Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mendaki bantu ibu bapa tanam aspirasi lebih tinggi dalam anak:Tharman

Jul 22, 2023 | 08:03 PM



Pertubuhan bantu diri seperti Yayasan Mendaki mendukung peranan membantu ibu bapa berpendapatan rendah memberi dorongan dan jangkaan lebih tinggi ke atas anak mereka, apabila ibu bapa itu kurang mampu menyampaikan kemahiran akademik kepada anak, kata mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Menyatakan demikian semasa dialog panel di acara #MakingConnections anjuran Mendaki pada Sabtu, Encik Tharman berkata tidak mudah untuk ibu bapa daripada keluarga berpendapatan rendah menyampaikan kemahiran dalam mata pelajaran seperti Matematik kepada anak-anak mereka, tetapi apa yang boleh mereka lakukan ialah meletakkan jangkaan lebih tinggi untuk mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan moderator sesi, naib presiden Kelab Mendaki, Cik Amalina Abdul Nasir, tentang bagaimana pertubuhan Melayu/Islam seperti Mendaki dapat terus menggalas peranan mempertingkat masyarakat secara berkesan.

“Berdasarkan pengalaman saya, saya bersikap realistik mengenai sejauh mana kita boleh mengharapkan ibu bapa berpendapatan rendah, yang kadangkala melakukan dua pekerjaan dan kadangkala salah seorang suami atau isteri tidak berpendidikan, untuk menyampaikan kemahiran dan memberi bimbingan yang diperlukan di rumah. Ini berbanding mengharapkan mereka meletakkan jangkaan lebih tinggi untuk anak itu, mendorong anak itu, membawa anak itu melakukan pelbagai kegiatan,” kata Encik Tharman.

“Ibu bapa memainkan peranan budaya yang sangat penting. Meletakkan jangkaan... memberi galakkan, sertai tuisyen percuma yang ditawarkan, ini mungkin memerlukan sedikit pengorbanan masa, tetapi itulah perkara yang ibu bapa boleh lakukan,” tambahnya.

Acara #MakingConnections yang diadakan di Dusit Thani Laguna Singapore di Xilin Avenue itu dihadiri sekitar 300 karyawan Melayu/Islam. Selain menjalin hubungan antara karyawan, ia juga bertujuan menyediakan wadah bagi mereka menabur bakti kepada masyarakat.

Peserta telah dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk mengadakan perbincangan seperti cara memperkasa ibu bapa dengan peluang pembelajaran dan pembangunan semasa tahun-tahun pembentukan anak mereka; usaha memperkasa belia memaksimumkan potensi mereka menerusi pementoran dan memperkasa karyawan untuk menjadi pemimpin masyarakat progresif menerusi sumber dan rangkaian yang ada.

Encik Tharman, yang sebelum ini telah melahirkan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2023, telah menyertai perbincangan beberapa kumpulan sebelum menyertai sesi dialog bersama Timbalan Pengerusi Mendaki, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Bercakap kepada media di hujung acara, Encik Zaqy berkata kajian yang Mendaki jalankan mendapati bahawa kanak-kanak lebih bersedia memasuki Darjah 1 jika ibu bapa mereka lebih terlibat dalam pelajaran mereka dan mempunyai jangkaan tinggi untuk mereka.

“Kami berharap melalui program-program kami, kami dapat mendekati ibu bapa bukan sahaja untuk membantu anak-anak mereka di sekolah, tetapi juga di rumah melalui motivasi. Tapi bukan semua harus dilakukan oleh ibu bapa. Mungkin ada ibu bapa daripada golongan lebih susah terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan dan tidak mempunyai masa untuk membimbing anak-anak mereka. Di sini kami mempunyai skim seperti pementoran untuk memberi dorongan kepada anak-anak mereka yang mungkin tidak mempunyai contoh teladan di rumah,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >