Lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 41 tahun dihadapkan ke mahkamah pada 3 Ogos atas dakwaan terbabit dalam eksploitasi seks terhadap kanak-kanak bawah umur.

Wanita berusia 20 tahun itu, yang maklumat dirinya tidak boleh didedahkan kerana perintah larangan bersuara (gag order), didakwa mengatur penyediaan perkhidmatan seks komersial melibatkan dua mangsa berusia 16 tahun serta meraih keuntungan daripada aturan itu.

Mahkamah diberitahu bahawa pendedahan identiti wanita itu boleh menyebabkan mangsa dikenal pasti. Hubungannya dengan kedua-dua mangsa tidak dinyatakan.

Lapan lelaki yang didakwa ialah Muhamad Haziq Bakatiar, 23 tahun; Irham Hussaini Mohamad Hussain, 24 tahun; Syahirul Daud Abdul Razak, 26 tahun; Muhammad Ameerulah Noor Mohamed, 27 tahun; Wilfred Ang Shui Lai, 34 tahun; Muhammad Ngasri Sengngari, 36 tahun; Muhammad ’Aizat Khalis Daud, 38 tahun; dan Fazal Hanafi Abdul Hameed Chaudhry, 41 tahun.

Mereka masing-masing didakwa mendapatkan perkhidmatan seks komersial daripada salah seorang mangsa berusia 16 tahun.

Haziq didakwa membayar mangsa $50 untuk mengadakan hubungan seks dengannya di kawasan tangga di Bedok North.

Irham didakwa membayar $130, manakala Syahirul $30, bagi melakukan perbuatan seks terhadap mereka di tempat yang sama dalam waktu berasingan.

Ameerulah didakwa membayar $30 untuk mengadakan hubungan seks dengan mangsa di dalam sebuah van di tempat letak kereta bertingkat, manakala Ang didakwa membayar $100 bagi melakukan perbuatan seks terhadapnya di Geylang Bahru.

Ngasri menghadapi dua tuduhan kerana didakwa membayar $300 untuk mengadakan hubungan seks dengan mangsa dalam dua kejadian berasingan.

’Aizat pula didakwa membayar $150 untuk mengadakan hubungan seks dengan mangsa di dalam kereta, manakala Fazal didakwa membayar $80 bagi melakukan perbuatan seks terhadapnya di kawasan tangga, kedua-duanya di Geylang Bahru.

Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku pada Februari 2024.

Sementara itu, wanita berkenaan didakwa merekrut salah seorang mangsa bagi tujuan seks komersial, hidup daripada hasil pelacuran seorang lagi mangsa, serta menerima $1,435 berkaitan pemerdagangan manusia.

Beliau menghadapi lima tuduhan dan memberitahu mahkamah akan mengaku bersalah tanpa diwakili peguam.

Pengakuan bersalah dijadualkan pada 14 September.

Polis pada 2 Ogos berkata mereka memandang serius kesalahan membabitkan pemerdagangan dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak serta akan membawa ke muka pengadilan mereka yang merekrut, mempergunakan, meraih keuntungan atau mendapatkan perkhidmatan seks komersial daripada kanak-kanak bawah umur.

Kesalahan merekrut seseorang bagi tujuan eksploitasi boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga $100,000 dan tidak melebihi enam sebatan.

Wanita tidak dikenakan hukuman sebat di Singapura.

Individu yang mendapatkan perkhidmatan seks berbayar daripada mereka yang berusia di bawah 18 tahun boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya.