Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team mempertingkat penguatkuasaan terhadap vape di kem tentera, pangkalan tentera dan sekolah latihan.
Dalam hantaran Facebook pada 27 Ogos, Kementerian Pertahanan (Mindef) menyatakan pemeriksaan merangkumi penggeledahan beg untuk mencari barang terlarang dan bahan tidak dibenarkan, serta ujian air kencing, lapor The Straits Times (ST).
“Anggota tentera yang didapati memiliki vape atau barangan terlarang lain akan dikenakan tindakan tegas, termasuk tindakan disiplin yang mungkin termasuk ditahan,” menurut kenyataan itu.
Mindef turut menambah bahawa pemilikan dan penggunaan vape melanggar disiplin ketenteraan dan merupakan kesalahan awam.
Mindef dan SAF menyediakan kaunseling serta sumber sokongan untuk membantu anggota tentera berhenti menggunakan vape, dan menggalakkan mereka menghubungi komander atau pegawai perubatan untuk bantuan lanjut.
Secara berasingan, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan dalam hantaran Facebook pada 27 Ogos bahawa Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan SPF telah menjalankan pemeriksaan dipertingkatkan di sekolah latihan, iaitu Akademi Home Team dan Akademi Pertahanan Awam pada 24 Ogos semasa pelatih mula melaporkan diri untuk latihan.
“Selain merujuk pegawai yang bersalah kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA), tindakan disiplin dalaman juga akan dikenakan,” kata mereka.
Pada 24 Ogos, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan etomidate yang semakin disalahgunakan melalui pod (Kpod) dan peranti e‑vaporise akan disertakan sebagai dadah haram.
Mulai 1 September, agen anestetik ini akan dimasukkan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) sebagai Dadah Kelas C.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg