Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Syarikat S’pura teroka peluang dalam pelbagai sektor di Afrika

Jun 26, 2023 | 05:31 AM



Lebih banyak perniagaan Singapura kini mengembangkan sayap ke Afrika, dengan sekitar 100 syarikat beroperasi di lebih 40 negara di rantau itu sejauh ini, kata Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Malah, syarikat Melayu/Islam di sini juga sedar akan pelbagai peluang yang ditawarkan sejumlah besar pasaran halal di benua Afrika itu.

Menurut Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), terdapat pasaran halal luas yang boleh dimanfaatkan di Afrika dan mereka terbuka meneroka peluang itu berdasarkan minat dan keperluan anggotanya.

Misalnya, Timbalan Presiden DPPMS, Encik Azhar Othman, berkata salah seorang anggota mereka, Encik Mazlan Osman dari Hezom Foods, telah berkongsi bahawa terdapat banyak pasaran halal di negara seperti Mesir dan Malawi yang menawarkan potensi wadah pengembangan yang besar.

“Kami menggalak anggota yang berminat meneroka pasaran Afrika untuk mendekati kami. Kami boleh menyediakan bimbingan, sokongan dan menghubungkan mereka dengan sumber dan rangkaian relevan untuk memudahkan usaha perniagaan mereka,” kata Encik Azhar.

Dianggap sebagai ‘sempadan terakhir’ bagi pertumbuhan global, syarikat Singapura berminat meneroka peluang perniagaan dalam pelbagai sektor di Afrika, termasuk huraian bandar dan kemampanan, pendigitalan dan teknologi, serta pengilangan dan logistik, kata Encik Rahul Ghosh, pengarah bagi Timur Tengah dan Afrika, EnterpriseSG.

Dengan Afrika sedang mengalami pembandaran yang pesat dan mempunyai salah satu populasi bandar yang paling cepat berkembang di dunia, Encik Ghosh berkata ini telah mewujudkan permintaan kukuh bagi huraian bandar seperti perancangan bandar mampan, huraian bangunan hijau dan pengurusan projek bagi pembangunan prasarana.

“Contohnya, GreenA Consultants mempunyai projek di Tanzania, Rwanda dan Kenya yang menyediakan nasihat berkaitan kemampanan dan pembangunan projek.

“EnterpriseSG telah memudahkan perbincangan antara syarikat itu dengan bakal rakan kongsi di Afrika. Syarikat itu menyertai misi perniagaan yang dianjurkan kami ke Afrika Barat tahun lalu, untuk meneroka peluang selanjutnya di rantau itu,” kata beliau.

Dalam sektor pendigitalan dan teknologi pula, Encik Ghosh berkata mereka melihat peluang bagi syarikat Singapura menyediakan huraian teknologi dalam bidang pendidikan, kewangan dan e-dagang.

Sementara itu, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) telah membolehkan sektor pengilangan dan logistik meraih manfaat daripada peningkatan perdagangan di dalam Afrika, kata Encik Ghosh.

Ini bermakna rangkaian pengedaran sedang dipertingkat dan peluang dalam pengilangan, barangan pengguna dan gaya hidup, serta pengangkutan dan logistik akan berkembang – satu peluang yang boleh diterokai dan direbut syarikat Singapura.

Namun begitu, Encik Ghosh berkata Afrika adalah sebuah rantau besar yang mempunyai lebih 50 negara dengan pelbagai budaya, bahasa dan tahap pembangunan yang berbeza.

Oleh itu, beliau menasihatkan syarikat yang ingin berkembang ke Afrika agar melakukan kajian menyeluruh dan menilai aspek pasaran yang berbeza, seperti keadaan perniagaan, landskap peraturan dan permintaan pasaran.

EnterpriseSG mempunyai tiga pusat luar negara di Afrika – Johannesburg, Afrika Selatan; Accra, Ghana; dan Nairobi, Kenya – untuk membantu mempermudahkan kerjasama dan pelaburan untuk syarikat Singapura.

“Produk atau perkhidmatan yang berjaya di Singapura mungkin tidak akan begitu berjaya di Afrika. Penyesuaian mungkin perlu dibuat dan syarikat perlu menyesuaikan pendekatan bagi setiap pasaran.

“Syarikat juga perlu mempertimbangkan cara kemasukan pasaran dan menentukan model perniagaan yang sesuai, sama ada untuk masuk secara langsung atau melalui rakan, pengedar dan ejen Afrika,” kata Encik Ghosh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >