Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

NTUC jamin tingkat mutu kehidupan pekerja

Oct 27, 2023 | 04:15 PM



Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan meluaskan pendekatan dan meneruskan kerjasama dengan pemerintah serta masyarakat dalam membantu pekerja meningkatkan kemahiran, gaji dan tangga kerjaya susulan pembentangan laporan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG pada Jumaat.


Menyambut baik usaha pemerintah itu, NTUC berkata anjakan yang terangkum di bawah laporan tersebut menyediakan lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura melakar hala tuju sendiri dengan keyakinan bahawa pemerintah akan menghulurkan bantuan dan sokongan pada setiap tahap kehidupan warga.

Anjakan yang dibentang melalui laporan itu turut menekankan pentingnya sikap tanggungjawab bersama masyarakat dalam membentuk masa depan Singapura, kata NTUC dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Daya usaha Melakar Hala Tuju Singapura merangkumi usaha mempelbagaikan laluan bagi mencapai kejayaan, memastikan setiap pekerjaan dihormati dan menyokong keluarga pada setiap tahap kehidupan.

“Aspirasi-aspirasi ini mencerminkan wawasan Singapura yang inklusif, saling menyokong antara satu sama lain, serta kesepaduan yang dikongsi ramai, dan kami beriltizam untuk bekerjasama dengan pemerintah, kesatuan, perniagaan dan juga masyarakat demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran warga,” kata kesatuan itu.

NTUC menambah ia berbesar hati melihat beberapa saranan yang telah dibentangkan di bawah Kompak Pekerja Diperbaharui baru-baru ini, diterapkan dalam anjakan yang dibentangkan di bawah laporan Melakar Hala Tuju Singapura itu.

Kompak Pekerja Diperbaharui merangkumi 10 set saranan bagi menentukan arah kesatuan tersebut dalam membantu pekerja menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Menyentuh mengenai usaha memastikan setiap pekerjaan dihormati dan diberi ganjaran, NTUC berkata laporan Melakar Hala Tuju Singapura itu menekankan komitmen untuk terus mengurangkan jurang gaji bagi semua pekerjaan.

Dalam hal itu, NTUC berkata ia akan terus bekerjasama dengan pemerintah dan majikan untuk mengukuhkan Model Gaji Progresif (PWM) untuk membantu pekerja bergaji rendah.

Ini selain bekerja rapat dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk memastikan Model Kemajuan Kerjaya (CPM) dapat menjadikan pekerjaan ‘pertukangan’ – seperti tukang paip dan juruelektrik – sebagai bidang profesional.

Mengenai sokongan bagi mereka yang tidak bekerja, NTUC berkata bentuk sokongan jangka pendek bagi golongan itu merupakan sesuatu yang telah diperjuangkan kesatuan itu sejak 2014.

“Pengalaman NTUC dalam (mengendalikan) skim bantuan pendapatan meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk mengendalikan skim bantuan seperti ini, dan ekosistem Latihan dan Pemadanan Pekerjaan NTUC juga boleh memenuhi keperluan mereka yang mencari kerja dalam usaha mereka meraih kemahiran baru dan dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai,” tambah kenyataan itu.

Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng berkata anjakan yang dibentangkan melalui laporan Melakar Hala Tuju Singapura itu mengesahkan komitmen pemerintah bersama rakan kongsi tiga pihak termasuk NTUC untuk melakar masa depan lebih baik bagi warga Singapura.

Katanya: “NTUC akan terus kekal berpegang pada misinya selama berdekad iaitu untuk memelihara gaji, kesejahteraan dan prospek pekerjaan – dan dalam melakukan demikian, kami menggariskan komitmen sebagai suara aktif pekerja kita.

“Kami juga akan terus memantau untuk memastikan tiada golongan pekerja yang ketinggalan. Pada masa yang sama, kita semua mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan bersama yang diinginkan.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >