Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tidak perlu cemas jika berdepan hidupan liar

Oct 02, 2023 | 05:31 AM



Bayangkan anda sedang berkelah di taman dan tiba-tiba ‘tetamu’ tidak diundang datang menceroboh dan menggeledah makanan yang anda bawa.

Itulah yang berlaku kepada sebuah keluarga di Mexico apabila seekor beruang hitam liar tanpa segan silu datang bertandang dan menikmati makanan yang ada di atas meja yang mereka saji semasa berkelah.

Meskipun dalam keadaan terkejut, si ibu dalam video itu dilihat memeluk anaknya dan cuba menenangkannya, agar tidak membuat sebarang pergerakan sementara beruang itu memanjat meja.

Apakah yang akan anda lakukan dan bagaimanakah akan anda bertindak jika berhadapan situasi sedemikian di sini?

Walaupun beruang liar bukanlah haiwan yang biasa dilihat di Singapura, tetapi beberapa pembaca Berita Harian (BH) berkata, mereka pernah berdepan dengan keadaan serupa di mana sekumpulan kera telah mengganggu mereka ketika mereka sedang berkelah di taman malah ada yang sehingga memasuki rumah.


Pakar pemuliharaan dan hidupan liar berkata, apabila keadaan sebegitu berlaku, adalah lebih baik untuk bertenang dan tidak cemas kerana ini boleh mengejutkan haiwan berkenaan.

Pensyarah kanan di Sekolah Alam Sekitar Asia, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Shawn Lum berkata, meski Singapura tidak mempunyai haiwan liar berbahaya yang dapat menimbulkan ancaman besar kepada orang ramai, masih terdapat beberapa haiwan yang masih mampu menyebabkan kecederaan.

“Haiwan seperti kera, babi hutan, dan mungkin memerang, merupakan antara haiwan di sini yang boleh mencederakan orang jika terlibat dalam situasi konflik yang boleh timbul apabila seseorang itu cuba menakutkan haiwan tersebut apabila ia cuba mendekat untuk mengambil makanan. 

“Haiwan ini juga akan bertindak agresif berpandukan naluri perlindungannya jika ia berasa manusia cuba mendekati bayinya. 

“Tindakan terbaik adalah untuk mengelakkan berlakunya perselisihan sebegini,” kata Dr Lum.

Dalam pada masa yang sama, Dr Lum menekankan, memberi makan kepada haiwan adalah antara perkara yang tidak digalakkan kerana haiwan itu akan terbiasa dengan manusia memberinya makanan.

“Ini boleh membawa kepada masalah di kemudian hari kerana haiwan akan mula kerap mendekati manusia – dan tidak semua manusia tahu apa yang perlu dilakukan apabila haiwan mendekati mereka,” tambah beliau.

Itulah yang berlaku kepada Encik Shukri Jalil sekeluarga, sedang mereka berkelah di sebuah taman berdekatan rumah mereka di Sengkang. 

Tanpa diduga, sekumpulan tiga kera mendekati tempat mereka sedang duduk berkelah dan cuba merampas beg yang menyimpan makanan mereka.

“Memang kami tidak sangka taman itu ada kera yang berkeliaran. Setelah kejadian itu berlaku, saya dan keluarga segera meninggalkan tempat itu kerana takut monyet itu datang lagi,” kata Encik Shukri, 35 tahun.

Peristiwa serupa juga dialami Cik Nur Ashilah Md Pajri, 37 tahun. Bagi dirinya, ia tidak berlaku di luar, malah di dalam rumahnya sendiri di Bukit Batok.

Meskipun ia berlaku sekitar lima tahun lalu, tetapi pengalaman berdepan dengan sekumpulan kera yang memasuki rumahnya masih menghantui beliau sehingga hari ini.

“Saya berada di rumah bersama bayi saya yang baru berusia sebulan ketika itu apabila saya mendengar bunyi yang datang dari penyangkut pakaian di tingkap dapur. Pada mulanya saya fikir ia hanya angin yang kuat.

“Tanpa saya sedari, seekor monyet tiba-tiba muncul dan melompat ke atas meja makan saya. Saya cemas dan takut monyet itu akan melakukan sesuatu kepada bayi saya seperti cuba menggigit atau menggarunya.

“Kera itu sebenarnya sedang mencari makanan... ia menyentuh roti (dalam plastik) dan barangan lain. 

“Semasa ia sedang sibuk menggeledah makanan, saya dengan pantas mengambil bayi saya dan menutup semua pintu bilik tidur.

“Saya cuba menghalaunya dan kemudian kera itu berlari ke arah tingkap ruang tamu, sebelum memanjat keluar dan naik ke rumah jiran kami di atas. 

“Saya dapat mendengar jeritan mereka dan bunyi barang dilontar seperti bunyi penyapu menghentam lantai,” kongsi beliau.







Mereka yang dihubungi akhbar ini berkata mereka bertindak mengikut naluri ketika kejadian sebegitu berlaku.

Mereka tidak tahu akan adanya panduan hidup dengan haiwan liar ini yang dikongsi agensi seperti Lembaga Taman Negara (NParks) dan Persatuan berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres). 

Buku panduan itu boleh didapati menerusi laman NParks dan Acres secara percuma.

Selain monyet atau kera, terdapat juga kes-kes di mana penduduk di sini menyedari bahawa rumah mereka dijadikan tempat teduh sementara haiwan atau serangga – sebagai contoh lebah yang membina sarangnya di dalam atau berhampiran kawasan rumah.

Dalam hal ini, pakar mengesyorkan beberapa perkara yang boleh dilakukan agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada mereka yang berada di dalam rumah.

Encik Xavier Tan, pengasas dan pemilik Nutrinest, sebuah operasi persendirian yang menjalankan pemindahan sarang lebah dari kawasan perumahan memberitahu akhbar ini bahawa sebilangan besar lebah mencari tempat sesuai di mana mereka dapat bersembunyi dan tinggal tanpa diganggu.

“Banyak habitat semula jadi mereka telah dihapuskan disebabkan proses pembandaran dan lebah atau haiwan lain terpaksa memindahkan sarang mereka, menjadikan mereka lebih dekat dengan kita.

“Secara umumnya, lebah tidak berbahaya, dan terdapat juga kemungkinan kita boleh hidup bersama dengan serangga dan haiwan ini.

“Saya telah berjaya menggalakkan lebih 100 keluarga untuk hidup bersama dengan lebah yang bersarang di rumah mereka. Lebah ini akhirnya akan keluar mencari tempat baru untuk bersarang,” ujar Encik Tan. 

Ketua eksekutif bersama Acres, Cik Anbarasi Boopal, pula berpendapat usaha Singapura untuk menjadi sebuah bandar yang menghijau akan terus menarik dan mendekatkan hidupan liar dengan manusia.

“Ketika kita melangkah ke arah menjadi sebuah Bandar dalam Alam Semula Jadi atau ‘City in Nature’,  usaha menghijau ini akan melihat lebih banyak kehijauan berada lebih dekat dengan manusia, sekali gus mendekatkan orang ramai dengan alam semula jadi.

“Haiwan liar tidak memahami akan kegunaan sebenar sempadan hijau buatan manusia seperti Rangkaian Penghubung Taman yang turut digunakan manusia secara amnya. 

“Justeru, tidak hairanlah apabila kita juga akan melihat haiwan sebegini yang turut berkongsi tempat-tempat ini,” ujarnya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >