Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 laluan berjalan kaki dilancar, tawar baucar pasar raya pikat peserta

‘Jejak Berjalan@CDC’ galak warga teroka tapak warisan, gaya hidup sihat
Aug 16, 2025 | 6:48 PM
laluan berjalan kaki dilancar, baucar, Jejak Berjalan@CDC
Seorang peserta acara pelancaran ‘Jejak Berjalan@CDC’, Encik Muhammad Hamka Nabil (tengah), berkata peserta boleh mengeratkan hubungan dengan orang tersayang, sambil meneroka kawasan baru. Beliau ditemani kawan sekolahnya, Encik Javier Woo (kanan) dan Encik Muhammad Azri Muhammad Hafidz (kiri), kedua-duanya 19 tahun. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Kegiatan berjalan kaki di kejiranan kini lebih menarik dan boleh ‘menguntungkan’ dengan pelancaran Jejak Berjalan@CDC.

Jejak Berjalan@CDC itu, yang merangkumi lima jejak berjalan kaki di serata negara digabungkan dengan permainan interaktif di alam maya yang menawarkan hadiah baucar RedeemSG Rewards sehingga $10 kepada 5,000 peserta pertama yang melengkapi semua laluan dan syarat yang ditetapkan.

Inisiatif itu, antara lain, bertujuan menggalak gaya hidup sihat, selaras dengan inisiatif Healthier SG.

Ini di samping mendorong rakyat Singapura untuk kekal aktif, meneroka kawasan sekitar, serta mengeratkan hubungan dengan keluarga dan rakan, sambil meraih ganjaran, kata penganjur.

Program digital ‘Jejak Berjalan@CDC’ mendorong rakyat Singapura untuk kekal aktif, meneroka kawasan sekitar, serta mengeratkan hubungan dengan keluarga dan rakan, sambil meraih ganjaran.
Program digital ‘Jejak Berjalan@CDC’ mendorong rakyat Singapura untuk kekal aktif, meneroka kawasan sekitar, serta mengeratkan hubungan dengan keluarga dan rakan, sambil meraih ganjaran. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Jejak Berjalan@CDC dijayakan oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dengan kerjasama Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech).

Dalam ucapannya semasa melancarkan Jejak Berjalan@CDC pada 16 Ogos, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, berkata CDC berada dalam kedudukan yang unik kerana dapat melihat keperluan daerah serta memanfaatkan ekonomi skala, rangkaian dan perkongsian.

“Ini membolehkan CDC menjadi penggerak yang mengumpulkan manfaat tersebut dan menyalurkannya kepada masyarakat, sekali gus membantu penduduk kita,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat (PA).

Menambah, Encik Tong berkata program itu bukan sahaja bertujuan untuk menggalak orang bersenam, malah memperkukuh hubungan antara masyarakat.

“Kecergasan itu satu aspek, tetapi membina modal sosial, memupuk perpaduan dan bekerjasama dengan rakan-rakan adalah sesuatu yang jauh lebih bermakna,” ujar beliau lagi.

‘Jejak Berjalan@CDC’ dilancarkan oleh (dari kiri) Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua; Mayor CDC North East, Encik Baey Yam Keng; Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; dan Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash, di Sekolah Assumption Pathway di Cashew Road pada 16 Ogos.
‘Jejak Berjalan@CDC’ dilancarkan oleh (dari kiri) Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua; Mayor CDC North East, Encik Baey Yam Keng; Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; dan Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash, di Sekolah Assumption Pathway di Cashew Road pada 16 Ogos. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Laluan di semua lima Jejak Berjalan@CDC masing-masing merangkumi lima ‘checkpoint’ atau tempat tumpuan yang menarik atau bersejarah seperti Stesen Kereta Api Bukit Timah, Little Guilin, Fort Canning Centre, Pantai East Coast dan Jambatan Promenade Punggol.

Tempat tumpuan pertama di setiap laluan biasanya berhampiran kemudahan pengangkutan awam seperti stesen MRT dan perhentian bas.

Pengguna boleh mengikuti laluan yang ditetapkan dan melengkapkan aktiviti di setiap tempat tumpuan – seperti mengambil gambar lokasi tertentu atau menjawab soalan mengenai tempat tersebut.

Dalam perjalanan antara tempat tumpuan, peserta juga boleh mengumpul lima CDC Ollies – maskot burung hantu – di alam maya menerusi telefon bijak masing-masing. Lima maskot itu mewakili lima tonggak masyarakat CDC iaitu kepedulian, pembelajaran, keterangkuman, kesihatan dan kelestarian.

Seramai 5,000 orang pertama yang melengkapkan aktiviti di kesemua lima tempat tumpuan di setiap laluan atau mengumpul maskot digital boleh memperoleh sehingga $10 baucar RedeemSG yang boleh digunakan di pasar raya, yang ditawarkan di laman web Redeem.gov.sg.

Dalam kenyataannya, jurucakap CDC berkata lima Jejak Berjalan@CDC itu – yang mempunyai jarak antara 4.35 kilometer dengan 5.5 kilometer – direka untuk menonjolkan kekayaan budaya, warisan serta ruang hijau di setiap daerah.

Acara pelancaran yang diadakan di Sekolah Assumption Pathway di Cashew Road, berhampiran Upper Bukit Timah Road, pada 16 Ogos mengundang peserta melakukan aktiviti berjalan pantas melalui laluan Jejak Berjalan@CDC North West.

Sekitar 250 peserta – yang terdiri daripada anggota kumpulan minat berjalan pantas atau brisk walking di pelbagai CDC, serta para sukarelawan dan rakan kerjasama – menyertai pelancaran itu.

Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) berkata laluan-laluan itu direka untuk menonjolkan kekayaan budaya, warisan dan ruang hijau di setiap daerah.
Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) berkata laluan-laluan itu direka untuk menonjolkan kekayaan budaya, warisan dan ruang hijau di setiap daerah. - Foto ST

Salah seorang peserta di acara pelancaran itu, Muhammad Hamka Nabil, 20 tahun, berkata ciri yang ditawarkan di program itu sangat menarik dan sesuai untuk setiap peringkat umur.

“Peserta boleh mengeratkan hubungan dengan orang tersayang, sambil meneroka kawasan baru.

“Ini akan menjadi satu pengalaman yang baik bagi rakyat Singapura kerana mungkin mereka tahu tempat itu wujud, tetapi tidak mengetahui kisah di sebaliknya dan kenapa ia popular,” kata pelajar Higher Nitec di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur yang mengambil jurusan Pengurusan Sukan.

Tiga teman (dari kiri) Muhammad Azri Muhammad Hafidz, Muhammad Hamka Nabil dan Javier Woo (kanan) menyertai majlis pelancaran ‘Jejak Berjalan@CDC’ pada 16 Ogos. Mereka dilihat di Stesen Kereta Api Bukit Timah.
Tiga teman (dari kiri) Muhammad Azri Muhammad Hafidz, Muhammad Hamka Nabil dan Javier Woo (kanan) menyertai majlis pelancaran ‘Jejak Berjalan@CDC’ pada 16 Ogos. Mereka dilihat di Stesen Kereta Api Bukit Timah. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Acara itu juga turut disertai lima mayor yang mewakili lima CDC iaitu Cik Low Yen Ling (South West); Encik Alex Yam (North West); Encik Baey Yam Keng (North East); Encik Dinesh Vasu Dash (South East); dan Cik Denise Phua (Central).

Bercakap kepada media, Encik Yam berkata CDC akan menilai semula jumlah baucar yang ditawarkan berdasarkan sambutan yang diterima pada minggu akan datang.

Menambah, beliau berkata CDC akan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada orang awam serta meneliti kemungkinan memperkenalkan lebih banyak laluan untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

“Jika penyertaannya sangat menggalakkan, kami pasti akan menambah lagi jumlah anugerah dan mengumumkannya kepada orang ramai,” ujar beliau kepada wartawan di Stesen Kereta Api Bukit Timah di acara pelancaran itu.

Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Jejak Berjalan@CDC terbuka kepada rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) berusia 15 tahun ke atas yang mempunyai akaun Singpass dan CrowdTaskSG.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg