Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CATATAN WARTAWAN

Latih anak guna tandas bukan mudah, perlu sabar, siap sedia

Jun 26, 2023 | 05:30 AM



Pengalaman mengajar anak saya menggunakan tandas untuk buang air kecil dan buang air besar beberapa bulan lalu adalah sesuatu yang membuka mata.

Ia banyak mengajar saya supaya bersabar, tidak membandingkan anak saya dengan anak orang lain, dan yakin bahawa anak saya lambat-laun akan pandai ke tandas walaupun lebih lambat daripada anak-anak orang lain.

Anak saya boleh ke tandas untuk buang air pada umur empat tahun iaitu setahun setengah selepas saya dan suami mula melatihnya.

Ia berlaku secara tiba-tiba. Pada hari istimewa itu, dia memberitahu saya dia mahu ke tandas, dan sejak itu dia tidak lagi terbuang air dalam lampin pada siang dan malam hari.

Sebelum memulakan proses melatih si kecil menggunakan tandas, saya ada melakukan sedikit kajian tentang bila masa yang sesuai dan cara-cara menggalak anak untuk minat menggunakan tandas.

Pertama, kanak-kanak perlu belajar bila badan mereka memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya untuk membuang air. Secara amnya, kanak-kanak menunjukkan tanda kawalan pundi kencing dan usus antara 18 bulan dengan 24 bulan.

Kedua, kanak-kanak perlu tahu cara menggunakan tandas dan ini termasuk tahu membuka dan memakai seluar sendiri dan duduk di mangkuk tandas dengan selesa.

Ketiga, kanak-kanak perlu bersedia menggunakan tandas. Proses itu boleh menjadi mencabar apabila kanak-kanak memilih enggan menggunakan tandas.

Bagi anak saya, dia tahu tentang isyarat badannya dan dia tahu cara menggunakan tandas. Tetapi dia memilih untuk tidak menggunakannya.

Menurut laman Healthy Children.org, usia purata bagi memulakan latihan menggunakan tandas ialah antara dua dengan tiga tahun. Kebanyakan kanak-kanak dapat menggunakan tandas menjelang umur empat tahun.

Apabila memulakan latihan, ibu bapa boleh menggunakan perkataan yang sesuai seperti kencing dan sakit perut. Ibu bapa dinasihatkan agar elak daripada menggunakan perkataan negatif seperti kotor dan busuk.

Ibu bapa juga boleh menyediakan bekas membuang air yang sesuai untuk si kecil. Kaki anak perlu dapat mencecah lantai.

Apabila anak mengerang atau mencangkung, ibu bapa boleh menerangkan dengan ringkas bahawa itu adalah tanda yang mereka akan membuang air besar.

Rutin juga adalah penting, dan ibu bapa boleh membawa si kecil ke tandas sebaik bangun daripada tidur, selepas makan, dan sebelum tidur agar mereka terbiasa dengan proses itu.

Ibu bapa juga tidak digalakkan menghukum atau memberi ganjaran bagi sebarang kegagalan atau kejayaan kerana ini mengalihkan perhatian daripada latihan.

Memandangkan ini anak pertama saya, saya tidak sedar yang proses latihan menggunakan tandas itu akan ambil masa yang panjang.

Saya fikir, memandangkan anak saya sudah petah bercakap dan boleh beritahu yang dia lapar atau haus, dia akan pandai maklumkan apabila dia mahu ke tandas.

Saya terus berhenti pakaikan anak saya lampin pakai buang dan gantikannya dengan seluar dalam agar dia sedar yang dia perlu ke tandas jika tidak mahu pakaian, lantai atau mainannya menjadi basah atau kotor.

Tetapi terlalu banyak kejadian terbuang air berlaku di rumah hingga saya beberapa kali menghentikan latihan itu dan kembali memakaikan lampin semula.

Apabila saya bertekad menyambung usaha itu awal tahun ini, saya letakkan jangkaan tinggi bahawa anak saya tentu boleh beritahu saya apabila dia mahu ke tandas.

Tekanan semakin dirasakan kerana anak saya sudah mula ke sekolah dan beberapa rakan sekolahnya sudah tidak menggunakan lampin.

Saya memberitahu gurunya di sekolah tentang usaha kami di rumah mahu melatihnya menggunakan tandas, dan guru berkata mereka akan menyokong latihan itu di sekolah.

Daripada memulakan latihan dengan kata-kata dorongan dan semangat, saya bertukar pula kepada mengugut anak saya dengan berkata “malu dah nak dekat empat tahun tapi masih pakai lampin” dan turut memarahinya apabila dia terbuang air kecil di lantai.

Apabila saya tanya mengapa tidak beritahu saya yang dia mahu ke tandas, anak saya akan kata dia asyik bermain dan terlupa nak beritahu.

Ada beberapa kali dia sempat ke tandas, saya memberinya pelbagai ganjaran seperti klip rambut baru dan pelekat berwarna-warni.

Saya mula rasakan yang latihan itu tidak membuahkan apa-apa hasil malah menimbulkan terlalu banyak tekanan, lalu saya menghentikannya dan membiarkan sahaja anak saya memakai lampin.

Ada juga orang-orang di sekeliling yang bertanya mengapa anak saya masih menggunakan lampin. Anak mereka yang lebih kecil sudah pandai ke tandas sendiri, kata mereka.

Tetapi ada juga yang memberi dorongan dan berkata mereka faham setiap anak mempunyai ‘jadual’ mereka sendiri. Ada anak mereka yang tidak memerlukan lampin pada siang hari tetapi memerlukannya pada sebelah malam.

Jadi saya lepas tangan, tetapi masih mengingatkan anak saya setiap hari agar memberitahu saya jika dia mahu ke tandas.

Dan akhirnya dia berjaya melakukannya tanpa sebarang ugutan atau ganjaran.

Saya tidak menafikan latihan itu penting. Begitu juga menyediakan peralatan yang memudahkan anak untuk ke tandas.

Tetapi saya rasa apa yang turut penting ialah ibu bapa yang perlu bersedia dan sabar menunggu hingga si kecil terbuka hati mahu menggunakan tandas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >