Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Meski tak dapat lihat wajah, anak sentiasa di hati

Jun 18, 2023 | 05:31 AM



Kaum bapa memainkan peranan penting, bukan hanya sebagai ketua keluarga bahkan sebagai suri teladan kepada anak-anak. Lebih ramai bapa yang kini lebih terlibat dalam kehidupan anak-anak mereka dan ini penting dalam membentuk generasi kaum bapa masa depan yang lebih sedar akan peranan pelbagai mereka dalam keluarga. Berita Minggu (BM) mengetengahkan kisah beberapa bapa teladan sempena Hari Bapa.


Wajah anak-anak biasanya menjadi penyejuk hati ibu bapa, namun bagi Encik Mohamed Rahamatulla Ibrahim Sahib, wajah mahupun bayang anak-anak tersayang tidak pernah akan dapat dilihatnya.

Ini kerana Encik Rahamatulla dilahirkan cacat penglihatan, dengan beliau “100 peratus tidak dapat melihat”.







Namun, keadaan ini langsung tidak menjejas hubungan mesra dan akrab beliau bersama dua anak kecilnya – Mohamed Shameer, dua tahun, dan Mohamed Rayan, satu tahun.

Seperti bapa lain, Encik Rahamatulla menghiburkan hati anak-anak dengan bermain-main bersama mereka, termasuk kejar-mengejar di dalam rumah, dan membawa mereka keluar berjalan-jalan.

Bahkan, beliau juga terlibat dalam penjagaan, dengan membantu memandikan anak-anak, menukarkan lampin dan membuatkan susu untuk si kecil.

Meskipun tidak dapat melihat wajah mereka, Encik Rahamatulla bersyukur beliau dapat merasakan dakapan erat anak-anaknya dan mendengar tawa riang mereka.

“Biasanya, orang fikir saya tak boleh buat tapi saya akan buktikan yang saya juga boleh jaga anak-anak. Apa yang orang biasa boleh buat, saya juga boleh buat.

“Kita perlu berfikiran positif dan perlu yakin dengan diri sendiri yang kita mampu buat,” kata beliau yang juga mengalami masalah pendengaran di telinga kanannya akibat jangkitan.

Encik Rahamatulla, 37 tahun, mendirikan rumah tangga bersama isteri beliau, Cik Shamsiah Osman, 41 tahun, pada September 2017. Bersama dua anak mereka, keluarga itu tinggal di sebuah flat tiga bilik di kawasan Canberra.

Beliau adalah seorang tukang urut dan bekerja hampir setiap hari.







Berkongsi cerita, Encik Rahamatulla berkata beliau memahami jerih payah isterinya menjaga dua anak kecil di samping perlu melakukan kerja rumah, dan oleh itu beliau banyak memberi sokongan dalam penjagaan anak-anak.

Isterinya yang mengajar beliau cara memandikan dan memakaikan baju anak-anak dan cara membuat susu, termasuk berapa sudu tepung susu yang diperlukan.

Selain itu, Encik Rahamatulla berkata beliau membantu menghantar anak sulungnya ke prasekolah hampir setiap hari.

“Biasanya, saya hantar anak saya pergi sekolah tetapi saya tak boleh naik MRT. Saya naik Grab sebab untuk naik MRT pergi ke sekolah memang satu cabaran buat saya,” kata beliau.

Encik Rahamatulla merupakan seorang benefisiari Skim Keluarga Angkat dan Belia di bawah AMP Singapura, yang menyediakan bantuan kewangan dan program keibubapaan serta bengkel kemahiran kehidupan berkeluarga kepada keluarga kurang bernasib baik.

Di bawah skim itu, Encik Rahamatulla telah menerima bantuan kewangan untuk melangsaikan pembayaran bil utiliti yang tertunggak dan juga baucar makanan serta barang runcit.

Skim itu juga menyediakan keluarganya sokongan untuk perbelanjaan pengangkutan.

Oleh sebab beliau memainkan peranan aktif dalam penjagaan anak-anak, kedua-dua anaknya begitu rapat dengannya sehinggakan si kecil akan menangis setiap kali beliau perlu keluar bekerja.

“Kalau dia (anak kedua) tengok saya pergi kerja, dia akan menangis. Bila dia menangis, dalam hati saya terfikir alamak, macam mana ya?,” ujarnya.

Pernah terlintas dalam fikiran Encik Rahamatulla mahu melihat wajah anak-anak, isteri dan ibu bapanya.

Namun beliau menganggap kecacatannya itu bukan sebagai satu kekurangan mahupun hambatan, malah satu ‘anugerah’ yang dikurniakan Allah swt.


“Saya bersyukur sebab saya mempunyai keluarga dan kongsi ikatan rapat dan mesra bersama mereka.

“Apabila anak-anak ada di sisi saya, saya rasa sangat bahagia. Saya rasa bangga menjadi seorang bapa,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >