Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Ubat rawat kencing manis, berat badan bukan jalan mudah jadi kurus

Trend ubat kurus badan “ajaib” jadi keprihatinan
Jun 30, 2023 | 05:30 AM



Ubat rawat kencing manis dan kegemukan, Ozempic dan Wegovy, yang menjadi tarikan Internet sebagai ubat menurunkan berat badan “ghaib”, tidak sepatutnya dianggap sebagai jalan mudah untuk menjadi lebih kurus, kata para doktor.


Para doktor yang dihubungi Berita Harian berkata ubat tersebut sebaik mungkin digunakan bagi tujuan ditetapkan “dalam label”, sebagai kaedah rawatan pesakit yang disahkan menghidap penyakit tersebut.


Bagaimanapun jika ingin menggunakannya bagi tujuan “luar label”, iaitu untuk menurunkan berat badan, pengguna perlu sedar akan risiko kesan sampingannya dan menggunakannya di bawah penyeliaan rapi oleh doktor selain menjalani penilaian teliti sebelum mendapat preskripsi.

“Jika anda mengambil ubat ini dan anda rasa ia tidak berkesan bagi anda, ia hanya sekadar rejim perubatan yang menelan perbelanjaan besar,” kata Dr Elly Sabrina Ismail, doktor keluarga dan Pengarah Banyan Clinic, secara ringkas mengenainya.

Beliau berpendapat bahawa pesakit “tidak boleh lari” daripada mengutamakan perubahan gaya hidup serta cara pemakanan sihat sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan berat badan.

“Ubat ini boleh membawa manfaat kepada golongan pesakit tertentu yang menghidap kencing manis dan kegemukan. Tetapi ia bukan peluru ajaib untuk jadi kurus,” tambahnya.

“Saya juga kira ia tidak wajar anda berbelanja dengan banyak buat jangka panjang dan kemudian hasilnya sama ada berat badan anda tidak turun dengan ketara atau akan naik kembali selepas berhenti daripada mengambilnya.”

Ubat Ozempic diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat pada 2017, menjadi tarikan besar daripada topik hangat antara selebriti barat kepada pengguna media sosial seperti TikTok yang kerap menyiarkan perjalanan kurus badan masing-masing.


Trend #ozempic di platform itu, misalnya, mencatatkan 1.2 bilion penonton dan #ozempicweightloss pula mencatatkan 397.3 juta penonton.


Ekoran kepopularan itu, ia dilaporkan telah menyebabkan kekurangan bekalan di Eropah, Amerika dan Australia.

Di sini, Ozempic mendapat kelulusan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 2021 bagi merawat penyakit kencing manis Jenis 2.


Satu lagi ubat bernama Wegovy – serupa Ozempic dalam paras dos lebih tinggi – diluluskan HSA pada April bagi orang dewasa yang gemuk, atau mempunyai berat badan tinggi serta menghidap satu keadaan kronik berkaitan berat badan mereka.


Kedua-dua ubat itu mengandungi bahan Semaglutide, yang meniru hormon glucagon-like peptide-1, bagi mengawal paras gula dalam darah, mendorong rasa kenyang serta mengurangkan selera makan pengguna.


Tinjauan BH di laman klinik tempatan mendapati kos bagi setiap pena Ozempic ialah sekitar $400. Pengguna ubat tersebut perlu menyuntik diri di perut seminggu sekali.

Antara lain, ia boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti rasa mabuk, muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut, dan sembelit.

Pengguna juga boleh mendapatkan versi tablet ubat tersebut bernama Rybelsus.


Dr Abel Soh, seorang pakar endokrinologi dari Pusat Perubatan Mount Elizabeth, berkata golongan yang minat dengan ubat itu adalah yang disahkan gemuk tetapi tidak menghidap kencing manis dalam tahap usia pertengahan.

Ada sudah mencecah usia 60-an tahun yang menghidap keadaan kronik berkaitan berat badan, paras kolesterol dan darah tinggi.

“Terdapat juga pesakit tidak disahkan gemuk tetapi masih bertanya-tanya tentang ubat itu sebab ia popular di media sosial,” kata Dr Soh.

“Saya selalu bilang mereka, ubat ini tidak disarankan kecuali bagi merawat kencing manis. Kini sudah terdapat kekurangan bekalan di tahap sedunia, dan keutamaan akan diberi kepada pesakit kencing manis.”

Di Parlimen pada Mei, Anggota Parlimen (GRC Chua Chu Kang), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim , menyuarakan keprihatinan terhadap bekalan dadah itu di sini dan sama ada pemerintah sedar terhadap trend yang menggalak dadah itu bagi mengurangkan berat badan.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu jawapan bertulis berkata sementara media sosial telah memasarkan Ozempic dan Wegovy sebagai huraian mudah untuk mengurangkan berat badan, pengguna perlu sedar akan risikonya.


MOH berkata ia bekerjasama dengan institut jagaan kesihatan serta syarikat pengeluaran dadah bagi memantau corak penggunaannya di tahap domestik dan antarabangsa agar dapat mengurangkan gangguan terhadap bekalannya di sini.

HSA dalam kenyataannya berkata ubat tersebut hanya boleh dijual menerusi preskripsi seorang doktor berdasarkan garis panduan klinikal dan pengguna perlu di bawah penyeliaan doktor.

Berdasarkan penilaian HSA, ubat itu dilulus kerana ia memenuhi piawaian keselamatan, keberkesanan dan mutu dan “kebaikan produk itu melebihi risikonya bagi populasi pesakit tertentu.”

Namun, doktor perlu bergantung pada penilaian klinikal masing-masing di mana mereka bakal dipertanggungjawabkan jika ingin memberi preskripsi bagi tujuan luar label, kata penguasa itu.

HSA menambah, mesti ada sebab yang sah ubat itu dijual bagi penggunaan luar label demi kebaikan pesakit, dan pesakit perlu diberitahu tentang risikonya dan harus setuju dengannya.

Apabila dihubungi, Encik Zhulkarnain berkata trend penggunaan luar label perlu dipantau kerana berupaya menyebabkan kekurangan bagi golongan yang benar-benar memerlukannya.

“Ia menimbulkan soalan bagaimana kami dapat memantau keadaan ini dengan menyeluruh serta memastikan semua pihak mengamalkan tanggungjawab dalam pembelian dan penjualannya,” kata beliau.

“Dan bagaimana kami dapat memastikan penawar khidmat perubatan di sini hanya akan menjual ubat itu bagi tujuan sesuai dan tidak tertarik dengan keuntungan dan menjualnya kepada pihak yang membelinya bagi tujuan lain.”

*Dalam versi awal artikel ini, kami menyatakan Ozempic diizinkan bagi penggunaan “luar label” untuk mengurangkan berat badan. Ini adalah tidak benar. Penggunaan ‘luar label’ tidak memerlukan kebenaran. Artikel ini telah disemak bagi memperjelas kenyataan ini. Kami mohon maaf atas kesilapan ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >