Topik diikuti
Pergi ke BHku245 pelajar hisap vape dirujuk kepada HSA antara 1 Apr-30 Jun
Dari 1 April hingga 30 Jun, 245 pelajar dirujuk pihak sekolah dan pusat pengajian tinggi kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) kerana menghisap vape.
Dalam tempoh tiga bulan yang sama, lebih 480 golongan muda menerima kaunseling berhenti merokok dan menghisap vape.
Demikian menurut satu kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA pada 11 Ogos.
Dua pihak berkuasa itu turut mengumumkan bahawa program QuitVape, yang membolehkan individu mendapatkan bantuan secara sukarela untuk mengatasi penyalahgunaan etomidate, akan dihentikan pada 1 September.
Sejak dilancarkan pada September 2025, kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan etomidate meningkat dengan penyertaan dalam QuitVape berkurangan, ujar MOH dan HSA.
Dalam tinjauan keadaan vape bagi suku kedua 2026, pihak berkuasa berkata seramai 2,428 orang telah ditangkap kerana memiliki dan menggunakan vape dari 1 April hingga 30 Jun.
Daripada jumlah ini, 1,971 orang atau 81 peratus adalah pesalah vape tetap, manakala baki 457 orang adalah pesalah vape etomidate.
Jumlah kes vape yang dikesan setiap bulan semasa suku kedua tersebut adalah 809 secara purata.
Ia adalah kira-kira 30 peratus lebih rendah daripada 1,219 kes yang dikesan setiap bulan antara Jun dengan Ogos 2025, kata kedua-dua pihak berkuasa itu, sambil menyatakan langkah lebih ketat telah berkuat kuasa pada 1 September 2025.
Antara 1 September 2025 dengan 30 Jun 2026, seramai 188 orang berusia antara 15 dengan 44 tahun mendaftar sendiri dalam QuitVape, tambah MOH dan HSA.
Mereka yang ingin bantuan bagi penyalahgunaan etomidate masih boleh mendapatkannya daripada Institut Kesihatan Mental (IMH).
Peserta QuitVape sebelum 1 September akan terus menerima sokongan untuk melengkapkan program mereka.
Vape yang dicampur etomidate, sejenis agen anestetik dikenali sebagai Kpod, dan boleh mencetuskan tingkah laku seperti ‘zombi’ (hilang kawalan diri), sawan dan serangan psikotik.
QuitVape membolehkan penyalahguna etomidate mendapatkan bantuan menghentikan tabiat itu tanpa hukuman atau rekod kesalahan.
Bagi penggunaan vape tanpa etomidate, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) terus menawarkan program I Quit.
Mereka boleh menghubungi talian 1800-438-2000 untuk maklumat lanjut.
Dalam kenyataan pada 11 Ogos, MOH dan HSA berkata mereka yang tampil secara sukarela untuk mendapatkan bantuan tidak akan dihukum atau mempunyai rekod kesalahan.
Namun, mereka yang ditangkap menyalahgunakan etomidate dan menggunakan alat pengewap biasa tetap dikenakan hukuman sewajarnya, tambah mereka.
