Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Banyak peluang bagi S’pura walau dalam dunia yang tidak menentu

Nov 18, 2023 | 08:36 PM



Meskipun dalam dunia yang rumit tanpa kestabilan strategik dan ketidaktentuan dari segi perdagangan, sebenarnya terdapat lebih banyak peluang buat Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semasa menggulung lawatan rasmi enam hari beliau ke Amerika Syarikat untuk menghadiri forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec). 

Terdapat banyak petanda bahawa Singapura masih berhasil dan ada ruang untuk berkembang, kata beliau kepada media Singapura di San Francisco pada Jumaat (waktu Amerika).

Antara sebab untuk terus berharap, kata Encik Lee, termasuk inisiatif ekonomi Asia-Pasifik baru yang sedang diusahakan; perluasan agenda Apec melangkaui perdagangan; secebis harapan daripada sidang puncak antara presiden Amerika, Encik Joe Biden dengan pemimpin China, Encik Xi Jinping; serta dinamik syarikat pemula Singapura yang berjaya menembusi Silicon Valley.

Mesyuarat tahunan ke-30 bagi 21 ekonomi Apec itu berakhir dengan deklarasi yang mengesahkan keazaman “untuk menyampaikan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tanpa diskriminasi, telus, inklusif dan boleh diramal”.

Anggota Apec juga menyokong langkah untuk memperbaharui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk menghidupkan semula sistem penyelesaian pertikaian yang terhambat. 

Bagaimanapun, sokongan untuk menamatkan konflik berdarah Gaza dan perang Ukraine tidak dinyatakan dalam kenyataan akhir bersama.

“Walaupun dalam dunia yang rumit, masih terdapat peluang.

“Kami bukan yang terakhir dalam barisan untuk mencapai peluang tersebut. Malah, kami berada dalam senarai yang agak tinggi dan kami harus meningkat lagi,” kata Encik Lee.

Prospek bagi pertumbuhan global kekal mencabar, namun begitu terdapat peluang bagi Singapura, tambah Encik Lee lagi. 

“Masih ada pasaran dan peluang. Kita perlu merebutnya dan kita harus berupaya mengeksport, untuk menarik perhatian orang ramai tentang Singapura dan agar mereka mahu datang ke Singapura.

“Saya rasa ia akan berlaku,” tambahnya sambil merujuk kepada pelancaran Pusat Luar Negara Enterprise Singapore (EnterpriseSG) di San Francisco pada Selasa, yang juga pusat ketiganya di Amerika.

Encik Lee Lee berkata ia sesuatu yang amat menggalakkan bahawa terdapat warga Singapura di Amerika yang menjalankan syarikat pemula dan perusahaan mereka sendiri.

Beliau juga mengalu-alukan persekitaran perniagaan yang lebih adil sedang lebih banyak negara mengamalkan piawaian antirasuah.

Pada Khamis, 14 negara yang menganggotai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF)  mengisytiharkan di luar mesyuarat Apec bahawa mereka telah memuktamadkan perjanjian mengenai tenaga bersih dan langkah-langkah antirasuah.

Mereka juga menandatangani perjanjian penting untuk merangka rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Singapura sangat tegas terhadap antirasuah, tetapi amalan ini berbeza-beza di rantau ini, kata Encik Lee. 

“Saya rasa jika lebih banyak negara boleh bersetuju untuk menegakkan peraturan untuk beroperasi secara bersih dan bebas rasuah, ia lebih mudah bagi perniagaan kita beroperasi.

“Jadi, lebih ketat peraturan dari tempat mereka beroperasi, lebih banyak peluang saksama yang mereka akan dapat miliki, dan kami juga berharap mereka akan dapat lebih banyak peluang dengan menjalankan perniagaan secara adil,” ujarnya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >