Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Warga S’pura tubuh syarikat perjuang kemampanan di Asia, Afrika

Teruja dengan peluang yang luas, syarikatnya GreenA Consultants tawar huraian dalam sektor hijau
Jun 26, 2023 | 05:31 AM



Ketika Punggol dibangunkan sebagai kawasan kejiranan baru, Cik Farizan d’Avezac de Moran berpeluang terlibat dalam projek membangunkan salah satu pusat pengalaman di estet itu yang menerapkan ciri-ciri reka bentuk mampan.

Pusat ala bilik pameran itu membolehkan pengunjung melihat kemudahan ciri-ciri unik dan kemudahan di estet Punggol.

Antaranya, bumbung pusat itu diperbuat daripada kertas bitumen yang dikitar semula, manakala dindingnya pula dibuat daripada botol kaca dengan tumbuhan di dalamnya.

Kertas bitumen merujuk membran atau kertas tar yang digunakan sebagai alas bumbung.

Daripada situ, mula berputik minat beliau dalam bidang kemampanan.

Cik Farizan berpeluang menjalankan beberapa projek lain yang menerapkan ciri-ciri hijau, termasuk bangunan pejabat yang dipasang panel suria.

“Saya amat tertarik dengan potensi membina permukaan bangunan menggunakan panel suria. Saya yakin itulah masa depannya!

“Malah, saya terbang ke China untuk merunding perjanjian dan pergi merata tempat untuk memperjuangkannya (reka bentuk mampan).

“Namun, masa tidak menyebelahi saya dan industri pada waktu itu belum bersedia, walau pun saya berusaha cuba mendorongnya,” kata ibu tiga anak remaja itu yang bersuamikan lelaki warga Perancis.

Enggan patah semangat dan teruja dengan pelbagai peluang yang sedia ada dalam bidang kemampanan, Cik Farizan menyertai kursus Profesional Bertauliah Green Mark yang ditawarkan Akademi Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) untuk belajar lebih lanjut tentang garis panduan dan teknologi reka bentuk bangunan hijau.

Pada 2009, beliau – yang sebelum ini merupakan pemegang saham dalam syarikat kejuruteraan struktur pakar selama 15 tahun – memutuskan untuk memulakan syarikat perundingan kemampanannya sendiri, GreenA Consultants.

Hari ini, syarikatnya menyediakan huraian dalam bidang pelaporan hijau, pensijilan, kajian sekitaran, pembangunan protokol dan audit sekitaran, dengan projek di seluruh Asia dan juga sejauh Afrika.

Cik Farizan, 52 tahun, berkata klien syarikatnya terdiri daripada mereka di dalam sektor awam dan swasta dari seluruh dunia, dengan sebahagian besar projek dalam sektor pengilangan, perindustrian, prasarana dan kediaman.

Salah satu projek yang dijalankan syarikatnya melibatkan sebuah masjid di Singapura yang sedang melalui kerja peningkatan. Masjid itu telah disasarkan menjadi bangunan sifar tenaga yang tidak bergantung pada grid elektrik.

Ia dipercayai bakal menjadi masjid pertama di Asia Tenggara diperakui sebagai sifar tenaga.

Antara lain, syarikatnya juga telah menjalankan projek di Rwanda, Afrika, di mana mereka antara 10 finalis yang dipilih dalam cabaran membangunkan sejuta bumbung sejuk.

Sebagai sebahagian daripada projek itu, mereka perlu mencari produk cat yang sesuai dalam memberikan kesan penyejukan kepada bahagian bumbung.

Syarikat Cik Farizan kini juga terlibat dalam projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Bugesera di Rwanda.

Cik Farizan berkongsi beliau perlu berulang-alik antara Singapura dengan Rwanda, dan meluangkan masa sekitar 45 hari di setiap lokasi sementara keluarganya kekal di Singapura.

Meskipun kemampanan sudah tidak asing lagi di Singapura, ia masih memerlukan sedikit dorongan di luar negara.

Namun secara umumnya, beliau berkata “masa paling teruk, di mana kita perlu berusaha mendapatkan 99 peratus sokongan daripada pihak berkepentingan untuk menerima kemampanan, sudah berakhir”.

“Ia bagaikan cef yang bekerjasama dengan pelanggan, yang mempunyai cita rasa berbeza. Anda perlu fahami mereka dan juga pandangan mereka tentang kemampanan.

“Dahulu, saya bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan mereka (klien) dalam kemampanan sehinggakan kadangkala saya menangis sebab rasa kecewa.

“Sekarang, saya lebih kuat tetapi ia tetap menjejas saya apabila klien mengamalkan kemampanan bukan bagi tujuan menyelamatkan alam sekitar, tetapi lebih disebabkan ekonomi,” kata beliau.

Cik Farizan berkata soal kemampanan bukan hanya sekadar mendapatkan pensijilan agar bangunan diperakui hijau dan mampan, malah untuk memastikan ia memberi kesan positif kepada alam sekitar dan pengguna memahami ciri-ciri mampan yang diterapkan.

Nasihatnya kepada syarikat dan klien dengan idea mencipta bangunan ataupun bandar yang mampan adalah untuk mengambil masa dalam memahami tentang usaha dan kesan memilih langkah ke arah kemampanan.

“Buat perkiraan dan anda mungkin akan rasa terkejut melihat penjimatan yang boleh dibuat. Namun, fikirkan kedua-dua kesan kewangan dan juga alam sekitar,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >