Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang diumumkan pada Selasa, 25 November, menunjukkan 98.5 peratus murid Darjah 6 yang mendudukinya berjaya ke sekolah menengah.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (Seab) pada 25 November, seramai 37,926 murid telah menduduki PSLE pada 2025.
Di bawah Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (FSBB), murid yang layak bagi kumpulan penempatan 1 dan 2 boleh mengambil Bahasa Inggeris, Bahasa Ibunda, Matematik dan Sains pada aras lebih mencabar di Menengah 1, berdasarkan markah Peringkat Pencapaian (AL) bagi setiap subjek.
Murid yang mendapat AL5 atau lebih baik dalam subjek ‘standard’ boleh mengambil subjek tersebut pada G3 atau G2.
Mereka yang mendapat AL6 bagi subjek ‘standard’ atau ALA bagi subjek ‘foundation’ atau asas boleh mengambilnya pada G2.
Kira-kira 65 peratus kohort Darjah 6 pada 2025 yang layak untuk kumpulan penempatan 1 dan 2 dapat mengambil sekurang-kurangnya satu subjek pada aras lebih mencabar, iaitu kadar yang hampir sama dengan 2024.
Calon yang tidak layak memasuki sekolah menengah boleh memilih untuk menduduki semula PSLE pada 2026 atau memohon ke Sekolah Assumption Pathway (APS) dan Sekolah NorthLight (NLS), yang menawarkan program berasaskan pengalaman dan pembelajaran secara amali.
Murid yang pernah menduduki PSLE sekali boleh memohon ke sekolah ini dengan sokongan dan saranan pengetua sekolah rendah mereka.
Dalam satu hantaran Facebook, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, mengucapkan tahniah kepada semua murid yang menerima keputusan mereka.
Beliau menekankan keputusan PSLE hanyalah “satu langkah dalam perjalanan panjang”, dan mengingatkan murid terdapat banyak cara untuk membesar dan mengembangkan bakat.
Menurutnya, sistem pendidikan menyediakan ‘pelbagai laluan’ dan dengan sokongan ibu bapa serta guru, murid boleh terus membina keyakinan dan mengenal pasti kekuatan diri.
Dalam hantaran berasingan, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, menyatakan bahawa pencapaian itu menandakan penutup satu bab penting dan permulaan bab baru.
Beliau menegaskan setiap murid telah berkembang dari segi sahsiah, ketabahan dan daya usaha sepanjang enam tahun persekolahan.
Dan bagi beliau, itulah nilai yang disifatkannya sebagai “lebih penting daripada gred”.
Semua murid yang layak akan menerima borang pilihan Menengah 1 bersama keputusan PSLE mereka.
Ibu bapa boleh menghantar pilihan sekolah dalam talian di laman web melalui ‘MOE Secondary 1 Posting’ atau penempatan murid ke Menengah 1 antara 11.30 pagi pada 25 November dengan 4.30 petang pada 1 Disember.
Log masuk memerlukan Singpass yang sahih, dan hanya seorang ibu atau bapa perlu membuat pendaftaran.
Ibu bapa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi sekolah rendah anak mereka sebelum tarikh akhir.
MOE dan Seab menggalakkan murid serta ibu bapa menilai sekolah secara menyeluruh, dan memilih sekolah yang sesuai dengan keperluan pendidikan, kekuatan dan minat murid.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg