Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Lebih banyak masjid kini sediakan ruang hijau, tanam herba dan pokok

Jul 02, 2023 | 05:30 AM



Dikelilingi pokok bunga dan tanaman herba yang hijau nan indah, lebih banyak masjid-masjid di sini kini menyediakan ruang hijau untuk menyemarakkan lagi suasana kehijauan di rumah ibadah, membolehkan kakitangan dan jemaah merehatkan mata dan minda seketika.

Bukan hanya herba seperti serai dan pudina dan pokok bunga seperti anggerik dan bougainvillaea yang ditanam, malah ada masjid juga yang mempunyai tumbuhan hijau vertikal pada dinding bagi menghiasi ruang masjid.

Antara masjid terbaru yang menyediakan ruang hijau ialah Masjid Khalid di Joo Chiat Road.

Pengerusinya, Encik Alla’udin Mohamed, berkata sekitar 40 peratus kawasan atas bumbung di bangunan Annex empat tingkat baru masjid itu, yang baru sahaja dibuka secara rasmi pada April 2023 selepas kerja peningkatan, digunakan sebagai ruang hijau.

Lebih 70 pokok merangkumi sembilan jenis tanaman ditanam, antaranya 33 pokok kelat paya; 32 pohon bougainvillaea; empat pokok durian Belanda; lima pokok betik; empat pokok belimbing; dan beberapa bunga rosel, selasih, pudina dan serai.

Bahkan, masjid itu baru-baru ini telah menuai hampir satu kilogram bunga rosel dari kebun mereka, yang kemudiannya digunakan untuk membuat minuman teh.

“Kami dapat tahu sebenarnya kami boleh memanfaatkan geran dari NParks (Lembaga Taman Negara) untuk mewujudkan kebun ini. Oleh itu, mengapa tidak?

“Ini cara kecil di mana masjid juga boleh mengambil bahagian dan menyumbang kepada usaha memelihara iklim dan alam sekitar. Jika setiap daripada kita menyumbang kepada usaha pemeliharaan iklim dan alam sekitar ini, walaupun dalam cara yang kecil, ia akan membuat perbezaan besar untuk seluruh Singapura,” kata beliau.

Di Masjid Al-Mawaddah di Sengkang pula, kawasan tanaman sepanjang 200 meter mengelilingi masjid itu, menyuntik kesegaran kepada bangunan mereka.

“Masjid adakan inisiatif ini untuk memanfaatkan ruang tanah yang ada di sekeliling masjid dengan tanam-tanaman untuk menghijaukan kawasan masjid.

“Ia juga memberi peluang kepada masyarakat yang minat bercucuk tanam untuk melakukan kerja sukarela di masjid selain daripada menyokong usaha untuk mengekalkan kehijauan bumi.

“Sukarelawan bekerja dengan satu sama lain, membahagikan tugas penyelenggaraan tanaman selain berkongsi ilmu tentang alam sekitar,” kata pengerusi eksekutif, Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan.

Terdapat tujuh taman utama di masjid itu – Taman Anggerik, Taman Hiasan, Taman Paku Pakis, Taman Ungu, Taman Herba/Buah-Buahan, Taman Vertikal dan Taman Kaktus.

Inisiatif perkebunan masjid itu bahkan mendapat perhatian, dengan Masjid Al-Mawaddah memenangi Anugerah Community In Bloom – sebuah gerakan berkebun seluruh pulau oleh NParks – dalam pelbagai kategori pada 2016, 2018 dan 2021.

Tahun lalu, masjid itu juga membawa pulang Piala Emas Pekebun Singapura – Persembahan Terbaik di Pesta Taman Singapura.

Kawasan tingkat empat Masjid Angullia di Serangoon turut dihiasi tanaman pokok buah-buahan dan herba hijau, seperti betik, pisang, rosemary dan pudina.

Setiausaha Lembaga Pengurusan Masjid Angullia, Encik Mohamed Irshad Abbas Ali, berkata:

“Kami memikirkan tentang cara untuk merangkumkan ciri-ciri alam semula jadi ke dalam masjid dan pada masa sama, menanam tanaman yang dapat dimanfaatkan untuk kegunaan harian seperti memasak selain untuk menambahkan keceriaan hijau di masjid.”

Masjid dikenali dengan suasana kampung, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, pula mempunyai dua kawasan hijau – kebun herba di belakang masjid manakala pokok-pokok bunga dalam pasu diletak di depan masjid, kongsi pengerusi, Encik Mohd Amin Ab. Latip.

“Sejak saya bersara, saya banyak masa lapang. Jadi saya habiskan masa dari pagi hingga tengah hari untuk bantu tukang kebun lebih mencantikkan masjid kita. Kita tanam pokok bunga dan tanaman lain yang kita rasa sesuai untuk kawasan masjid ini,” kata beliau.

Masjid itu mempunyai sekitar 20 jenis herba yang ditanam seperti serai, kunyit, daun kesum dan daun pandan. Sementara itu, terdapat sekitar 250 pasu pokok bunga, dengan bunga seperti anggerik menghiasi masjid.

Encik Mohd Amin berkata kawasan kebun masjid itu dijaga dengan bantuan sekumpulan 10 sukarelawan penduduk yang minat melakukan kerja menyenggara tanaman.

“Usaha ini membantu mengumpulkan masyarakat dan menyemarakkan lagi suasana masjid. Kalau orang tempatan kita, mereka lebih minat dengan kebun herba di belakang. Ada jemaah yang datang masjid kadangkala untuk minta herba untuk buat masak.

“Kalau warga asing pula, apabila mereka datang mengunjungi masjid, mereka lebih tertarik dengan pokok-pokok bunga di bahagian depan. Jadi ini satu daya tarikan bagi orang ramai datang dan mengenali masjid kita,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >