Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Majlis bandaran PAP naik harga perkhidmatan, penyenggaraan

Jun 01, 2023 | 03:13 PM



BAYARAN perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) akan dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun mendatang bagi penduduk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kedai, pejabat, pasar dan gerai makanan di bawah majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) berikutan peningkatan kos.

Kenaikan pertama, yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2023, akan mengenakan yuran bulanan meningkat antara $0.70 dengan $7.90 bagi flat HDB. Pemilik dan penyewa hartanah komersial juga akan menyaksikan peningkatan antara $0.01 dengan $0.40 setiap meter persegi. Yuran di pasar dan gerai makanan akan dinaikkan antara $2.20 dengan $31.50.

Kenaikan seterusnya akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2024 dengan yuran penduduk HDB dinaikkan antara $1 dengan $9.10. Pemilik dan penyewa hartanah komersil akan menyaksikan peningkatan antara $0.02 hingga $0.41 setiap meter persegi. Kenaikan untuk pasar dan gerai makanan antara $2.20 dengan $36.40.

Mengumumkan kenaikan itu pada Khamis, Majlis Bandaran Marine Parade (MPTC) berkata kenaikan bayaran adalah lebih kecil daripada yang sepatutnya kerana majlis bandaran PAP menerima sokongan pembiayaan khas daripada pemerintah untuk mengurangkan kesan peningkatan kos penyenggaraan.

Tanpa pembiayaan itu, kenaikan S&CC asalnya antara $3 dengan $21.90 setiap bulan untuk penduduk HDB, bergantung pada jenis hartanah, kata MPTC dalam satu kenyataan.

Majlis bandaran telah menghadapi tekanan kos lebih besar berikutan harga tenaga, penyenggaraan dan kos tenaga kerja yang lebih tinggi, kata MPTC, sambil memetik harga tender yang tinggi untuk khidmat pembersihan, kawalan haiwan perosak dan landskap.

Ia menambah bahawa kenaikan bayaran akan membolehkan majlis bandaran mengekalkan dana yang mencukupi dalam tempoh lima tahun akan datang untuk penyenggaraan dan naik taraf estet.

Pengerusi penyelaras majlis bandaran PAP, Encik Lim Biow Chuan, berkata kebanyakan majlis bandaran PAP menjangkakan mengalami defisit bagi tahun kewangan dari 2023 hingga 2024, jika kadar S&CC kekal tidak berubah.

Encik Lim, yang kawasan undi Mountbattennya berada di bawah MPTC, menambah bahawa ini bermakna majlis bandaran akan perlu memanfaatkan lebihan terkumpul dari tahun-tahun sebelumnya, yang sebaliknya akan digunakan untuk menambah dana terikat mereka – digunakan untuk kerja penyenggaraan jangka panjang.

“Walaupun sokongan dana khas daripada pemerintah akan mengurangkan kesan terhadap penduduk, kami akan terus fokus untuk memperbaiki penjimatan kos dan produktiviti di mana yang mungkin, dan mengekalkan sumbangan pada dana terikat dan dana penggantian lif,” katanya.

Menurut laporan The Straits Times pada April, majlis bandaran sedang berdepan peningkatan kos yang mendadak. Sebagai contoh, harga tenaga naik sebanyak 23 peratus antara 2018 dengan 2023.


Harga S&CC akan berbeza antara bandar bergantung pada usia dan profil estet, keperluan penduduk dan perbelanjaan operasi. Yuran ini membayar khidmat pembersihan, pelandskapan, pengumpulan sampah, kawalan haiwan perosak dan penyenggaraan lekapan mekanikal dan elektrik seperti lif dan lampu.

Penduduk akan dimaklumkan mengenai harga baru itu oleh majlis bandaran mereka, kata MPTC.

Harga S&CC kali terakhir dinaikkan pada Jun 2018, dengan kenaikan antara $1 dengan $17 sebulan untuk penduduk HDB secara berperingkat selama dua tahun.

Kebanyakan majlis bandaran dikendalikan oleh PAP kecuali bagi kawasan undi pilihan raya Sengkang, Aljunied dan Hougang, yang berada di bawah Parti Pekerja (WP).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >