Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, memutuskan pada Isnin bahawa Encik Murali Pillai (SMC Bukit Batok) tidak “menuduh sebarang motif tidak wajar” ke atas Encik Leong Mun Wai (Anggota Parllimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
Semasa perbahasan pada 3 Ogos bacaan kedua Rang Undang-Undang Perjanjian Pajakan bagi Premis Runcit, Encik Murali berkata Encik Leong “menyokong beberapa bentuk kawalan sewa”, lapor Channel NewsAsia. Ini membuat Encik Leong memfailkan aduan terhadap Encik Murali.
Aduan itu ditolak oleh Encik Seah, yang berkata tiada tanggapan mengelirukan yang timbul dan tidak berlaku pelanggaran hak istimewa parlimen.
Dalam aduannya, Encik Leong merujuk kepada Peraturan Tetap 50 dan mendakwa kenyataan Encik Murali telah mengaitkan motif yang tidak wajar kepadanya.
Seksyen 6 Peraturan Tetap 50 menyatakan tiada Anggota Parlimen (AP) boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada sembarang AP lain, kata Encik Seah.
“Perkataan ‘motif tidak wajar’ membayangkan sesuatu yang menyalahi undang-undang, tidak jujur atau salah dari segi moral. Saya telah meneliti ucapannya yang direkod dalam Hansard, dan saya mendapati kenyataan kawalan sewa itu tidak mencadangkan atau mengaitkan motif tidak wajar pada Encik Leong,” ujar Encik Seah.
Kawalan sewa adalah suatu dasar sah untuk pemerintah, kata Encik Seah. Semasa perbahasan itu, Encik Leong dan Encik Murali berbahas mengenai konteks ucapan masing-masing, katanya.
“Tetapi itulah sifat pertukaran pandangan dan perbahasan Parlimen,” kata Encik Seah.
Encik Leong mengangkat tangannya untuk bercakap selepas Encik Seah memutuskan perkara itu. Walaupun menegaskan keputusannya muktamad, Speaker membenarkan Encik Leong.
Apabila Encik Leong ingin bertanya kepada Encik Murali, Encik Seah berkata beliau tidak membuka semula perbahasan.
Encik Leong juga memfailkan aduan kedua – terhadap Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berhubung komennya di mikrofon pada 14 Sep 2021. Ini berlaku semasa perbahasan Parlimen mengenai buruh asing, pekerjaan dan mata pencarian.
Dalam perdebatan itu, Dr Balakrishnan memanggil Encik Leong “buta huruf” dan mempersoalkan kelayakan pendidikannya.
Dr Balakrishnan telah meminta maaf kepada Encik Leong. Komennya kedengaran di latar belakang apabila Encik Leong mendekati beberapa menteri dalam perbahasan Parlimen.