Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sedia khidmat bot laju bawa pulang jenazah S’pura yang meninggal di Batam, Riau

Jun 25, 2023 | 05:30 AM



Setelah lebih sedekad tinggal di Batam, Encik Muhamad Akbar Jalit dapat melihat sendiri cabaran yang dihadapi warga Singapura tatkala ada ahli keluarga yang meninggal dunia secara mengejutkan ketika bercuti di pulau itu.

Runsing, mereka biasanya tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan siapakah yang mereka boleh hubungi untuk mendapatkan bantuan.

Melihat keadaan itu, ia memberi gagasan kepada Encik Akbar, yang memiliki syarikat pengurusan jenazah di Singapura, untuk memulakan sebuah perniagaan di Batam bagi membantu warga Singapura yang menghadapi keadaan sedemikian.







Berbekalkan pengalamannya selama hampir 25 tahun mengendalikan syarikat pengurusan jenazah Md Akbar International Islamic Casket di Singapura, Encik Akbar mengembangkan perniagaannya itu untuk memulakan syarikat kedua, Md Akbar International Batam, sekitar setahun lalu.

Syarikat itu menyediakan khidmat penghantaran pulang jenazah ke Singapura melalui bot laju.

Encik Akbar berkata pihaknya telah membantu mengendalikan sekitar 20 jenazah sejak syarikat itu dimulakan.

Syarikat Md Akbar International Batam dipercayai satu-satunya perniagaan kendalian warga Singapura yang menyediakan khidmat sedemikian di kepulauan Riau.







“Apabila kematian berlaku di luar negara, tentu sekali keluarga akan rasa risau. Mereka akan tanya tentang proses dan sebagainya.

“Kita buka syarikat ini kerana terdapat keperluan; kita dapat membantu masyarakat Singapura menguruskan jenazah yang meninggal dunia di Batam atau kepulauan Riau yang lain seperti Tanjung Pinang dan Tanjung Balai, untuk dibawa kembali ke Singapura,” kata beliau.

Menurut beliau, pengendalian syarikat itu dibantu isterinya, Cik Patma, selaku setiausaha.







Selain warga Singapura, syarikat itu juga pernah menguruskan jenazah warga negara lain yang meninggal dunia di kepulauan Riau untuk dihantar ke Singapura sebelum dibawa pulang ke negara asal.

Encik Akbar, 38 tahun, berkongsi bahawa syarikatnya telah membelanjakan ribuan dolar untuk reka bentuk dan membina bot laju itu, yang dapat menampung satu jenazah dan seorang kapten serta tiga kru pada satu-satu masa.

Bot laju itu menggunakan dua enjin dan boleh mencapai kelajuan sehingga 40 knot, dengan masa perjalanan yang diambil antara Batam dengan Singapura sekitar 20 hingga 30 minit – lebih cepat berbanding masa sekitar sejam bagi feri komersial.

Jenazah akan diturunkan di Terminal Feri Tanah Merah sebelum dibawa langsung ke pusara, masjid atau rumah, bergantung pada kehendak waris.







Encik Akbar berkata khidmat yang disediakan syarikatnya bukan hanya melibatkan penghantaran jenazah, malah pengurusan jenazah termasuk mandi dan kapan, dan juga pengurusan dokumen dengan pihak berkuasa di kedua-dua negara.

“Keluarga perlu banyak sabar kerana prosesnya panjang. Ia bermula dari hospital, melibatkan kedutaan, polis, pihak imigresen dan kastam. Semuanya harus diproses dengan baik supaya surat kematian boleh dikeluarkan dengan cepat.

“Bergantung pada waktu kematian, jika individu meninggal dunia pada waktu malam, proses pengurusan akan bermula pada waktu pagi, dan insya-Allah jenazah akan sampai di Singapura lebih kurang pada waktu petang. Ia juga bergantung pada beberapa faktor lain seperti cuaca dan keizinan untuk belayar,” kata beliau.

Bagi Encik Akbar, soal pengurusan jenazah adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan dan merupakan khidmat penting untuk membantu masyarakat yang dalam keadaan susah dan emosi kerana berhadapan dengan kematian.

Beliau mula belajar tentang pengurusan jenazah pada usia 12 tahun setelah kematian pak ciknya dan menimbulkan minatnya untuk meraih ilmu dan kemahiran dalam bidang itu.

“Ketika itu saya lihat ramai yang menguruskan jenazah adalah mereka yang sudah tua dan di situ, saya rasa ada perlunya pelapis baru untuk mengambil tanggungjawab itu.

“Apabila berusia 18 tahun, saya rasa sudah tiba masanya saya mulakan perniagaan sendiri supaya saya dapat teruskan warisan mereka,” kata beliau.

Dengan amanah dan tanggungjawab berat yang perlu digalas, Encik Akbar menasihatkan mereka yang berminat menceburi industri itu supaya belajar dan meraih pengalaman secukupnya dahulu sebelum membuka syarikat sendiri.

“Ilmu fardu kifayah sangat luas dan perlu dipelajari dan perlu cari pengalaman dulu. Cari guru yang betul supaya dapat bimbingan yang baik. Daripada situ, jika anda sudah bersedia, anda boleh menceburi bidang ini, insya-Allah,” kata Encik Akbar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >