandu Encik Perera itu juga memberitahu hal tersebut kepada anggota WP lain dan mereka bercakap dengan Encik Perera dan Cik Seah tentangnya selepas itu namun kedua-duanya tetap menafikannya.

Apabila video menunjukkan Encik Perera mengusap tangan Cik Seah di sebuah restoran tular di dalam talian pada Isnin, Encik Singh berkata itulah kali pertama anggota parti menontonnya dan beliau segera menghubungi Encik Perera dan Cik Seah untuk bertemu mereka secara berasingan.

Kedua-dua mereka mengaku menjalin hubungan sulit itu sejak selepas pilihan raya umum 2020 namun telah mengakhirinya, menurut Encik Singh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >