Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rangka kerja baru bagi perumahan awam kekal dimampui, inklusif

Pemerintah perkenalkan model perumahan baru ‘Plus’
Pakej Majulah bernilai $7b turut diperkenal bagi sokong keperluan persaraan warga pendapatan rendah, pertengahan
Aug 20, 2023 | 09:30 PM



Satu model perumahan baru akan diperkenal bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di lokasi-lokasi lebih menarik.

Dinamakan ‘Plus’, model itu akan diperkenalkan bagi projek-projek baru bermula separuh kedua 2024 dan tidak akan menjejas projek dan flat-flat sekarang.

Dalam pada itu, pemerintah juga akan memperkenalkan Pakej Majulah bernilai $7 bilion bagi membantu warga berusia 50 tahun dan ke atas memenuhi keperluan persaraan mereka.

Demikian antara pengumuman oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan pada Ahad.

Mengenai model flat ‘Plus’, Encik Lee berkata ia akan memastikan pemerintah terus memenuhi tiga matlamat utama perumahan iaitu ia kekal dimampui, mempunyai campuran sosial penduduk yang baik dan bersifat adil, di tengah-tengah landskap perubahan yang berubah.

“Ia akan membantu warga Singapura mendapatkan rumah yang memenuhi keperluan masing-masing, termasuk di lokasi-lokasi yang baik,” ujar beliau, semasa berucap kepada sekitar 1,200 hadirin di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

Model ‘Plus’ itu di bawah rangka kerja baru bagi cara HDB menjual flat, dengan flat-flat dibahagikan kepada tiga kategori – Standard, Plus dan Perdana.

Projek Standard ialah flat yang diberikan subsidi dan peraturan penjualan biasa HDB, ‘Plus’ pula adalah flat di lokasi lebih menarik dalam sesebuah kawasan perumahan dan diberikan subsidi lebih tinggi namun dengan peraturan penjualan lebih ketat.

Projek Perdana adalah flat-flat di kawasan paling menarik di Singapura, yang diberikan paling banyak subsidi namun syarat penjualan paling ketat.

Encik Lee berkata sejak 1990-an, HDB telah menggunakan rangka kerja mudah dengan membahagikan flat-flat kepada estet matang dan bukan matang.

Estet matang seperti Ang Mo Kio, Toa Payoh dan Queenstown terletak lebih dekat dengan kawasan pusat, mempunyai rangkaian pengangkutan lebih baik dan kemudahan yang lebih pelbagai.

Estet sedemikian menarik permintaan lebih tinggi berbanding estet bukan matang, yang terletak lebih jauh dari kawasan pusat.

Menurut Encik Lee, sedang rangka kerja ini mudah difahami dan telah dilaksana dengan berjaya, namun landskap perumahan di sini sedang berubah.

Ini kerana kawasan tanah yang luas dan belum dibangunkan semakin berkurangan. Justeru, HDB perlu membangunkan flat di dalam kawasan atau berhampiran estet-estet sedia ada.

Di samping itu, estet bukan matang juga kini telah berubah, dan telah dilengkapi dengan kemudahan dan rangkaian pengangkutan lebih baik.

“Justeru, perbezaan antara estet matang dan bukan matang semakin pudar dan ini dicerminkan menerusi permohonan  flat Bina Ikut Tempahan (BTO),” kata Encik Lee.

“Malah, sesetengah projek di lokasi menarik di estet bukan matang lebih popular dari projek di estet matang,” tambah beliau.

Mengulas lanjut mengenai model ‘Plus’, Encik Lee berkata sedang sebahagian besar projek perumahan yang dibangunkan HDB adalah Projek Standard, namun dalam kawasan yang sama, sesetengah projek HDB akan dibangunkan di lokasi-lokasi lebih menarik.


Ini termasuk projek-projek perumahan yang dibina berhampiran stesen MRT dan lain-lain kemudahan.


Projek sedemikian akan dikategorikan sebagai Projek Plus dan dijual di bawah peraturan berbeza.


Ia akan menerima subsidi lebih tinggi daripada flat Standard, namun HDB akan memperkenalkan tempoh penginapan minimum (MOP) lebih panjang iaitu 10 tahun, berbanding lima tahun bagi pemilik flat Standard.


Di samping itu, kadar subsidi yang dikembalikan juga akan diperkenal agar diskaun tambahan yang diberikan dapat dikembalikan, selain memperkenalkan siling pendapatan bagi pembeli flat jual semula.


Dalam pada itu, berkenaan Pakej Majulah bagi Warga Emas Kurang Berumur, atau golongan berusia 50 tahun dan ke atas, yang dilahirkan pada 1973 atau lebih awal, Encik Lee berkata ia merangkumi tiga komponen.

Pertama, ia membantu membangunkan simpanan CPF semasa seseorang itu masih bekerja menerusi bonus CPF sejumlah $1,000 setiap tahun bagi pekerja bergaji rendah dan pertengahan.

Kedua ialah Bonus Simpanan Persaraan sejumlah $1,500 bagi mereka yang belum mencapai Jumlah Asas Persaraan. Mereka yang tidak bekerja, termasuk suri rumah juga akan menerima bonus tersebut. Bonus ini diberikan sekali sahaja.

Ketiga ialah Bonus MediSave berjumlah $1,000 yang turut diberikan sekali sahaja.

Pakej Majulah itu turut akan dinikmati golongan Generasi Perintis dan Merdeka, dan secara keseluruhan dijangka dimanfaatkan sekitar 1.4 juta warga.

Beliau menjelaskan, kos bagi pakej tersebut akan menggunakan sumber-sumber daripada tempoh pemerintah sekarang, tanpa meletakkan bebannya ke atas generasi akan datang.

Pada masa yang sama, beliau berkata pemerintah juga sedang memperbaiki skim-skim sedia ada seperti Skim Ihsan Senja, Tambahan Pendapatan Daya Kerja dan Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan. Perinciannya akan diumumkan tahun depan.

“Mengambil kira semuanya, peningkatan-peningkatan ini akan membantu warga emas memenuhi keperluan persaraan asas, terutama warga berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Supaya anda lebih tenang meniti usia emas anda,” kata Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >