Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

93 disiasat libat kegiatan along tanpa lesen

Jul 17, 2025 | 6:36 PM
CID, along
Penglibatan 93 individu dalam kejadian pinjaman wang tanpa lesen dikesan semasa operasi selama seminggu dari 9 hingga 15 Julai oleh pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh Bahagian Polis Darat. - Foto fail

Seramai 93 individu, berusia antara 13 dengan 67 tahun, disiasat polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian pinjaman wang tanpa lesen.

Dalam satu kenyataan polis pada 17 Julai, penglibatan mereka dikesan semasa operasi selama seminggu dari 9 hingga 15 Julai oleh para pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan tujuh Bahagian Polis Darat.

Siasatan awal mendedahkan seorang individu beroperasi sebagai pemiutang wang tanpa lesen, manakala tujuh lagi disyaki mengugut peminjam di kediaman mereka.

Seramai 43 individu dipercayai bertindak sebagai runner, yang membantu dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dengan melakukan pemindahan wang melalui ATM.

Manakala baki 42 individu dipercayai membuka akaun bank dan menyerahkan kad ATM serta nombor pengenalan peribadi (PIN) atau token perbankan Internet mereka kepada pemiutang tanpa lesen.

Siasatan lanjut sedang dijalankan.

Di bawah Akta Pemiutang Wang 2008, seseorang yang menggunakan akaun bank, kad ATM atau token perbankan Internet untuk memudahkan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, dianggap telah membantu dalam menjalankan perniagaan haram tersebut.

Pesalah kali pertama boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun, denda sekurang-kurangnya $30,000 dan maksimum $300,000, serta sehingga enam sebatan rotan.

Pesalah kali pertama yang didapati bersalah terlibat sebagai pemiutang wang tanpa lesen dan mencuba atau melakukan sebarang ugutan boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun.

Mereka juga boleh dikenakan denda antara $5,000 dengan $50,000, dan antara tiga dengan enam sebatan.

Polis menegaskan bahawa pemiutang wang tanpa lesen tidak teragak-agak melakukan gangguan berbahaya terhadap peminjam dan keluarga mereka.

Ini termasuk membakar atau menyimbah cat ke kediaman mereka serta mengunci pagar menggunakan rantai atau kunci basikal bagi mengurung penghuni.

Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi pemiutang wang tanpa lesen dan tidak bekerjasama atau membantu mereka dalam apa jua cara.

Pas pelajar atau pas kerja warga asing akan dibatalkan jika mereka didapati meminjam atau membantu pemiutang wang tanpa lesen, dan akan diusir dari Singapura.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang mungkin terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen boleh menghubungi talian polis di 1800-255-0000, atau memberikan maklumat dalam talian melalui pautan, www.police.gov.sg/i-witness.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg