Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

18 majlis bandaran terima pelarasan $1.8j bagi geran operasi

Perbezaan dalam kiraan penyaluran dana dari tahun kewangan 2011 - 2024 telah sebabkan kekurangan dalam jumlah diagihkan
Dec 29, 2025 | 5:43 PM
Jumlahnya berbeza mengikut majlis bandaran, antara $22,000 hingga $383,000.
Jumlahnya berbeza mengikut majlis bandaran, antara $22,000 hingga $383,000. - Foto ST

Sebanyak 18 majlis bandaran akan berkongsi pelarasan sekali sahaja berjumlah $1.8 juta bagi geran operasi Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC), menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 29 Disember.

Ini menyusuli perbezaan dalam pengiraan penyaluran dana dari tahun kewangan 2011 hingga tahun kewangan 2024 yang menyebabkan kekurangan dalam jumlah yang diagihkan.

Dalam kenyataannya, MND berkata jumlah tersebut berbeza mengikut majlis bandaran, antara $22,000 dengan $383,000.

MND menyalurkan geran operasi S&CC setiap tahun kepada majlis bandaran bagi membantu dalam menampung kos penyelenggaraan estet, memenuhi keperluan operasi serta mengurangkan beban kos bagi penduduk.

Geran ini diberikan kepada flat empat bilik dan lebih kecil, dengan kadar lebih tinggi bagi jenis flat yang lebih kecil, lapor The Straits Times (ST).

Ia merupakan sebahagian daripada lebih $280 juta geran yang diagihkan setiap tahun oleh MND bagi menyokong operasi majlis bandaran.

Geran lain termasuk geran subsidi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), geran pemadanan dana penggantian lif dan geran penyelenggaraan lif.

MND berkata kekurangan itu dikesan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semasa semakan dalaman terhadap proses pengiraan geran.

Jumlah geran bagi satu tahun kewangan dikira berdasarkan data isi rumah sebelum bermulanya tahun kewangan tersebut.

Kuantum geran bagi setiap penyaluran kemudiannya diselaraskan untuk mengambil kira perubahan bilangan isi rumah pada tahun sebelumnya.

Namun, “sebilangan kecil” flat HDB yang diserahkan kepada majlis bandaran pada Mac dari tahun kewangan 2011 hingga tahun kewangan 2024 telah terlepas daripada pengiraan itu berikutan ralat sistem, kata MND.

Perbezaan bagi satu tahun tidak dibawa ke tahun berikutnya kerana flat yang terlepas itu akan diambil kira apabila geran dikira semula pada pusingan seterusnya.

Secara keseluruhan, kekurangan tersebut merangkumi kira-kira 0.09 peratus daripada geran operasi S&CC yang telah disalurkan kepada majlis bandaran sepanjang tempoh 14 tahun itu, kata MND, sambil menambah, keadaan ini “mempunyai kesan minimum terhadap operasi mereka”.

Kementerian itu berkata perbezaan tersebut telah diperbetulkan dan HDB juga telah melaksanakan semakan sistem yang lebih mantap bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Langkah-langkah ini termasuk kawalan pengesahan dan penyelarasan sebagai sebahagian daripada proses pengiraan geran.

MND dan HDB akan melengkapkan penyaluran bayaran tertunggak kepada majlis bandaran yang terjejas, termasuk faedah, selewat-lewatnya 31 Januari 2026.

Geran bagi Majlis Bandaran Pasir Ris-Changi tidak terjejas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg