Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lihat, hidu bau ganja tulen antara kegiatan karnival antidadah CNB

Penting untuk ibu bapa wujud sekitaran positif dan terap mesej antidadah dalam anak dari usia kecil: Faishal
Jun 24, 2023 | 08:00 PM



Tidak seperti pameran dadah replika yang lazimnya dijalankan Biro Narkotik Pusat (CNB) sebelum ini, kali ini sampel ganja tulen dipamerkan dalam kotak di mana orang ramai bukan sahaja boleh melihatnya, malah berpeluang menghidu baunya.

Orang ramai juga dapat menyaksikan pokok ganja tiruan dan belajar tentang bahaya ganja.

Inisiatif biro tersebut yang diadakan buat kali pertama merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar iaitu karnival dua hari bagi kempen bebas dadah atau DrugFreeSG 2023 sempena Hari Antarabangsa Menentang Pengedaran Haram dan Penyalahgunaan Dadah Isnin ini.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir di karnival tersebut di Our Tampines Hub pada Sabtu, berkata adalah penting bagi ibu bapa menerapkan mesej antidadah kepada anak-anak mereka dari kecil lagi.

Ibu bapa, yang juga merupakan orang terdekat dalam kehidupan anak-anak mereka, harus berusaha mencipta memori indah bersama, untuk mewujudkan sekitaran serta pengaruh positif, tambah Dr Faishal.

“Adalah penting juga kanak-kanak dibangunkan menjadi individu yang berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam dunia ini dengan adanya internet, media sosial dan sikap liberal terhadap dadah di serata dunia,” ujarnya.

Ini juga boleh meningkatkan kesedaran anak muda untuk mengatakan tidak kepada dadah kerana kesan berbahaya dadah ke atas individu, keluarga dan masyarakat adalah jelas, kata Dr Faishal.

Karnival yang diadakan selama dua hari pada Sabtu dan Ahad di Our Tampines Hub itu bertujuan menggalak masyarakat menyokong Singapura yang bebas dadah.

Terdapat beberapa permainan arked yang menyelitkan maklumat tentang dadah yang dapat disertai pengunjung daripada pelbagai lapisan umur, dan orang ramai dapat mengikrarkan sokongan mereka dengan menampalkan reben antidadah di sebuah ruang yang tersedia.

Pelbagai persembahan oleh artis tempatan dan rakan masyarakat CNB juga boleh dinikmati warga yang berkunjung ke karnival itu.

Antara yang berkunjung ke karnival tersebut ialah Cik Athiyah Ali, 35 tahun.

Jurutera tiga anak itu, yang datang bersama anaknya berusia enam tahun berkata:

“Saya rasa ini satu usaha yang baik. Sementara mereka (kanak-kanak) bermain, mereka boleh membaca (maklumat tentang bahaya dadah).”

Seorang lagi ibu yang hadir bersama dua anaknya yang berusia empat tahun dan empat bulan, Cik Syafiqah Baharudin, 28 tahun, akui adalah penting untuk menerapkan mesej antidadah kepada anak dari usia yang kecil.


Walaupun anaknya masih kecil lagi, Cik Syafiqah, seorang teknisyen makmal, berkata karnival tersebut mendorong beliau untuk mula mengadakan perbincangan tentang dadah, tatkala anak-anaknya memasuki sekolah rendah.


Sempena Hari Antarabangsa Menentang Pengedaran Haram dan Penyalahgunaan Dadah Isnin ini, struktur dan bangunan ikonik di Singapura akan bermandi cahaya warna hijau atau putih, iaitu warna Reben Antidadah, bagi melambangkan kesihatan, daya tahan dan kekuatan.

Penyalaan lampu itu melambangkan pendirian Singapura yang bersatu untuk menentang dadah.

Sebanyak 43 pertubuhan akan terlibat dalam penyalaan lampu itu, termasuk 10 rakan masyarakat baru antaranya Capitol Singapore, Hospital Khoo Teck Puat, Northpoint City dan Politeknik Nanyang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >