Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Pelari ‘veteran’ sertai acara larian untuk tahun ke-11

Acara larian Great Eastern Women’s Run 2023 kembali diadakan pada skala penuh seperti sebelum pandemik buat kali pertama pada Oktober dengan tujuan menggalakkan kemesraan dan kesejahteraan di kalangan wanita. Berita Minggu memaparkan dua pelari wanita yang akan mengambil bahagian dalam acara itu.
Oct 01, 2023 | 05:31 AM



Penglibatan Cik Samsidah Samson dalam sukan larian jarak jauh hampir dua dekad lalu bermula dengan perasaan ingin tahu.

Beliau ingin tahu mengapa suaminya, yang bekerja dalam bidang yang menghendakinya kekal cergas, asyik bersukan.

“Saya hairan melihat suami saya sentiasa bergerak, sama ada berlari, berenang atau mengayuh basikal. Saya bertanya apakah beliau tidak berasa penat? Beliau suruh saya cuba. Beliau mengajak saya mengikutnya berlari di taman. Jadi saya ikut. Saya tidak boleh berlari, jadi saya berlari-lari anak,” katanya yang mula berlari sejak 2006 selepas melahirkan anak bongsunya.

Ibu dua anak berusia 45 tahun itu kemudian ingin tahu bagaimana suaminya boleh berlari mengelilingi Kolam Air Bedok sejauh 4.3 kilometer dalam masa 30 minit sahaja.

Rasa ingin tahu itu mendorong Cik Samsidah untuk cuba berlari-lari anak tanpa henti mengelilingi kolam air itu.

“Setelah saya berjaya melakukannya, saya ingin tahu sama ada saya boleh berlari lebih pantas mengelilingi kolam air itu. Selepas tiga tahun, suami saya bertanya apakah saya mahu cuba menyertai perlumbaan supaya saya boleh mendapat pengiktirafan,” katanya.

Pada 2012, Cik Samsidah menyertai acara lumba lari pertamanya. Beliau mengambil bahagian dalam larian ria sejauh lima kilometer, dan sejak itu ‘terjebak’ dalam dunia larian.

Pada tahun sama, beliau menyertai acara larian Great Eastern Women’s Run pertamanya. Beliau akan menyertai acara larian itu buat kali ke-11 pada Oktober dalam kategori 21 kilometer atau separuh maraton.

Cik Samsidah juga telah mengambil bahagian dalam tiga maraton sejauh 42 kilometer dengan masa terbaik 5 jam 40 minit yang dikecapi pada 2018.

Sasarannya kini ialah untuk melakukan larian separuh maraton dalam masa kurang dua jam, memperbaiki masa 2 jam 9 minit yang dicapai dalam acara larian separuh maraton di Gold Coast, Australia, pada Julai.

Beliau juga mahu menyertai maraton di Nagoya, Jepun.

Tidak sekadar berlari dalam acara lumba, Cik Samsidah juga melakukan kerja sukarela melibatkan sukan yang sangat diminatinya itu.

Beliau sedang memberi air kepada pelari di satu perlumbaan apabila terdetik dalam fikirannya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat pelari dalam cara yang lebih besar dan ketara.

Cik Samsidah kagum melihat pacer, iaitu seseorang yang berlari dalam perlumbaan atau maraton untuk membantu menetapkan kelajuan bagi pelari lain, dan ingin tahu apakah beliau juga boleh melakukannya.


Beliau menyertai kumpulan berlari Running Department pada 2019 apabila beliau memutuskan untuk menjadi pacer bagi acara larian Great Eastern Women’s Run tahun itu.


Menurut Cik Samsidah, seseorang yang berminat menjadi pacer perlu dapat berlari dalam masa yang ditetapkan, seperti berlari satu kilometer dalam masa tujuh minit.


“Jika saya berlari lebih daripada masa yang ditetapkan, saya tidak akan dipilih menjadi pacer,” katanya yang telah menjadi pacer sebanyak dua kali sejauh ini.


Beliau kini sedang berlatih untuk menjadi pacer bagi kategori separuh maraton pada hujung tahun dan merupakan satu-satunya pacer wanita Melayu/Islam bagi acara larian itu.


Ditanya mengenai kepuasan yang diraih daripada menjadi pacer, Cik Samsidah berkata ucapan terima kasih yang diterima daripada pelari membuatkan tugas itu berbaloi.


“Mereka berlatih dengan kami setiap minggu. Untuk kategori separuh maraton, mereka perlukan latihan tiga bulan. Untuk kategori maraton, latihannya selama empat bulan. Jadi apabila mereka kata mereka berjaya lari dalam masa yang mereka sasarkan kerana saya ada di sebelah mereka, saya rasa sangat terharu,” katanya.

Cik Samsidah berlatih dengan Running Department dua kali seminggu.

Pada Rabu malam, beliau melakukan larian tanpa henti sejauh lapan hingga 10 kilometer, pada 70 hingga 80 peratus kadar degupan jantung maksimum.

Pada Sabtu, beliau berlari sejauh 15 hingga 21 kilometer di Taman East Coast atau Pusat Sukan Air.

Pada Khamis beliau berlari sendiri. Beliau berehat pada setiap Isnin, Jumaat dan Ahad.

Pada Selasa beliau akan ke gim atau melakukan senaman fleksibiliti pilates atau senaman pengukuhan di rumah.

“Ramai orang mungkin fikirkan yang pelari perlu berlari setiap masa. Ini tidak tepat. Kita perlukan senaman pengukuhan. Bahagian atas badan kita perlu kuat,” katanya.

Cik Samsidah juga menyertai kumpulan pelari Melayu/Islam, Run Relax Repeat (RRR) yang berlari sekali setiap bulan dari Kampung Gelam ke kawasan bandar, di Taman East Coast atau di jejak seperti di MacRitchie.

Beliau menekankan pentingnya untuk pelari menyertai kumpulan berlari agar dapat belajar daripada pelari lain dan terdorong oleh mereka.

“Anda tidak perlu menjadi pelari pantas untuk menyertai kami. Berlari sendiri berbeza dengan berlari secara berkumpulan. Berlari secara berkumpulan bermakna anda dapat belajar daripada mereka yang berpengalaman, mereka yang terbaik. Anda dapat belajar tentang kesilapan yang anda lakukan ketika berlari – bagaimana untuk mengelakkan kecederaan, bagaimana melakukan regangan yang betul. Lebih seronok kalau kita lari beramai-ramai,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >