Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pindaan ke atas Piagam Wanita lindung mangsa, pulih pesalah: Faishal

Jul 31, 2023 | 05:30 AM



Keganasan dalam keluarga merupakan isu rumit yang memerlukan sokongan undang-undang menyeluruh dalam memastikan mangsa – dan juga pesalah – mendapat bantuan yang diperlukan.

Justeru, pindaan kepada Piagam Wanita yang diluluskan pada awal bulan ini bukan sahaja mempertingkat perlindungan bagi mangsa bahkan menyediakan pelbagai peluang pemulihan bagi pesalah yang terlibat.

Pindaan tersebut turut memberi pemerintah, serta agensi terlibat, bidang kuasa lebih luas dalam menangani kes-kes sedemikian, secara langsung mencerminkan pendirian tegas pemerintah terhadap keganasan.

Menekankan demikian dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata undang-undang baru yang dikuatkuasakan di bawah pindaan tersebut bertujuan ‘menutup’ jurang sedia ada bagi memastikan setiap kes keganasan keluarga dapat ditangani dengan lebih menyeluruh.


Menurutnya, perubahan tersebut dilakar berdasarkan maklum balas yang dikumpul dari agensi dan individu terlibat.

“Antara yang biasa kami dengar adalah, (apabila kes dilaporkan) dan polis datang, ia mungkin berhenti seketika, namun bila polis balik, (keganasan) itu diteruskan.

“Selain itu, (bila kes dilaporkan) adakalanya mangsa akan dikeluarkan dari rumah untuk dilindungi, tetapi si pesalah masih terus kekal di rumah itu.

“Maka dengan pindaan ini, agensi dan individu terlibat diberikan pelbagai cara untuk menghadapi kes-kes demikian dengan lebih baik,” ujarnya.

Rang Undang-Undang Pindaan Piagam Wanita (Keganasan Keluarga dan Perkara Lain) telah diluluskan di Parlimen pada 4 Julai lalu.

Piagam Wanita, akta perundangan yang diluluskan pada 1961, menyediakan perlindungan bagi semua mangsa yang terselamat daripada keganasan keluarga, tanpa mengira jantina.

Menurut Dr Faishal, antara perubahan utama yang diperkenal melalui pindaan itu termasuk kuasa ‘pelindung’ atau ‘protector’ yang akan dibenarkan untuk mendapatkan maklumat sama ada seseorang sedang mengalami atau berisiko menghadapi keganasan keluarga.

‘Pelindung’ juga dibenarkan memasuki sesebuah rumah untuk membuat penilaian dan memberikan arahan kecemasan di tempat kejadian untuk membantu mangsa bagi kes berisiko tinggi.

Dalam pada itu, mangsa lebih muda – berusia 18 hingga bawah 21 tahun yang belum berkahwin – tidak lagi perlu meminta pelindung, saudara-mara, atau orang bertanggungjawab atau dilantik oleh menteri untuk menjaga mereka, memohon Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) bagi pihak mereka.

Menyentuh tentang perubahan tersebut, Dr Faishal berkata:

“Sekarang kalau mangsa (keganasan keluarga) tidak membuat laporan, memang langkah yang boleh diambil agak terhad. Kadangkala ada juga mangsa yang tak ingin laporkan, kerana sayang, memang rumit.

“Melalui maklum balas yang kami terima, terdapat permintaan untuk mempertingkat perlindungan bagi mangsa dan pada masa yang sama permudah campur tangan agensi dan pemerintah.

“Ini dilakukan untuk yang pertama, hentikan keganasan yang sedang berlaku dan kedua, untuk memulakan proses pemulihan bagi semua pihak, termasuk pesalah. Ini yang kita mahukan.”

Meskipun pindaan tersebut merupakan berita baik ke arah usaha menangani kes keganasan keluarga, undang-undang sedia ada tidak dapat dikuatkuasa dengan berkesan jika kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Dengan kesedaran lebih tinggi, orang ramai akan tahu bahawa keganasan keluarga ini merupakan isu yang menjejas semua, termasuk diri, keluarga, jiran dan masyarakat lebih luas.

“Sejak kebelakangan ini, terutama sekali dalam tempoh lima tahun lalu, kami telah berusaha meningkatkan kesedaran ini,” ujarnya.

Talian Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual Nasional menerima 10,800 panggilan pada 2022, naik daripada 8,400 panggilan pada 2021.

Menurut Dr Faishal, ini menandakan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan orang ramai untuk melaporkan kes-kes keganasan keluarga.

Kesedaran, yang perlu terus dipertingkat ini, penting dalam membentuk ekosistem lebih kukuh untuk menangani kes-kes sedemikian.

Sehubungan itu, Dr Faishal menekankan meskipun konsep “jangan jaga tepi kain orang” yang diamalkan ramai dalam kalangan masyarakat merupakan nilai yang baik, ia perlu diketepikan dalam konteks keganasan keluarga.

“Konsep ‘jangan jaga tepi kain orang’ adalah konsep atau nilai yang baik, kerana kita hormat privasi orang lain.

“Tapi ini juga perlu lihat kepada konteksnya, apabila tanda-tanda yang keselamatan seseorang itu terjejas, kita perlu bijak menilai dan mengambil langkah sewajarnya untuk membantu mangsa mendapatkan pertolongan,” katanya sambil menambah, usaha akan terus dijalankan bagi memperketat undang-undang berhubung keganasan keluarga.

Pada September 2022, Pasukan Bertindak Keganasan Keluarga telah mengeluarkan satu laporan dengan mengemukakan 16 saranan setelah mengkaji lebih 3,600 kes keganasan keluarga dan menjalankan perbincangan fokus dengan pihak berkepentingan.

Pasukan yang ditubuhkan pada Februari 2020 itu dipengerusikan bersama oleh Dr Faishal dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >